Simple Search:

Kawalan sosial beraja dalam naskhah historiografi Melayu


Citation

Anwar, Suhadan (2017) Kawalan sosial beraja dalam naskhah historiografi Melayu. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract / Synopsis

Kajian ini bertujuan untuk membicarakan kawalan sosial beraja dalam naskhah historiografi Melayu. Berdasarkan penelitian terhadap kajian-kajian lepas mendapati bahawa terdapat permasalahan yang wujud berkaitan dengan kawalan sosial yang dilakukan terhadap masyarakat Melayu tradisional dalam naskhah historiografi Melayu, khususnya bentuk kawalan sosial beraja. Berhubungan dengan itu, kajian ini dilakukan untuk mencapai dua objektif utama, iaitu menganalisis, dan merumus bentuk kawalan sosial beraja dalam naskhah historiografi Melayu yang dikaji berdasarkan tahap-tahap „peradaban‟ („umran) menurut Ibn Khaldun. Kajian ini dilakukan dengan menggunakan tiga buah naskhah historiografi Melayu, iaitu naskhah Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Tuhfat al-Nafis, dan Hikayat Siak serta mengaplikasikan teori „umran (peradaban) oleh Ibn Khaldun dengan menggunakan kaedah kajian kualitatif. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat beberapa bentuk kawalan sosial beraja dalam historiografi Melayu melalui tiga tahap „peradaban‟, iaitu tahap awal „peradaban‟ memanifestasikan kawalan sosial beraja melalui bentuk persamaan hak dan egalitarian, serta bentuk psikologi dan metafizik yang berlaku disebabkan oleh keperluan sesebuah masyarakat kepada seorang ketua (raja) untuk memerintah mereka demi melindungi keperluan dan kepentingan mereka bersama. Raja (individu yang dilantik sebagai ketua) akan bertindak membangunkan negeri atau „kerajaan‟ bersama-sama rakyatnya tanpa ada perbezaan dari segi status dan hierarki dalam masyarakat tetapi sangat dihormati dan dipatuhi oleh masyarakatnya. Pada tahap kedua pula bentuk psikologi dan metafizik, serta bentuk kekerasan yang berteraskan kepada keadilan berlaku dalam masyarakat. Hal ini kerana raja mentadbir rakyatnya berasaskan ideologi politik dan agama. Rakyat dikawal melalui undang-undang dan hukuman yang telah ditetapkan sehingga menyebabkan kerajaan yang dibina mencapai peringkat kegemilangan dalam tamadun. Tahap yang ketiga atau terakhir, adalah tahap kemunduran dan kemerosotan yang memanifestasikan kawalan sosial beraja berasaskan bentuk keganasan. Raja atau pemerintah mula bertindak zalim ke atas rakyatnya. Hal ini menyebabkan rakyat hilang semangat untuk mempertahankan peradaban atau kerajaan mereka sehingga menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Melayu.


Download File

[img]
Preview
PDF
FBMK 2018 56 IR.pdf

Download (457kB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Historiography - Malay Archipelago
Call Number: FBMK 2018 56
Chairman Supervisor: Salmah Jan binti Noor Muhammad, PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Mas Norain Hashim
Date Deposited: 27 Nov 2019 11:36
Last Modified: 27 Nov 2019 11:36
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/75559
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item