UPM Institutional Repository

Perbandingan antara novel Pujangga Melayu dengan novel Elizabeth Costello berdasarkan kerangka fiksyen falsafah oleh Jukka Mikkonen


Citation

Halis Azhan, Nudra Shafini (2020) Perbandingan antara novel Pujangga Melayu dengan novel Elizabeth Costello berdasarkan kerangka fiksyen falsafah oleh Jukka Mikkonen. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Tesis ini bertitik tolak daripada kenyataan Mohd. Affandi Hassan dan Ungku Maimunah Mohd. Tahir bahawa novel Elizabeth Costello karya seorang penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2003 iaitu J. M. Coetzee, menepati ciri-ciri novel ilmu/falsafah yang ditawarkan oleh Persuratan Baru. Ciri-ciri yang sama dikenal pasti hadir menerusi karya kreatif Mohd. Affandi Hassan sendiri iaitu Pujangga Melayu yang rata-rata diterima sebagai “manifestasi konkrit” kepada gagasan tersebut. Hal ini sekali gus mengundang satu perbandingan antara kedua-dua buah novel. Pengamatan awal terhadap kajian-kajian ilmiah menunjukkan bahawa kedua-dua buah novel menyampaikan ilmu atau falsafah. Di satu pihak, Pujangga Melayu rata-ratanya diperakukan sebagai sebuah “novel ilmu” dengan penerapan Persuratan Baru. Di satu pihak lagi, Elizabeth Costello rata-ratanya diperakukan sebagai sebuah “fiksyen falsafah” dengan penelitian terhadap pengisiannya yang filosofikal. Hakikat ini mengundang satu penelitian ilmiah yang mendalam terhadap kedua-dua buah novel. Bagi merungkaikan permasalahan yang dinyatakan, tesis ini menstrukturkan tiga objektif. Pertama, menganalisis novel Pujangga Melayu dan Elizabeth Costello berdasarkan kerangka Fiksyen Falsafah yang digariskan oleh Jukka Mikkonen. Kedua, membandingkan antara novel Pujangga Melayu dengan Elizabeth Costello sebagai karya “fiksyen falsafah”. Dan ketiga, merumuskan kedudukan Pujangga Melayu dan Elizabeth Costello sebagai karya “fiksyen falsafah”. Oleh itu, tesis ini memilih kerangka Fiksyen Falsafah cetusan Jukka Mikkonen sebagai alat analisis. Pemilihan ini didasarkan kepada penubuhan kerangka Fiksyen Falsafah sendiri yang menganjurkan karya fiksyen sebagai medium untuk menyampaikan falsafah. Antara konsep penting yang digariskan daripada kerangka Fiksyen Falsafah adalah “Pernyataan Sastera” iaitu konsep yang memperakukan wujudnya keterjalinan antara “Pernyataan Naratif” dengan “Pernyataan Langsung” dalam bentuk yang nyata dan eksplisit. Dengan menerapkan kerangka Fiksyen Falsafah ke atas Pujangga Melayu dan Elizabeth Costello, tesis ini mengemukakan beberapa dapatan penting. Pertama, kedua-dua buah novel mengandungi “Pernyataan Naratif” yang berjalin dengan “Pernyataan Langsung”. Kedua, Pujangga Melayu didapati menghadirkan “Pernyataan Langsung” dalam tempoh penceritaan, sebagaimana yang terserlah pada jumlah halaman, penyusunan falsafah dan pemikiran serta pemanipulasian “Pernyataan Naratif” secara menyeluruh agar akur kepada falsafah dan pemikiran yang disampaikan. Ketiga, Elizabeth Costello didapati menghadirkan “Pernyataan Naratif” dalam tempoh penceritaan, sebagaimana yang dapat diteliti pada jumlah halamannya, falsafah dan pemikirannya yang tidak tersusun secara kronologikal agar akur kepada falsafah dan pemikiran yang dimuatkan. Tesis ini, di satu pihak, membuktikan status “novel ilmu” Pujangga Melayu masih utuh dengan penerapan kerangka selain Persuratan Baru. Manakala di satu pihak lagi, tesis ini mengesahkan dakwaan sarjana dan pengkritik sastera bahawa Elizabeth Costello merupakan “fiksyen falsafah” menerusi penelitian ke atas medium yang dimanfaatkan untuk menyampaikan falsafah. Secara keseluruhannya, kajian ini berupaya menyerlahkan kelebihan kedua-dua buah novel yang dikaji sebagai karya fiksyen falsafah berdasarkan kerangka “Fiksyen Falsafah” yang dicetuskan oleh Jukka Mikkonen.


Download File

[img] Text
FBMK 2021 10 - IR.1.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Fiction - Comparative studies
Subject: Philosophical anthropology in literature
Subject: South African fiction
Call Number: FBMK 2021 10
Chairman Supervisor: Mohd. Zariat bin Abdul Rani, PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Ms. Nur Faseha Mohd Kadim
Date Deposited: 28 Sep 2022 03:58
Last Modified: 28 Sep 2022 03:58
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/98806
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item