Citation
Hasan, Norhidayu
(2021)
Eksploitasi maksim prinsip kerjasama dalam dialog filem Melayu.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Eksploitasi merujuk kepada ujaran yang sengaja tidak mematuhi Maksim Prinsip
Kerjasama (MPK) tetapi mematuhi Prinsip Kerjasama (PK). MPK membantu
menghasilkan satu ujaran yang jelas dan dapat mengurangkan salah faham
dalam komunikasi. Namun, MPK ini dieksploitasi oleh penutur untuk
menghasilkan ujaran yang perlu diinterpretasi maknanya melangkaui makna
harfiah. Interpretasi pada peringkat harfiah atau semantik sahaja tidak akan
menunjukkan makna sebenar penutur dan berisiko menyebabkan salah faham.
Analisis dilakukan terhadap dialog filem Melayu berdasarkan tiga objektif iaitu
mengenal pasti eksploitasi MPK dalam perbualan masyarakat Melayu menerusi
filem, menganalisis perbualan masyarakat Melayu yang mengeksploitasi MPK
menerusi filem menggunakan Teori Perbualan Grice dan Relevans dan
menganalisis struktur perbualan secara langsung yang mengeksploitasi MPK
dalam dialog filem Melayu. Kajian ini menggunakan kaedah analisis teks dengan
menggunakan Teori Perbualan Grice dan Teori Relevan dalam analisis data.
Sebanyak 20 buah filem Melayu sekitar tahun 1950-an sehingga 1960-an
dijadikan bahan kajian. Pemilihan 20 filem tersebut adalah kerana penggunaan
implikatur secara meluas dalam dialog filem terpilih serta dialog terhasil daripada
pemikiran, falsafah, estetika dan pegangan masyarakat Melayu. Analisis kajian
mendapati bahawa eksploitasi MPK dikesan dalam perbualan masyarakat
Melayu menerusi filem terpilih. Sebanyak 981 ujaran dapat dikenal pasti sebagai
eksploitasi MPK. Maksim Kualiti Prinsip Kerjasama (MKLPK) menunjukkan
jumlah eksploitasi yang tertinggi iaitu sebanyak 603 ujaran. Kajian turut
mendapati ujaran yang mengeksploitasi MPK ini dapat difahami dengan lebih
tepat apabila pendengar menggunakan konteks andaian tentang dunia menerusi
TPG dan perkaitan antara input dengan konteks seperti mana yang ditekankan
dalam TR. Analisis eksploitasi MPK berdasarkan pendekatan pragmatik dilihat
berwibawa menjelaskan makna sebenar implikatur yang tercetus. Selain itu
juga, perbualan yang mengeksploitasi MPK dalam dialog filem Melayu juga
memaparkan kepelbagaian struktur eksploitasi. Setiap struktur eksploitasi ini mempunyai ciri yang ketara dan berbeza untuk kesemua jenis MPK.
Kepelbagaian struktur eksploitasi MPK ini dapat dilihat menerusi perkataan,
frasa, atau ayat yang digunakan. Kajian ini membuktikan bahawa eksploitasi
tidak menjejaskan proses penyampaian maklumat yang tepat dalam perbualan.
Kehadiran eksploitasi MPK dalam perbualan masyarakat Melayu menerusi filem
dapat memperlihatkan lagi ciri berbahasa masyarakat Melayu yang tidak
memenuhi panduan asas perbualan tetapi dapat menghubungkan konsep
kerjasama iaitu memberikan sumbangan yang berkesan dalam perbualan.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |