UPM Institutional Repository

Ujaran santun dalam perbualan kanak-kanak melayu


Citation

Tahir, Rabahyah (2016) Ujaran santun dalam perbualan kanak-kanak melayu. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Kesantunan berbahasa dalam interaksi merupakan manifestasi kesedaran individu terhadap kepentingan mengekalkan kelangsungan perbualan yang harmoni. Justeru, kehadirannya merentas interaksi semua komuniti bahasa di dunia tanpa mengecualikan mana-mana kumpulan pengguna bahasa. Malah, fenomena kesantunan berbahasa adalah berbeza dan unik mengikut acuan konteks budaya sesebuah komuniti bahasa.Lantaran itu, kesantunan berbahasa dalam kalangan kanak-kanak pastinya berbeza daripada pengguna bahasa dewasa. Oleh itu, kajian ini mengenal pasti, menganalisis dan mengkategori penggunaan ujaran santun dalam perbualan kanak-kanak Melayu. Di samping itu, pengaruh faktor jarak sosial dalam penggunaan ujaran santun tersebut turut dikupas. Sehubungan dengan itu, kajian ini menggunakan Prinsip Kesopanan Leech (1983) untuk merungkai ujaran santun dalam perbualan kanak-kanak Melayu.Kajian berbentuk kualitatif ini menggunakan persampelan bertujuan dalam memilih 20 orang kanak-kanak Melayu berumur enam tahun dari Tadika Iman Taman Manis Tadika Agama Johor Sekolah Bandar Batu Pahat, Tadika Oren Cemerlang Parit Sulong dan Prasekolah SK Parit Bilal. Data kajian diperoleh melalui rakaman perbualan subjek kajian semasa melakukan aktiviti seni secara formal di tadika/ prasekolah. Seterusnya transkripsi perbualan tersebut dianalisis menggunakan Prinsip Kesopanan Leech (1983).Hasil kajian ini mendapati bahawa wujud ujaran santun dalam perbualan kanak-kanak Melayu yang terdiri daripada ujaran permintaan, pujian, penghargaan, simpati, tawaran, persetujuan, dan ujaran merendah diri. Ujaran-ujaran santun digunakan dalam pelbagai konteks yang berbeza semasa perbualan. Walau bagaimanapun penggunaan ujaran santun oleh subjek kajian dalam konteks tertentu adalah masih terhad. Misalnya,ujaran santun penghargaan, iaitu “terima kasih” hanya diujarkan apabila seseorang memenuhi permintaan mereka yang melibatkan objek sahaja. Walhal, seseorang yang menghulurkan bantuan melakukan sesuatu juga wajar menerima penghargaan “terima kasih”.Di samping itu, dapatan kajian juga menunjukkan bahawa penggunaan ujaran santun oleh subjek kajian dipengaruhi oleh faktor jarak sosial. Hal ini menggambarkan bahawa subjek kajian mampu mengubah suai penggunaan ujaran apabila berinteraksi dengan pendengar yang berbeza. Berdasarkan kajian ini juga didapati bahawa ujaran santun yang digunakan oleh subjek kajian mematuhi keenam-enam maksim dalam Prinsip Kesopanan Leech (1983). Hal ini membuktikan keberkesanan teori tersebut dalam menganalisis ujaran santun dalam perbualan kanak-kanak Melayu. Di samping itu, dominasi Maksim Santun dalam perbualan subjek kajian juga menunjukkan keprihatinan yang tinggi terhadap keperluan kesopanan pada pihak orang lain berbanding diri sendiri.Secara keseluruhannya disimpulkan bahawa kanak-kanak Melayu seawal usia enam tahun sudah mampu menggunakan ujaran yang santun dalam perbualan mereka malah turut mengambil kira faktor jarak sosial semasa berinteraksi. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan manifestasi pemahaman mereka terhadap nilai dan budaya masyarakat Melayu yang menitikberatkan kesantunan berbahasa.


Download File

[img]
Preview
Text
FBMK 2016 77 IR.pdf

Download (2MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Children - Language and languages
Call Number: FBMK 2016 77
Chairman Supervisor: Prof. Madya Zaitul Azma Zainon Hamzah, PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Mr. Sazali Mohamad
Date Deposited: 26 Jun 2019 02:10
Last Modified: 26 Jun 2019 02:13
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/68921
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item