UPM Institutional Repository

Pengaruh pendidikan formal dalam cerpen Nisah Haron dan Aidil Khalid berdasarkan kerangka konseptual kata kunci


Citation

Ismail, Norsuhaida (2019) Pengaruh pendidikan formal dalam cerpen Nisah Haron dan Aidil Khalid berdasarkan kerangka konseptual kata kunci. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Tesis ini bertitik tolak daripada pengamatan awal yang mendapati kajian-kajian sedia ada berkaitan kegiatan penulisan kreatif lebih menonjolkan peranan pendidikan tidak formal, terutamanya pengalaman peribadi sebagai sumber penting dalam penulisan. Lanjutan daripada pengamatan ini, kajian ini menghujahkan bahawa pendidikan formal yang dimiliki oleh penulis memainkan peranan yang tidak kurang penting dalam mempengaruhi kegiatan penulisan kreatif mereka. Bagi memperkukuhkan hujah ini, kajian ini menarik perhatian kepada orang penulis yang telah mencipta nama yang tersendiri dalam dunia penulisan kreatif di negara ini, iaitu Nisah Haron dan Aidil Khalid, yang kedua-duanya merupakan penulis kreatif yang menerima pendidikan formal dalam bidang undang-undang. Tumpuan terhadap Nisah Haron dan Aidil Khalid ini diperkukuh dengan pengamatan awal terhadap persepsi serta komen umum daripada pembaca yang rata-rata menganggap karya-karya mereka banyak dipengaruhi oleh pendidikan formal dalam undang-undang yang dimiliki kedua-duanya. Hal ini dengan sendirinya mengundang sebuah kajian ilmiah yang menganalisis secara sistematik soal pengaruh pendidikan formal dalam cerpen-cerpen Nisah Haron dan Aidil Khalid. Pemilihan genre cerpen diasaskan pada justifikasi bahawa kedua-dua penulis ini dilihat lebih menyerlahkan dalam genre sastera tersebut berbanding genre-genre sastera yang lain. Justeru, cerpen-cerpen yang dijadikan sebagai bahan kajian ialah “Impian Tsu-Ryi” (2002) dan “Afidavit Emosi” (2002) karya Nisah Haron, dan “Bila Adik Dinie Melatah” (2008) dan “Res Judicata” (2011) karya Aidil Khalid. Kajian ini distrukturkan untuk merealisasikan dua objektif kajian. Pertama, menganalisis pengaruh pendidikan formal dalam cerpen-cerpen karya Nisah Haron dan Aidil Khalid. Kedua, merumuskan soal pengaruh pendidikan formal sebagai sumber penulisan kreatif dalam cerpen-cerpen karya Nisah Haron dan Aidil Khalid yang dikaji berdasarkan kerangka Konseptual Kata Kunci. Bagi merealisasikan kedua-dua objektif tersebut, kajian ini menerapkan Konseptual Kata Kunci yang dicetuskan oleh Mohammad Mokhtar Hassan, sebagai kerangka analisis. Pemilihan Konseptual Kata Kunci diasaskan kepada tiga prinsip yang ditawarkannya, iaitu prinsip “Kepengaruhan”, prinsip “Pemilihan Kata” dan prinsip “Kesan”. Dengan menerapkan ketiga-tiga prinsip ini, analisis mendapati Nisah Haron dan Aidil Khalid telah memanfaatkan antaranya kelayakan akademik dan pendidikan formal, selain pengalaman kerja dan kerjaya mereka dalam menulis cerpen-cerpen yang dikaji. Analisis juga mendapati bahawa kedua-dua penulis telah menghadirkan istilah-istilah yang secara khusus merujuk kepada bidang undang-undang. Hal ini menimbulkan kesan yang ketara bahawa penulisan cerpen-cerpen yang dikaji rata-rata dipengaruhi oleh pendidikan formal yang dimiliki oleh kedua-dua penulis. Dengan dapatan-dapatan daripada analisis ini, kajian ini berhasil dalam merumuskan bahawa cerpen-cerpen yang dikaji rata-rata dipengaruhi oleh pendidikan formal yang dimiliki oleh Nisah Haron dan Aidil Khalid. Kajian ini berserta penemuan-penemuannya diharapkan dapat memberikan sumbangan dalam memperkayakan lagi korpus penyelidikan dan sekali gus memperluaskan lagi sempadan penyelidikan berkaitan penulisan kreatif dalam kesusasteraan Melayu.


Download File

[img] Text
FBMK 2019 40 - ir.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Creative writing - Study and teaching
Subject: Non-formal education
Call Number: FBMK 2019 40
Chairman Supervisor: Mohd. Zariat bin Abdul Rani, PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Ms. Nur Faseha Mohd Kadim
Date Deposited: 09 Mar 2021 07:14
Last Modified: 31 Dec 2021 03:35
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/84690
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item