UPM Institutional Repository

Penggunaan bahasa dan identiti bahasa pelajar Melayu Brunei di Sabah


Citation

Mohd. Arif, Mohd. Arifin (2020) Penggunaan bahasa dan identiti bahasa pelajar Melayu Brunei di Sabah. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Bahasa merupakan medium utama untuk menyerlahkan identiti bahasa masyarakat, khususnya golongan muda. Penggunaan bahasa ibunda dalam komunikasi seharian secara tidak langsung memperlihatkan sikap penutur terhadap bahasa Melayu. Sehubungan dengan itu, kajian ini bertujuan untuk menghuraikan penggunaan dan tahap penguasaan bahasa pelajar Melayu Brunei di Sabah serta merumuskan hubungan antara sikap dengan identiti bahasa mereka. Reka bentuk kajian ini menggabungkan pendekatan kuantitatif dan kualitatif. Kaedah tinjauan dan lapangan digunakan dalam pengumpulan data. Data kemudiannya dianalisis dengan menggunakan Teori Analisis Domain Fishman (1965) dengan menumpukan kepada domain rumah dan domain sekolah. Model Identiti Bahasa (Rezaie, 2013) pula digunakan untuk mengenal pasti semangat kekitaan, sikap terhadap sebutan, bahasa dan status sosial, penggunaan bahasa lain, pengetahuan bahasa dan abjad. Mankala, Senarai Swadesh (2013) digunakan untuk mengenal pasti pemilihan kosa kata pelajar. Responden terdiri daripada 56 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Membakut II. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pelajar Melayu Brunei lebih kerap menggunakan bahasa Melayu Brunei dalam domain kekeluargaan dan domain pendidikan. Bahasa Melayu standard pula digunakan sebagai kod variasi tinggi dalam konteks formal. Berdasarkan Model Identiti Bahasa, tahap penguasaan bahasa Melayu Brunei pelajar perempuan lebih tinggi berbanding pelajar lelaki. Manakala, hubungan antara sikap dengan identiti bahasa lebih memihak kepada bahasa Melayu Brunei berbanding dengan bahasa Melayu standard. Korelasi antara sikap terhadap bahasa Melayu Brunei dengan identiti bahasa pelajar menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang sederhana antara sikap terhadap bahasa ibunda dengan identiti bahasa. Nilai -.480 mewakili hubungan linear negatif mutlak, iaitu apabila sikap terhadap bahasa ibunda menurun, identiti bahasa pun menurun. Keputusan juga menunjukkan tidak terdapat hubungan yang signifikan antara sikap terhadap bahasa Melayu standard dan identiti bahasa dalam kalangan pelajar. Walau bagaimanapun, ia menunjukkan perkembangan yang positif bagi daya hidup bahasa Melayu Brunei sebagai bahasa ibunda. Tiga faktor yang menyumbang kepada pemeliharaan bahasa Melayu Brunei ialah demografi, sikap terhadap bahasa ibunda dan kesamaan agama. Secara keseluruhannya, pelajar Melayu Brunei masih menggunakan bahasa Melayu Brunei dalam domain tertentu dan mempunyai perkaitan yang rapat dengan identiti bahasa.


Download File

[img] Text
FBMK 2020 51 - IR.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Brunei language - Research - Sabah (Malaysia)
Subject: Bilingualism in children - Research - Sabah (Malaysia)
Subject: Malays (Asian people ) - Ethnic identity. - Brunei
Call Number: FBMK 2020 51
Chairman Supervisor: Profesor Madya Norazlina Mohd Kiram, PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Ms. Nur Faseha Mohd Kadim
Date Deposited: 02 Aug 2022 02:44
Last Modified: 02 Aug 2022 02:44
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/98237
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item