Simple Search:

SMK Wilayah Persekutuan Labuan Johan Kempas 2010


Citation

Universiti Putra Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat (2010) SMK Wilayah Persekutuan Labuan Johan Kempas 2010. [UPM News]

Abstract / Synopsis

SERDANG, 16 Disember – Perjalanan jauh ternyata berbaloi bagi sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah, apabila mereka muncul juara dalam pertandingan Kem Pendidikan Alam Semula Jadi (Kempas) 2010 anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM), di Hutan Simpan Ayer Hitam Puchong, di sini. Kumpulan pelajar terbabit berjaya mengutip markah tertinggi dalam kesemua modul pertandingan yang disediakan mengalahkan pasukan daripada sembilan negeri lain sekali gus membawa pulang hadiah sebanyak RM1,000 berserta piala pusingan dan sijil penyertaan. Salah seorang pemenang, Daniel Ian Obot, 16, berkata selain gembira dengan kemenangan tersebut, program itu banyak memberi kesedaran kepadanya mengenai kepentingan menghargai alam sekitar serta meningkatkan kefahaman terhadap pendidikan alam semula jadi melalui kaedah amali. “Selama empat hari berada di hutan kami diberi banyak pendedahan mengenai alam sekitar, flora dan fauna. Di sini juga kami berpeluang melakukan aktiviti pembelajaran dan penyelidikan secara amali untuk mengenali lebih dekat khazanah alam yang terdapat di hutan,” katanya. Tempat kedua, dimenangi oleh pasukan dari SMK Perempuan Sultan Ibrahim Johor manakala tempat ketiga berjaya diduduki pasukan dari Sekolah Menengah (SM) Sains Lahad Datu, Sabah. Kedua-dua pasukan berjaya membawa pulang hadiah bernilai RM800 dan RM600 berserta sijil penyertaan. Beberapa anugerah lain turut disampaikan termasuk Anugerah Perdana Alam yang dimenangi oleh Fitri Helyani16, dari SMK Wilayah Persekutuan Labuan, Anugerah Kepimpinan Alam dimenangi oleh Mohd. Hafiz Hadi, 16, dari Sekolah SM Sains Lahad Datu, Anugerah Tunas Alam (Muhammad Izzat Yamin, 16, SMK Agama Baling, Kedah) dan Anugerah Kreativiti Alam (Lim Tsu May, 16, SMK Convent Teluk Intan, Perak). Terdahulu, Timbalan Dekan Fakulti Perhutanan UPM, Prof. Madya Dr. Mohd. Zaki Hamzah dalam ucapan majlis penutup berkata, sambutan yang menggalakkan daripada pelajar dan pihak sekolah dalam program Kempas 2010 melambangkan keprihatinan yang tinggi terhadap isu-isu alam semula jadi di kalangan masyarakat masa kini. “Bagi melahirkan generasi yang cintakan alam sekitar, kesedaran haruslah dipupuk pada peringkat awal ibarat ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Inilah yang dilakukan oleh UPM dalam usaha melahirkan generasi mesra alam,” katanya. Kem pendidikan peringkat kebangsaan itu melibatkan 30 peserta daripada 10 sekolah dari Johor, Pahang, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya. Program tersebut berjalan selama empat hari bermula 13 hingga 16 Disember anjuran UPM dengan kerjasama ExxonMobil, Kementerian Pelajaran dan Berita Harian. Kempas merupakan kesinambungan program Kuiz Sains Alam Semula Jadi yang mula dianjurkan oleh Fakulti Perhutanan sejak 1997, bagaimana pun sejak 2006 program tersebut telah ditukar daripada kuiz kepada bentuk kem. Pertandingan itu terbuka kepada pelajar tingkatan empat dan dijalankan melalui dua peringkat iaitu peringkat negeri diadakan secara ujian bertulis manakala peringkat kebangsaan dijalankan dalam bertuk kem dan dikendalikan sepenuhnya oleh Fakulti Perhutanan UPM.


Download File

[img]
Preview
PDF
SMK_Wilayah_Persekutuan_Labuan_Johan_Kempas_2010.pdf

Download (141kB)

Additional Metadata

Item Type: UPM News
Depositing User: Nurul Hayatie Hashim
Date Deposited: 21 Dec 2010 09:18
Last Modified: 27 May 2013 15:39
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/8826
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item