UPM Institutional Repository

Hubungan antara kepimpinan pengajaran guru kanan mata pelajaran dan organisasi pembelajaran di sekolah menengah di Perak, Malaysia


Citation

Abas, Nurnazahiah (2018) Hubungan antara kepimpinan pengajaran guru kanan mata pelajaran dan organisasi pembelajaran di sekolah menengah di Perak, Malaysia. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Guru kanan mata pelajaran (GKMP) memainkan peranan besar dalam membina dan memupuk persekitaran pembelajaran yang positif melalui amalan kepimpinan pengajaran. Persekitaran kondusif menggalakkan pembelajaran dalam kalangan individu, pasukan dan organisasi di sekolah. Oleh itu amat penting untuk mengenal pasti dimensi yang memberi impak kepada organisasi pembelajaran. Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti hubungan antara amalan kepimpinan pengajaran GKMP dan organisasi pembelajaran di sekolah menengah di Perak. Seramai empat ratus orang guru sekolah menengah di negeri Perak telah dipilih mengikut pensampelan rawak dua peringkat mengikut lokasi sekolah dan guru sebagai responden kajian. Kajian ini juga bertujuan mengenal pasti pengaruh amalan kepimpinan pengajaran terhadap organisasi pembelajaran di sekolah. Dua instrumen berskala Likert telah digunakan untuk mengukur tahap amalan kepimpinan pengajaran GKMP dan tahap organisasi pembelajaran di sekolah iaitu Principle Instructional Management Rating Scale (PIMRS) yang telah diadaptasi serta Dimension of Learning Organization Questionnaire (DLOQ). Dapatan kajian rintis mendapati kebolehpercayaan Chronbach Alpha masing-masing ialah .983 dan .976. Seramai 368 responden daripada empat ratus responden telah memulangkan soal selidik yang dianalisis menggunakan SPSS 22.0. Analisis deskriptif turut digunakan untuk mengukur min, sisihan piawaian, kekerapan dan peratus. Mengikut persepsi guru di dalam kajian ini, GKMP mengamalkan kepimpinan pengajaran pada tahap tinggi (min = 3.82, dan sp = 0.68) begitu juga dengan tahap amalan organisasi pembelajaran adalah pada tahap tinggi (min = 3.88, sp = 0.56). GKMP dilihat menunjukkan amalan kepimpinan paling tinggi bagi dimensi mendefinisikan misi sekolah diikuti mengurus program pengajaran dan mewujudkan iklim pembelajaran positif. Ini memberikan gambaran GKMP jelas dengan matlamat serta standard yang perlu dicapai oleh murid-murid dan guru-guru bagi mencapai kejayaan sekolah. Sementara itu, persepsi guru menunjukkan dimensi paling tinggi bagi organisasi pembelajaran ialah menggalakkan kolaborasi dan pembelajaran berpasukan. Ini menunjukkan guru-guru di sekolah telah pun bersedia dalam usaha mewujudkan sekolah sebagai organisasi pembelajaran. Dapatan kajian ini juga menunjukkan terdapat hubungan signifikan positif sederhana antara dimensi-dimensi kepimpinan pengajaran GKMP dengan organisasi pembelajaran. Daripada ketiga-tiga dimensi kepimpinan pengajaran GKMP, hanya dimensi mewujudkan iklim pembelajaran positif merupakan varian yang signifikan yang menjadi peramal terhadap kejayaan mewujudkan organisasi pembelajaran di sekolah. Hasil penemuan kajian ini menyediakan asas bagi membentuk model kepimpinan sekolah khusus bagi guru kanan mata pelajaran yang lebih mantap dalam konteks meningkatkan perkembangan profesionalisme dan nilai produktiviti guru serta pencapaian sekolah. Peranan GKMP dalam usaha membentuk sekolah sebagai organisasi pembelajaran amat penting. Oleh itu fokus dan usaha perlu diberikan bagi menambah baik amalan yang masih kurang diamalkan terutama mewujudkan iklim pembelajaran yang positif.


Download File

[img] Text
NURNAZAHIAH BINTI ABAS - IR.pdf

Download (2MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Educational leadership
Subject: Organizational behavior
Subject: School management and organization - Malaysia
Call Number: FPP 2018 51
Chairman Supervisor: Ramli bin Basri, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Ms. Rohana Alias
Date Deposited: 07 Sep 2023 07:55
Last Modified: 07 Sep 2023 07:55
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/104571
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item