UPM Institutional Repository

Instrumen penilaian prestasi kendiri Bahasa Kebangsaan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil


Citation

Arumugam, Arul Das (2022) Instrumen penilaian prestasi kendiri Bahasa Kebangsaan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Kajian ini bertujuan untuk mengukur ketekalan dan kesesuaian instrumen penilaian prestasi kendiri (IPPK) bahasa kebangsaan untuk mengatasi masalah penguasaan bahasa Melayu yang lemah dan sederhana dalam kalangan murid SJKT. Instrumen ini berperanan sebagai bahan pengukuran kekuatan dan kelemahan murid dalam aspekaspek kefahaman, tatabahasa dan seni bahasa. Justeru, kajian ini mengenal pasti kesesuaian IPPK kepada murid di SJKT. Kajian ini juga menghuraikan keupayaan murid menggunakan IPPK untuk mengenal pasti kod warna pencapaian dengan betul. Selain itu, kajian ini merumuskan faktor dorongan IPPK terhadap motivasi pembelajaran murid. Kajian ini bersifat gabungan kuantitatif dan kualitatif. Kajian ini mengaplikasikan reka bentuk kaedah tinjauan. Melalui kaedah ini, pengumpulan maklumat dilakukan berdasarkan respons sesuatu populasi dengan hanya mengutip maklumat yang berkaitan (James A Black & Dean J Champion, 1976 ; Roger D. Wimmer dan Joseph R. Dominic,2006). Berdasarkan kaedah ini, kajian ini dibahagikan kepada tiga bahagian. Bahagian pertama melibatkan nilai kesepakatan pakar bagi dua segmen, iaitu analisis kesahan tentang kesesuaian kandungan S.B (Sistem Bahasa) dan analisis kesesuaian konstruk dalam kerangka IPPK secara keseluruhannya. Segmen pertama melibatkan dua orang Munsyi Dewan Bahasa, manakala segmen kedua melibatkan 25 orang pakar pedagogi (perguruan). Interpretasi analisis data ini berpandukan nilai peratusan respons, akuan pengauditan tatabahasa dan komen atau cadangan yang dikemukakan oleh pakar. Data dianalisis melalui statistik deskriptif dengan menggunakan kaedah kesepakatan pakar Fuzzy Delphi. Bahagian kedua dan bahagian ketiga melibatkan 115 orang murid di lokasi kajian. Kaedah pemerhatian digunakan untuk mengenal pasti tahap pemahaman dan keupayaan murid mengesan kod warna pencapaian dengan betul. Data dianalisis berdasarkan nilai peratusan skor. Bahagian terakhir kajian ini ialah fasa mengesan pengaruh IPPK sebagai pendorong motivasi pembelajaran bagi murid. Semua 115 murid memberikan respons terhadap dua belas item dalam soal selidik berdasarkan pengalaman selepas dan sebelum penggunaan IPPK. Data yang diperoleh dianalisis dalam nilai peratusan. Dapatan kesepakatan pakar dalam segmen pertama bahagian pertama menunjukkan bahawa klon S.B sangat sesuai (100%). Dalam segmen kedua, kesepakatan pakar pada skala Sangat Setuju ialah 99.11% manakala skala Setuju ialah 0.89%. Kesepakatan ini melebihi nilai 75% seperti disyaratkan dalam reka bentuk Fuzzy Delphy. Dapatan ini menunjukkan bahawa IPPK sangat sesuai digunakan untuk murid-murid SJKT. Dapatan pemerhatian pada bahagian kedua menunjukkan bahawa 100% murid dapat mengesan kod warna dengan tepat pada ujian kedua berbanding dengan 94% pada ujian pertama. Dapatan respons murid tentang IPPK sebagai pendorong motivasi pada tahap Setuju ialah 100% pada peringkat pasca berbanding dengan 3% pada peringkat pra. Dapatan ini menunjukkan bahawa IPPK bersifat menjanakan perhatian, bersesuaian, mencungkil keyakinan dan memberikan kepuasan kepada murid. Dapatan ini juga menunjukkan bahawa IPPK membantu murid untuk mengetahui tahap penguasaan yang sebenar dalam bahasa Melayu. Cadangan dikemukakan untuk guru mengukur penguasaan keseluruhan kelas, dan membuat penilaian kendiri tentang tahap keberkesanan pengajaran bahasa Melayu di SJKT.


Download File

[img] Text
ARUL DAS AL ARUMUGAM - IR.pdf

Download (4MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Malay language, Study and teaching (Elementary)
Subject: Malay language, Evaluation
Subject: Tamil (Indic people), Malaysia.
Call Number: FBMK 2022 23
Chairman Supervisor: Profesor Vijayaletchumy a/p Subramaniam, PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Keywords: instrumen penilaian prestasi kendiri, kesesuaian kepada murid, keupayaan murid mengesan kod warna.
Depositing User: Ms. Rohana Alias
Date Deposited: 04 Apr 2023 06:26
Last Modified: 04 Apr 2023 06:26
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/99575
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item