UPM Institutional Repository

Perkaitan faktor keperluan dan kepercayaan terhadap akhbar dengan penerimaan remaja


Citation

Ahmad Ghazali, Akmar Hayati (2012) Perkaitan faktor keperluan dan kepercayaan terhadap akhbar dengan penerimaan remaja. PhD thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Akhbar mengandungi pelbagai maklumat yang berupaya menambah dan meningkatkan pengetahuan remaja. Namun demikian, penerimaan remaja terhadap akhbar semakin menurun kerana faktor kurangnya minat untuk membaca medium tersebut. Sehubungan itu, kajian ini dilaksanakan untuk mengenalpasti perkaitan faktor keperluan dan kepercayaan terhadap akhbar dengan penerimaan remaja. Manakala objektif khusus kajian adalah untuk mengenal pasti jenis-jenis berita yang menjadi pilihan remaja; mengetahui hubungan antara faktor keperluan dengan penerimaan akhbar oleh remaja; perkaitan antara faktor kepercayaan dengan penerimaan akhbar oleh remaja; dan menentukan pengaruh faktor keperluan dan kepercayaan terhadap penerimaan akhbar oleh remaja. Kajian dijalankan dalam kalangan remaja kerana mereka adalah penyumbang terbanyak populasi rakyat Malaysia. Teori yang menjadi asas dalam penyelidikan ini ialah Teori Penggunaan dan Pemuasan dan Teori Tingkah Laku Maklumat. Penyelidikan ini menggunakan pendekatan kuantitatif. Pendekatan kuantitatif yang digunakan adalah kaedah tinjauan dan edaran borang soal selidik. Seramai 387 responden telah dipilih secara rawak mudah daripada 4,501 populasi di 10 buah sekolah menengah kebangsaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi kajian kerana wilayah ini mencatatkan jumlah tertinggi edaran akhbar. Selain daripada persampelan rawak mudah,persampelan bertujuan turut diaplikasikan apabila memilih responden. Ciri-ciri responden adalah murid-murid berbilang kaum yang berumur di antara 16 tahun hingga 17 tahun; bersekolah dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; dan membaca satu daripada lima akhbar utama yang menunjukkan jumlah edaran harian yang tinggi iaitu Harian Metro, Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star dan The New Straits Times. Kesemua data kajian dianalisis menerusi statistik dengan menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) versi 15.0. Dua prosedur statistik telah digunakan iaitu statistik deskriptif dan statistik inferensi. Statistik deskriptif digunakan untuk mengenal pasti nilai peratusan, min, purata dan sisihan piawai. Manakala statistik inferensi berupaya menerangkan hubungan, perkaitan dan peramal yang menyumbang antara pemboleh ubah yang dikaji. Antara ujian yang digunakan dalam statistik inferensi adalah ujian korelasi dengan pekali Pearson Product-Moment dan ujian regresi pelbagai. Kajian ini menggunakan aras signifikan 0.05. Hasil kajian menunjukkan bahawa remaja cenderung membaca berita hiburan dan berita kesihatan yang dikategorikan sebagai berita ringan (soft news). Dalam pada itu, ujian korelasi Pearson menunjukkan terdapat hubungan yang positif dan signifikan antara faktor keperluan dengan penerimaan. Di samping itu, wujud perkaitan antara faktor kepercayaan dengan penerimaan. Analisis korelasi Pearson menunjukkan akhbar diterima oleh remaja kerana akhbar mementingkan faktor kepercayaan dalam penulisan. Manakala ujian regrasi pelbagai menunjukkan faktor kepercayaan dan keperluan merupakan pemboleh ubah peramal kepada penerimaan remaja terhadap akhbar. Namun begitu,kepercayaan adalah faktor utama yang menyumbang kepada penerimaan akhbar oleh remaja. Adalah dicadangkan faktor kepercayaan (keprihatinan sosial, pemilihanm topik, pemilihan fakta dan penilaian wartawan) dan faktor keperluan (kognitif, peribadi, sosial dan perasaan) harus dikekalkan dan ditingkat dalam akhbar. Akhbar juga dicadang menyiarkan lebih banyak kandungan bercorak pendidikan, pengetahuan dan maklumat yang berunsur hiburan (infotaiment). Langkah-langkah ini akan menjadikan akhbar lebih berperanan dalam kalangan remaja sebagai sumber rujukan pembelajaran selain daripada buku teks dan buku rujukan tambahan.


Download File

[img]
Preview
PDF
FBMK 2012 3R.pdf

Download (1MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (PhD)
Subject: Teenagers - Malaysia - Newspapers
Subject: Mass media and teenagers - Malaysia
Call Number: FBMK 2012 3
Chairman Supervisor: Profesor Madya Siti Zobidah Omar, PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 09 Jan 2015 01:57
Last Modified: 09 Jan 2015 01:57
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/32516
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item