UPM Institutional Repository

Penguasaan pelajar terhadap ciri intrinsik istilah kejuruteraan Bahasa Melayu berdasarkan teori terminologi sosiokognitif


Citation

Abdul Malek, Noorul Khairien (2021) Penguasaan pelajar terhadap ciri intrinsik istilah kejuruteraan Bahasa Melayu berdasarkan teori terminologi sosiokognitif. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Pembentukan istilah bahasa Melayu merupakan satu proses keintelektualan untuk memperkaya perbendaharaan kata dalam pelbagai bidang ilmu. Bahasa Melayu mengalami evolusi dari segi kosa kata melalui pembentukan istilah dan menjadi pemangkin kepada perkembangan istilah bahasa Melayu hingga kini dalam bidang kejuruteraan. Kebanyakan istilah kejuruteraan bahasa Melayu dibentuk menggunakan kaedah penyerapan dengan penyesuaian ejaan, penyerapan tanpa perubahan ejaan dan penterjemahan secara langsung daripada bahasa sumber. Namun begitu, pelajar didapati tidak menguasai istilah kejuruteraan bahasa Melayu yang digunakan dalam mata pelajaran kejuruteraan. Pelajar juga kurang peka akan ciri intrinsik sesuatu istilah dan menyebabkan pelajar sekadar menghafal istilah tersebut. Faktor kurangnya pengetahuan sedia ada tentang istilah kejuruteraan bahasa Melayu menyebabkan tafsiran pelajar terhadap istilah tersebut kurang tepat. Selain itu, penerbitan istilah dalam bentuk daftar kata, iaitu padanan bahasa Inggeris ke bahasa Melayu tanpa huraian istilah, didapati tidak berupaya merangsang kognitif pelajar untuk membuat tafsiran terhadap ciri intrinsik sesuatu istilah kejuruteraan. Objektif pertama kajian ini adalah untuk mengenal pasti penguasaan istilah kejuruteraan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar. Objektif kedua pula adalah untuk menganalisis penguasaan pelajar terhadap ciri intrinsik istilah kejuruteraan bahasa Melayu. Seterusnya, objektif ketiga adalah untuk merumuskan perkaitan antara penguasaan pelajar terhadap istilah dengan penguasaan ciri intrinsik istilah kejuruteraan bahasa Melayu pelajar, berlandaskan Teori Terminologi Sosiokognitif. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif yang menjurus kepada kajian kes melalui kaedah temu bual dan kaedah pemerhatian. Selain itu, kajian ini turut menggunakan ujian Pengecaman Istilah Kejuruteraan Bahasa Melayu dan ujian Penguasaan Ciri Intrinsik Istilah Kejuruteraan Bahasa Melayu untuk mendapatkan data yang komprehensif secara triangulasi. Pensampelan bertujuan digunakan dalam kajian ini yang melibatkan enam pelajar tingkatan empat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal di Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan. Data dianalisis secara deskriptif berdasarkan pengkategorian data temu bual melalui perisian Atlas.ti8, data ujian dan borang senarai semak pemerhatian. Analisis kajian menunjukkan bahawa pelajar menguasai istilah kejuruteraan bahasa Melayu melalui kaedah pembentukan terjemahan secara langsung yang ciri intrinsiknya menggambarkan konsep istilah dalam bahasa Melayu. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa mekanisme yang diimplementasikan oleh pelajar untuk menguasai istilah kejuruteraan bahasa Melayu adalah dengan memahami konsep istilah, memahami ciri intrinsik istilah, pengalaman pelajar dengan istilah, imaginasi dan visualisasi objek yang mewakili istilah. Seterusnya, faktor yang mempengaruhi penguasaan pelajar terhadap istilah dan ciri intrinsik istilah kejuruteraan bahasa Melayu ialah penggunaan bahasa kebangsaan, persekitaran, pengalaman, komunikasi, pendidikan dan media massa. Dapatan berkaitan dengan mekanisme dan faktor dalam kajian ini berhubung kait dengan potensi kognitif dalam terminologi bidang bahasa khusus dan variasi terminologi yang digariskan dalam Teori Terminologi Sosiokognitif. Kajian ini membuktikan bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam mata pelajaran kejuruteraan dapat merangsang kognitif pelajar melalui visualisasi dan imaginasi serta dapat membantu pelajar menguasai istilah kejuruteraan bahasa Melayu melalui ciri intrinsik istilah tersebut.


Download File

[img] Text
NOORUL KHAIRIEN BINTI ABDUL - IR.pdf

Download (4MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Malay language - Vocabulary
Subject: Intrinsic factor (Physiology)
Call Number: FBMK 2021 62
Chairman Supervisor: Datin Hasnah binti Mohamad, PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Ms. Rohana Alias
Date Deposited: 04 Apr 2023 07:25
Last Modified: 04 Apr 2023 07:25
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/99651
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item