UPM Institutional Repository

Faktor penentu amalan pengurusan risiko kredit dalam kalangan penjawat awam di Malaysia


Citation

Subramaniam, Kanmani (2017) Faktor penentu amalan pengurusan risiko kredit dalam kalangan penjawat awam di Malaysia. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Perkembangan ekonomi yang kian pesat menyebabkan taraf hidup rakyat Malaysia semakin meningkat seiring dengan secara tidak langsung mempengaruhi kehendak pengguna terhadap keperluan kepelbagaian barangan dan perkhidmatan kredit yang kian bertambah. Justeru, pengguna dapat memiliki barangan dengan mudah secara kredit. Malangnya, dengan tabiat penggunaan kredit yang berlebihan dan tidak mempraktikkan amalan pengurusan risiko kredit menyebabkan pengguna bakal menghadapi risiko kredit yang serius seperti kes muflis. Oleh itu, kajian mengenai amalan pengurusan risiko kredit adalah amat diperlukan bagi menangani masalah risiko kredit. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti pengaruh faktor–faktor seperti latar belakang responden, kesedaran terhadap pengurusan risiko, lokus kawalan, nilai diri, orientasi masa hadapan, toleransi risiko kewangan dan masalah kewangan individu ke atas amalan pengurusan risiko kredit dalam kalangan penjawat sektor awam bandar di Semenanjung Malaysia. Kajian ini merupakan sebahagian daripada projek FRGS. Kaedah persampelan rawak berlapis digunakan bagi memperoleh responden kajian yang terdiri daripada penjawat awam. Untuk mendapatkan responden yang mengamalkan amalan pengurusan risiko kredit digunakan kes dipilih (select case) di mana responden terlibat dalam sekurang–kurangnya tiga jenis pinjaman seperti pinjaman perumahan, sewa beli dan pinjaman peribadi. Hasil analisisnya mendapati seramai 120 responden yang melakukan amalan pengurusan risiko kredit digunakan untuk tujuan analisis. Penjawat awam menjawab soal selidik yang dibentuk dan data dianalisis dengan menggunakan perisian SPSS. Analisis deskriptif digunakan bagi melihat taburan kesemua pemboleh ubah kajian. Diikuti dengan analisis inferensi seperti ujian-t dan regresi pelbagai digunakan bagi menguji objektif kajian seperti menentukan perbezaan dalam amalan pengurusan risiko kredit berdasarkan latar belakang responden (jantina, pendidikan, pendapatan individu, beban hutang dan status kewangan) dan juga dalam menentukan faktor-faktor yang mempengaruhi amalan pengurusan risiko kredit melalui penggunaan Model Amalan Pengurusan Risiko Kredit. Selain itu, dapatan ujian-t menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam amalan pengurusan risiko kredit mengikut jantina (t=0.607; p≥0.05), pendidikan (t=0.055; p≥0.05), pendapatan individu (t=1.264; p≥0.05), beban hutang (t=-0.561; p≥0.05) dan status kewangan (t=-1.028; p≥0.05). Jelasnya ini terbukti bahawa penjawat awam sama ada yang lelaki atau perempuan, berpendidikan tinggi atau rendah, berpendapatan tinggi atau rendah, mempunyai beban hutang yang tinggi atau rendah dan memiliki status kewangan yang bagus atau tidak, tidak semestinya cenderung mempraktikkan amalan pengurusan risiko kredit. Di samping itu, ujian analisis regresi pelbagai pula menunjukkan model amalan pengurusan risiko kredit yang dihasilkan adalah sah dengan nilai F yang signifikan [F(11,108)=2.256, p=0.016]. Sementara itu, kajian melaporkan bahawa 18.7 peratus variasi dalam amalan pengurusan risiko kredit dipengaruhi oleh hubungan dengan faktor toleransi risiko kewangan (B=1.047, t=2.643, p=0.009) dan masalah kewangan individu (B=0.460, t=2.002, p=0.048). Oleh itu, faktor yang paling mempengaruhi bagi meramalkan amalan pengurusan risiko kredit daripada kajian ini adalah toleransi risiko kewangan (B=1.047, t=2.643, p=0.009) diikuti oleh masalah kewangan individu (B=0.460, t=2.002, p=0.048). Dapatan ini memberikan bukti bahawa faktor personaliti tertentu seperti toleransi risiko kewangan dan juga masalah kewangan individu merupakan peramal yang berpengaruh bagi amalan pengurusan risiko kredit. Secara keseluruhannya, dapatan kajian ini memberi manfaat dan implikasi kepada penjawat awam, penyelidik akan datang, penggubal undang-undang dan agensi berkaitan dengan mengetahui faktor-faktor yang mempengaruhi individu dalam meningkatkan amalan pengurusan risiko kredit.


Download File

[img]
Preview
Text
FEM 2017 8 - IR.pdf

Download (2MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Credit - Management
Call Number: FEM 2017 8
Chairman Supervisor: Husniyah Abd. Rahim @ Abd. Wahab, PhD
Divisions: Faculty of Human Ecology
Depositing User: Nurul Ainie Mokhtar
Date Deposited: 29 Aug 2019 02:05
Last Modified: 29 Aug 2019 02:06
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/70372
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item