UPM Institutional Repository

Faktor penentu kesejahteraan kewangan dalam kalangan pengguna Kedai Rakyat 1Malaysia di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya


Citation

Ishak, Norashiken (2018) Faktor penentu kesejahteraan kewangan dalam kalangan pengguna Kedai Rakyat 1Malaysia di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara Menangani Kos Sara Hidup (NKRA- COL) Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dilaksanakan sejak tahun 2011 bagi meningkatkan kebolehcapaian rakyat kepada barangan harga patut, dalam usaha menangani kenaikan kos sara hidup kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana. Kesejahteraan kewangan perlu diberi perhatian kerana tekanan kewangan menyumbang kepada masalah dalam perhubungan keluarga dan isu sosial. Oleh itu, kajian ini dilakukan bertujuan mengenal pasti tahap kesejahteraan kewangan dan faktor-faktor yang mempengaruhinya dalam kalangan pengguna KR1M di Wilayah Persekutuan (W.P.) Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kajian ini merupakan kajian tinjauan berbentuk deskriptif dengan menggunakan pendekatan kuantitatif. Sebanyak empat premis KR1M dipilih sebagai lokasi kajian iaitu tiga di W.P. Kuala Lumpur dan satu di W.P. Putrajaya menerusi kaedah pensampelan sistematik. Borang soal selidik seliaan sendiri diedarkan kepada 400 orang responden yang juga merupakan pengguna KR1M. Item soal selidik kajian ini diadaptasi daripada instrumen beberapa penyelidikan lepas dan diolah berdasarkan kesesuaian konsep dan matlamat inisiatif NKRA-COL KR1M. Penganalisaan data dibahagikan kepada analisis deskriptif dan inferensi yang melibatkan analisis ujian-t, ujian ANOVA Sehala, ujian korelasi Pearson dan ujian regresi pelbagai. Kajian mendapati lebih dua pertiga responden mempunyai pendapatan bulanan kurang daripada RM3,000. Dua pertiga responden menyatakan KR1M menjadi lokasi membeli-belah barangan keperluan harian utama dan produk jenama 1Malaysia Kedai Rakyat (1MKR) adalah pilihan utama. Analisis deskriptif menunjukkan responden memiliki tahap kesejahteraan kewangan yang tinggi, tahap pengetahuan tentang KR1M yang sederhana-tinggi dan tahap persepsi yang positif terhadap KR1M. Manakala, tahap tingkah laku pembelian responden dilaporkan rendah. Analisis korelasi Pearson menunjukkan terdapat hubungan yang positif dan signifikan antara pengetahuan tentang KR1M (p<.05) dan persepsi terhadap KR1M (p<.05) dengan kesejahteraan kewangan. Ini bermakna semakin tinggi pengetahuan dan semakin positif persepsi terhadap KR1M, semakin tinggi kesejahteraan kewangan yang diperoleh menerusi pembelian di KR1M. Keputusan juga menunjukkan tiada hubungan yang signifikan antara tingkah laku pembelian (p>.05) dengan kesejahteraan kewangan. Berdasarkan analisis regresi pelbagai, kesemua pemboleh ubah menjelaskan sebanyak 51.2% varians bagi kesejahteraan kewangan. Didapati kumpulan pendapatan bulanan individu kurang RM1,500 dan kumpulan pendapatan antara RM3,001-RM4,000 sebulan, pengetahuan tentang KR1M, persepsi terhadap KR1M dan tingkah laku pembelian signifikan menyumbang kepada kesejahteraan kewangan responden. Secara keseluruhan, persepsi terhadap KR1M (β=0.646, p<.05) adalah faktor utama yang mempengaruhi kesejahteraan kewangan. Usaha bersepadu perlu diteruskan oleh agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyedarkan pengguna ke arah meningkatkan kemahiran pengurusan kewangan dan pengetahuan kepenggunaan dengan lebih agresif. Hal ini termasuklah modul khusus mengurus perbelanjaan secara cekap mengikut kumpulan pengguna serta kempen membudayakan gerakan pengguna dalam pasaran. Bagi memastikan inisiatif KR1M kekal relevan, penilaian dan improvisasi terhadap mekanisme pelaksanaan program disertai hebahan informasi yang berterusan kepada masyarakat wajar dilakukan oleh semua pemegang taruh.


Download File

[img]
Preview
Text
FEM 2018 11 IR.pdf

Download (737kB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Home economics
Subject: Cost and standard of living
Subject: Grocery trade - Malaysia
Call Number: FEM 2018 11
Chairman Supervisor: Mohamad Fazli bin Sabri, PhD
Divisions: Faculty of Human Ecology
Depositing User: Ms. Nur Faseha Mohd Kadim
Date Deposited: 16 May 2019 06:01
Last Modified: 16 May 2019 06:01
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/68557
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item