UPM Institutional Repository

Komponen kem dalam perkembangan moral bagi murid bermasalah tingkah laku


Citation

Tan, Soon Hun (2019) Komponen kem dalam perkembangan moral bagi murid bermasalah tingkah laku. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Kajian ini meneliti penglibatan komponen kem dalam perkembangan moral bagi murid bermasalah tingkah laku di sebuah sekolah menengah di Johor. Hal ini demikian kerana murid bermasalah tingkah laku mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Pendidikan luar seperti Kem Bina Insan (KBI) adalah satu cara untuk mengatasi masalah tersebut. Namun terdapat jurang teori, kajian dan metodologi tentang penglibatan komponen kem dalam perkembangan moral. Seramai 53 orang murid telah dipilih sebagai peserta soal selidik dan enam orang murid dipilih sebagai peserta temu bual berdasarkan sampel kajian. Penyelidikan ini mengaplikasikan tiga teori asas iaitu teori pembelajaran berasaskan pengalaman (Kolb, 1984), model McKenzie (2000, 2003) dan model Empat Komponen Tindakan Moral (Rest, 1984). Dalam kajian ini, kaedah deskriptif dilakukan terhadap KBI bagi mengumpul data secara kuantitatif (soal selidik) dan kualitatif (temu bual) bagi menjawab tiga persoalan kajian iaitu: Apakah komponen-komponen kem yang terlibat dalam perkembangan moral bagi murid bermasalah tingkah laku?; Bagaimanakah komponen-komponen kem terlibat dalam perkembangan moral bagi murid bermasalah tingkah laku?; Mengapakah komponen-komponen kem terlibat dalam perkembangan moral bagi murid bermasalah tingkah laku? Dapatan kajian yang pertama telah mengenal pasti kualiti kem (M=4.27, SP=0.09) dan fasilitator (M=4.04, SP=0.11) merupakan komponen kem yang mempunyai penglibatan tinggi dalam perkembangan moral bagi murid bermasalah tingkah laku. Manakala komponen kem yang lain seperti kumpulan (M=3.93, SP=0.06), aktiviti khusus (M=3.86, SP=0.45) dan persekitaran fizikal (M=3.84, SP=0.13) pula memperlihatkan penglibatan yang sederhana dalam perkembangan moral bagi murid bermasalah tingkah laku. Dapatan kajian seterusnya menerangkan komponen kem dalam perkembangan moral bagi murid bermasalah tingkah laku adalah terdiri daripada ransangan pemikiran (menaakul, membuat pertimbangan), sentuhan emosi (empati, rasa bersalah, kemuliaan, kesyukuran) dan dorongan tingkah laku (patuh, altruistik). Dapatan kajian yang ketiga memerihalkan bahawa motivasi dalaman (keinginan diri, refleksi diri, nilai personal, pengalaman diri) dan motivasi luaran (fasilitator, kumpulan) sebagai penglibatan komponen kem dalam kajian ini. Kesimpulannya, dapatan kajian yang diperoleh melalui kajian kem tumpuan iaitu Kem Bina Insan (KBI) memberi pemahaman mendalam tentang penglibatan komponen kem terhadap perkembangan moral dalam kalangan murid-murid bermasalah tingkah laku. Oleh itu, hasil kajian ini boleh dicadangkan atau dijadikan sebagai garis panduan oleh manamana pihak penganjur kem bagi memantapkan program Pendidikan Moral di sekolah-sekolah ke arah membentuk modal insan yang bermoral dan bersahsiah tinggi.


Download File

[img] Text
FPP 2019 39 UPM ir.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Moral development
Subject: Ethics
Subject: Moral education
Call Number: FPP 2019 39
Chairman Supervisor: Nur Surayyah Madhubala Abdullah, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Editor
Date Deposited: 24 May 2021 01:58
Last Modified: 10 Dec 2021 07:40
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/85557
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item