UPM Institutional Repository

Program 3K tingkat pengetahuan tentang kanser


Citation

Universiti Putra Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat (2011) Program 3K tingkat pengetahuan tentang kanser. [UPM News]

Abstract

SERDANG, 24 Feb - Sempena sambutan Hari Kanser Sedunia yang disambut pada 4 Februari setiap tahun, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Kesedaran Kanser (3K) bertemakan ‘Today’s Youth, Tomorrow’s World – cancer prevention through healthy lifestyle’. Naib Canselor UPM, Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi berkata, program selama dua hari bermula 24 hingga 25 Februari 2011 itu bertujuan memberi pendedahan, kesedaran selain meningkatkan pengetahuan mengenai kanser kepada pelajar, belia dan penduduk. ”Selain itu, ia merupakan wadah pendedahan awal kepada golongan sasar bahawa pencegahan kanser bermula daripada gaya hidup seseorang, justeru langkah pencegahan secara berterusan dan tindakan segera oleh setiap individu melalui pengesanan awal kanser dapat menghindar merebaknya penyakit ini. “Program itu juga merupakan salah satu usaha UPM menggalakkan aktiviti penyelidikan mengenai kanser menerusi perkongsian maklumat selain dapat memupuk semangat kerjasama dalam kalangan mahasiswa melalui aktiviti kesedaran kanser,” katanya pada majlis perasmian karnival itu di sini. Turut hadir pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dr. Tai Shzee Yew dan Ketua Pustakawan UPM merangkap Pengerusi Jawatankuasa program 3K, Amir Hussain Md. Ishak. Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi (tengah) bersama Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof. Dr. Tai Shzee Yew (kanan) dan Ketua Pustakawan UPM, Amir Hussain Md. Ishak, melancarkan buku mengenai kanser Program itu turut diserikan dengan kehadiran beberapa wakil jemputan dari institusi pengajian tinggi dan sekolah. Dato’ Ir. Dr. Radin Umar menambah, apa yang lebih penting program itu dapat memberi sokongan kepada pesakit kanser selain menjadikan pengalaman mereka sebagai pembakar semangat kepada pesakit-pesakit baru untuk meneruskan kehidupan. Program 3K dianjurkan bersama oleh Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Laboratori Penyelidikan Kanser UPM-MAKNA (CanRes), Unit Biodiversiti, Institut Biosains (IBS), Laboratori Pendidikan dan Perkhidmatan Kanser (CaEd), Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP). Antara aktiviti menarik program 3K termasuk derma darah, pertandingan penyelidikan kanser, forum umum 3K, kuiz kesihatan, sesi penyaringan kanser, marathon pelajar dan pameran daripada beberapa NGO termasuk Kanser Network (Kanwork), Pusat Sumber Pendidikan dan Sokongan Kanser (CORE), Cancerlink Foundation dan National Cancer Society. Pada program itu, UPM turut melancarkan lima buah buku berkaitan kanser payu dara yang menerangkan tentang aktiviti fzikal untuk pesakit kanser payu dara semasa dan selepas rawatan, bahaya pengambilan alkohol, pengambilan suplimen diet, pengambilan lemak dan perubahan berat badan. Talian bebas tol ‘Kan Help Line 1-800-22-2233’ turut dilancarkan bertujuan memberi maklumat mengenai kanser dan sokongan kepada pesakit kanser di seluruh Malaysia.


Download File

[img]
Preview
PDF
Program_3K_tingkat_pengetahuan_tentang_kanser.pdf

Download (263kB)

Additional Metadata

Item Type: UPM News
Depositing User: Muizzudin Kaspol
Date Deposited: 02 Mar 2011 06:42
Last Modified: 27 May 2013 07:45
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/10276
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item