Citation
Abu Bakar, Yuzniza and Mohd Puad, Mohd Hazwan and Abd Aziz, Zaharah
(2019)
Tahap kepuasan kepemimpinan penyeliaan pensyarah dalam penilaian projek tahun akhir pelajar di Kolej Vokasional Dato' Lela Maharaja, Rembau, Negeri Sembilan.
In: Graduate Research in Education Seminar (GREduc 2019), 13 Dec. 2019, Faculty of Educational Studies, Universiti Putra Malaysia. (pp. 351-359).
Abstract
Kepemimpinan penyeliaan sangat penting dalam pembelajaran dan pengajaran terutamanya dalam aktiviti kerja berkumpulan mahupun secara individu di kalangan pelajar. Projek Tahun Akhir (PTA) yang dilaksanakan di Kolej Vokasional (KV) menggariskan panduan setiap pensyarah dalam bidang perlu menyelia aktiviti projek dari mula hingga akhir. Pensyarah akan dilantik dan dipertanggungjawabkan untuk menyelia pelajar-pelajar yang ditetapkan. Penyeliaan merupakan salah satu faktor dalam kepuasan kerja seseorang individu yang diselia bagi mencapai matlamat dan prestasi kumpulan yang ditetapkan. Kepemimpinan penyeliaan meliputi keupayaan dalam memberi arahan dengan jelas, sokongan untuk pembangunan kerjaya, kebolehan membuat keputusan, berkomunikasi mengenai matlamat dan strategi, berkepakaran, bersifat adil serta mempunyai akauntabiliti dan komitmen bersama digabungkan dengan persekitaran pimpinannya membangunkan motivasi kerja dalam perlaksanaan tugasan bersama. Kajian ini bertujuan untuk mengetahui tahap kepuasan kepemimpinan penyeliaan pensyarah dalam kalangan pelajar tahun akhir dan mengenal pasti perbezaan kepuasan berdasarkan jantina serta program. Kajian ini dilaksanakan secara deskriptif kuantitatif. Borang soal selidik yang terdiri daripada 13 soalan menggunakan skala lima mata Likert digunakan untuk mendapatkan data kajian. Responden kajian terdiri daripada 111 orang pelajar bidang pertanian Kolej Vokasional Dato’ Lela Maharaja, Rembau, Negeri Sembilan yang sedang menjalani Projek Tahun Akhir di KV. Data dianalisis menggunakan Statistical Package for the Social Sciences atau SPSS 24. Keputusan kajian diperolehi dengan mengukur skor min setiap item dan skor min keseluruhan untuk mengukur tahap kepuasan kepemimpinan penyeliaan pensyarah. Dapatan kajian mendapati pelajar memberi respon yang positif bahawa kepemimpinan penyeliaan yang diberikan oleh pensyarah dilakukan dengan baik sewaktu proses PTA dijalankan. Hasil analisis menunjukkan bahawa kepuasan kepemimpinan penyeliaan pensyarah adalah pada tahap tinggi dengan jumlah nilai min 4.19. Seterusnya data analisis menunjukkan tiada perbezaan signifikan antara jantina dan program dengan kepuasan kepemimpinan penyeliaan. Kajian ini menunjukkan tindakan kepemimpinan serta keterlibatan para pensyarah dalam tugas penyeliaannya memberikan tahap kepuasan yang tinggi oleh pelajar. Pendedahan amalan profesional para pensyarah dalam kepemimpinan penyeliaan PTA diperlukan dalam memastikan penghasilan projek yang berkualiti dan graduan berketerampilan sebelum bergraduat. Selain daripada kepuasan kepemimpinan penyeliaan, skop kajian boleh diperluaskan bagi memberi gambaran yang lebih jelas mengenai perlaksanaan PTA di KV.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |