Pengeluaran Ikan dan Sayur-Sayuran Tropika Terpilih Menggunakan Kaedah Piskiponik

Abdullah, Muhammad (2004) Pengeluaran Ikan dan Sayur-Sayuran Tropika Terpilih Menggunakan Kaedah Piskiponik. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

[img] PDF
132Kb

Abstract

Sumber air dan tanah yang semakin terhad menjadikan keperluan integrasi beberapa bidang pertanian semakin penting. Kajian ini dijalankan untuk menilai potensi mengeluarkan ikan dan sayur-sayuran tropika dalam satu sistem integrasi menggunakan kaedah piskiponik iaitu gabungan piskikultur dan hidroponik. Satu eksperimen telah dijalankan untuk menentukan kesan paras larutan nutrien hidroponik terhadap mutu air, kemandirian dan pertumbuhan ikan baung (Mystus nemurus), keli Afrika (Clarias gariepinus) dan tilapia merah (Oreochromis sp.). Keputusan menunjukkan kepekatan larutan hidroponik ketara memberi kesan terhadap parameter mutu air. Konduktiviti dan kepekatan amonia-N meningkat secara bererti (P<0.05) dengan peningkatan paras larutan hidroponik dalam air. Julat konduktiviti dan amonia-N masing-masing adalah 0.43-2.59 mmhos dan 3.00-17.52 mg L-1. Pada semua spesies ikan, kemandirian dan pertumbuhan ikan menurun secara bererti (P<0.05) dengan peningkatan kepekatan larutan hidroponik. Purata kemandirian dan kadar pertumbuhan spesifik masing-masing adalah 74.45% dan 2.82% hari-1 bagi ikan tilapia merah, 54.45% dan 2.28% hari-1 bagi keli Afrika, dan 29.31% dan 0.64% hari-1 bagi baung. Kajian ini menunjukkan bahawa tilapia merah adalah spesies kajian yang paling tahan pada kepekatan larutan hidroponik. Bagaimanapun kepekatan larutan hidroponik yang tinggi (>25%) memberikan kesan hiperplasia pada tisu insang bagi semua spesies ikan kajian. Satu lagi eksperimen telah dijalankan untuk menentukan kesan penggunaan 25% larutan hidroponik dan penggunaan spesies sayur-sayuran yang berbeza iaitu sawi mini (Brassica chinensis), kailan (Brassica alboglabra) dan salad daun (Lactuca sativa)) terhadap pertumbuhan dan penghasilan ikan tilapia merah, Oreochromis sp. di dalam sistem piskiponik. Keputusan menunjukkan pertumbuhan, kemandirian, nisbah pertukaran makanan, nisbah kecekapan protein dan penghasilan ikan tilapia merah tidak dipengaruhi (P>0.05) oleh penambahan larutan hidroponik dan jenis sayur-sayuran yang berbeza. Kemandirian ikan tilapia merah adalah di antara 52.3- 75.7% dengan jumlah penghasilan di antara 15.2-21.1 kg m-3 tuai-1 (18 minggu). Bagaimanapun, penambahan 25% larutan hidroponik telah meningkatkan pertumbuhan dan penghasilan secara bererti (P<0.05) bagi ketiga-tiga jenis sayursayuran. Salad daun memperolehi hasil tertinggi (6.44 kg m-2 tuai ikan-1) diikuti sawi mini dan kailan (3.82 dan 1.52 kg m-2 tuai ikan-1, masing-masing).Satu eksperimen yang serupa juga dijalankan menggunakan ikan keli Afrika, Clarias gariepinus.Tidak seperti tilapia merah, keputusan menunjukkan penambahan 25% larutan hidroponik memberi kesan negatif secara bererti (P<0.05) terhadap kemandirian, nisbah pertukaran makanan, nisbah kecekapan protein dan penghasilan ikan keli Afrika. Kemandirian ikan keli Afrika adalah di antara 9.3-64.0% dengan jumlah penghasilan di antara 2.1-17.1kg m-3 tuai-1 (10 minggu).Bagaimanapun, penambahan larutan hidroponik memberi kesan positif bererti (P<0.05) terhadap pertumbuhan dan penghasilan sayur-sayuran. Jumlah penghasilan sayur-sayuran yang tertinggi diperoleh oleh sawi mini (0.80kg m-2 tuai ikan-1) diikuti salad daun (0.57kg m-2 tuai ikan-1) dan kailan (0.26kg m-2 tuai ikan-1). Pengeluaran ini adalah jauh lebih rendah berbanding jika tilapia digunakan. Dalam kesemua siri eksperimen dalam kajian ini, tiada penapis biologi yang khusus digunakan.Oleh itu, sayur-sayuran bukan sahaja mengambil nutrien dari kumuhan ikan, tetapi juga memainkan peranan dalam proses penapisan air. Integrasi kultur ikan tilapia merah dan salad daun memberikan keputusan yang terbaik dan dijadikan model pengeluaran makanan secara berterusan menggunakan sistem piskiponik.

Item Type:Thesis (Masters)
Subject:Fisheries - Case studies
Chairman Supervisor:Professor Madya Mohd Salleh Kamarudin, PhD
Call Number:FP 2004 10
Faculty or Institute:Faculty of Agriculture
ID Code:308
Deposited By:INVALID USER
Deposited On:05 Jun 2008 16:11
Last Modified:27 May 2013 06:47

Repository Staff Only: Edit item detail

Document Download Statistics

This item has been downloaded for since 05 Jun 2008 16:11.

View statistics for "Pengeluaran Ikan dan Sayur-Sayuran Tropika Terpilih Menggunakan Kaedah Piskiponik"


Universiti Putra Malaysia Institutional Repository

Universiti Putra Malaysia Institutional Repository is an on-line digital archive that serves as a central collection and storage of scientific information and research at the Universiti Putra Malaysia.

Currently, the collections deposited in the IR consists of Master and PhD theses, Master and PhD Project Report, Journal Articles, Journal Bulletins, Conference Papers, UPM News, Newspaper Cuttings, Patents and Inaugural Lectures.

As the policy of the university does not permit users to view thesis in full text, access is only given to the first 24 pages only.