UPM Institutional Repository

Strategi pemulihan imej Tun Abdullah dalam Berita Harian selepas Pilihanraya Umum ke-12


Citation

Ismail, Ishak (2013) Strategi pemulihan imej Tun Abdullah dalam Berita Harian selepas Pilihanraya Umum ke-12. PhD thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Kajian ini bertujuan menganalisis kenyataan langsung Tun Abdullah dalam akhbar (bukan dipetik wartawan) berkaitan isu-isu yang telah menjejaskan imej beliau sebagai Perdana Menteri selepas Pilihanraya Umum ke-12. Objektif khusus kajian ini ialah: (1) Mengenal pasti isu-isu yang telah menjejaskan imej Tun Abdullah selepas Pilihanraya Umum Ke-12, (2) Mengenal pasti strategi pemulihan imej yang paling kerap digunakan oleh Tun Abdullah mengikut isu, (3) Menghuraikan perubahan dari segi penggunaan strategi pemulihan imej oleh Tun Abdullah mengikut isu, (4) Menghuraikan kesesuaian strategi pemulihan imej yang digunakan oleh Tun Abdullah mengikut isu dan, (5) Mengenal pasti perbezaan penggunaan strategi pemulihan imej berdasarkan Teori William L. Benoit yang digunakan oleh Tun Abdullah mengikut isu yang dihadapi. Kajian ini menggunakan kaedah Analisis Kandungan iaitu dengan menganalisis kenyataan langsung Tun Abdullah yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian dari tempoh 9 Mac 2008 hingga 30 Mac 2009 berkaitan isu-isu yang telah menjejaskan imej beliau sebagai Perdana Menteri. Analisis kenyataan beliau dibuat menggunakan Teori Pemulihan Imej oleh William L. Benoit (1995) yang dahulunya dikenali sebagai Image Restoration Strategies. Kini, teori ini lebih dikenali sebagai Image Repair Theory (IRT). IRT memberi tumpuan kepada strategi komunikasi untuk mengurangkan, memulihkan atau mengelakkan kerosakan kepada imej kerana mengekal atau mengawal imej seseorang adalah matlamat utama selepas sesuatu krisis. Teori Pemulihan Imej mencadangkan 14 strategi yang boleh digunakan oleh seseorang individu, organisasi atau negara yang berusaha memulihkan imej yang terjejas iaitu Penafian Mudah, Menyalahkan Pihak Lain, Provokasi, Kekurangan Kebolehan, Tidak Sengaja, Berniat Baik, Mengangkat Diri, Peminimuman, Membuat Pembezaan, Memberi Justifikasi, Menyerang Penuduh, Membayar Ganti Rugi, Tindakan Pembetulan dan Permohonan Maaf. Hasil kajian mendapati bahawa Tun Abdullah menggunakan strategi Pemulihan Imej yang paling sesuai dalam isu sosial iaitu Isu Penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Isu Penubuhan Suruhanjaya Perlantikan Hakim. Beliau kerap menggunakan strategi Tindakan Pembetulan, Berniat Baik dan Mengangkat Diri. Sementara itu, Tun Abdullah menggunakan strategi Pemulihan Imej yang paling tidak sesuai dalam isu politik iaitu isu yang berkaitan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isu berkaitan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau kerap menggunakan strategi Menyerang Penuduh dan Provokasi yang mana kedua-dua strategi tersebut tidak disarankan oleh sarjana IRT untuk digunakan.


Download File

[img]
Preview
PDF
FBMK 2013 60R.pdf

Download (962kB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (PhD)
Subject: Abdullah bin Ahmad Badawi, Tun, 1939-
Subject: Politicians - Malaysia
Subject: Elections - Malaysia
Call Number: FBMK 2013 60
Chairman Supervisor: Profesor Madya Abdul Mua’ti @ Zamri bin Ahmad, PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 15 Sep 2016 08:21
Last Modified: 15 Sep 2016 08:21
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/48458
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item