UPM Institutional Repository

Pelajar PhD UPM menang Merck Young Scientist Award 2010


Citation

Universiti Putra Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat (2011) Pelajar PhD UPM menang Merck Young Scientist Award 2010. [UPM News]

Abstract

SERDANG, 13 Jan – Pelajar pasca-siswazah Universiti Putra Malaysia (UPM), Yap Wei Boon, 27, muncul pemenang kategori kromatografi pada majlis Merck Young Scientist Award 2010 (MYSA) setelah berjaya menghasilkan produk penyelidikan Histag Hepatitis B Core Antigen yang dapat mengesan penyakit hepatitis B selain merangsang sistem imuniti badan. Beliau yang masih meneruskan pengajian PhD dalam jurusan Kejuruteraan Genetik dan Biologi Molekul berjaya menghasilkan produk itu melalui penyelidikan tesisnya mengenai pencegahan alternatif penyakit hepatitis B menerusi vaksin atau diagnosis. Kejayaan itu membolehkan Wei Boon membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 , sijil penyertaan serta dinobatkan sebagai Merck Young Scientist 2010. Hadiah disampaikan oleh Pengarah Urusan Merck Sdn. Bhd, Justus Krause-Harder. Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Sains), Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Datin Paduka Dr. Khatijah Yusof dan Duta Jerman di Malaysia Dr. Guenter Gruber. Menurut Wei Boon, Histag Hepatitis B Core Antigen adalah sejenis cecair antigen yang diperoleh dalam bakteria melalui proses kromatografi dan ia boleh meningkatkan sistem imuniti badan pesakit hepatitis B. “Kromatografi merupakan suatu proses mengasingkan sesuatu bahan yang kita mahu dengan bahan yang kita tak mahu. Dalam konteks ini saya mengasingkan antigen yang terdapat dalam bakteria yang sangat berguna untuk mengesan penyakit hepatitis B selain meningkatkan imunisasi badan. “Penyelidikan ini bertujuan menghasilkan antigen yang lebih murah berbanding antigen yang diimport. Ia murah kerana proses menghasilkan bahan ini lebih mudah daripada kaedah sedia ada,” katanya yang menyiapkan projek itu selama setahun setengah bermula tahun 2007 hingga awal 2009. MYSA yang bermula April tahun lalu adalah anjuran Merck Sdn. Bhd iaitu anak kumpulan syarikat multinasional Merck KGaA yang beribu pejabat di Jerman. Program itu bertujuan mengiktiraf hasil penyelidikan tempatan dalam bidang biosains. MYSA terbuka kepada penyelidik tempatan dengan hasil penyelidikan dalam bidang sains akan diterbitkan dalam mana-mana penerbitan. Hanya kajian dalam bidang biosains dan kromatologi akan diterima. Penyelidikan juga mestilah dibuat di mana-mana institusi pengajian tinggi tempatan. Keaslian, kualiti dan implikasi kajian kepada masa depan pembangunan biosains atau aplikasi kromatologi di Malaysia adalah elemen penting dalam proses penilaian pemenang.


Download File

[img]
Preview
PDF
Pelajar_PhD_UPM.pdf

Download (54kB)

Additional Metadata

Item Type: UPM News
Depositing User: Muizzudin Kaspol
Date Deposited: 19 Jan 2011 08:05
Last Modified: 27 May 2013 07:41
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/9307
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item