UPM Institutional Repository

Pembangunan saiz pakaian kanak-kanak berumur 6 tahun


Citation

Bari, Siti Balkis (2016) Pembangunan saiz pakaian kanak-kanak berumur 6 tahun. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Kajian ini bertujuan untuk membangunkan saiz pakaian kanak-kanak berumur 6 tahun. Masalah seperti sukar untuk mendapatkan pakaian padan yang disebabkan tiada saiz pakaian yang berteraskan ukuran antropometri kanak-kanak Malaysia menyebabkan kajian ini perlu dilakukan. Kajian ini dijalankan di 15 buah pra sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi proses pengambilan ukuran antropometri dan 15 buah pra sekolah yang sama bagi proses pengujian saiz pakaian. Terdapat tiga kali pengumpulan data yang dilakukan ke atas responden yang berbeza. Bagi pengumpulan data antropometri, seramai 198 orang responden lelaki dan 187 orang responden perempuan terdiri daripada etnik Melayu, Cina dan India yang terlibat dalam kajian ini. Bagi proses penilaian pakar, seramai 40 orang pakar yang mempunyai pendidikan formal dalam bidang pembuatan pakaian terlibat dalam kajian ini. Bagi proses pengujian saiz pakaian, seramai 191 orang kanak-kanak lelaki dan 187 orang kanak-kanak perempuan terlibat dalam proses ini. Data yang dikumpul dianalisis menggunakan perisian Statistical Package For Science Social (SPSS) versi 17 bagi mendapatkan nilai peratusan, kekerapan, purata dan sisihan piawai. Bagi meneliti perbezaan ukuran antara jantina dan lokasi, ujian-t sampel tidak bersandar telah digunakan. Bagi meneliti perbezaan ukuran antropometri antara etnik, analisis varian (ANOVA) menggunakan ujian Tukey telah dijalankan. Analisis kluster pula telah digunakan untuk mengklasifikasikan bentuk badan kepada tiga saiz badan iaitu kecil, sederhana dan besar. Bagi mengenal pasti ukuran-ukuran horizontal yang mempengaruhi setiap saiz pakaian, Analisis Komponen Prinsip (PCA) telah digunakan. Berdasarkan analisis deskriptif, ukuran antropometri responden mengikut jantina dan etnik dapat dikenal pasti. Hasil ujian-t menunjukkan terdapat enam ukuran yang mempunyai perbezaan antara jantina. Ukuran-ukuran tersebut ialah berat (t=0.976, p=.041), lilitan dada (t=0.452, p=0.021), panjang tepi luar (t=0.045, p=0.036), panjang belakang tengah (t=0.924, p=0.021), panjang tepi dalam (t=0.013, p=0.029), dan panjang bahu ke bahu (t=0.894, p=0.036). Sementara itu, terdapat sembilan ukuran antropometri yang mempunyai perbezaan antara lokasi. Ukuran-ukuran tersebut ialah berat (t=0.44, p=0.02), lebar badan hadapan (t=0.17, p=0.17), lilitan paha (t=0.127, p=0.008), tinggi (t=0.475, p=0.000), panjang belakang tengah (t=0.900, p=0.000), panjang leher ke lutut (t=0.420, p=0.030), panjang tepi luar (t=0.889, p=0.000), panjang bahu ke bahu (t=0.137, p=0.000) dan lilitan pergelangan kaki (t=0.317, p=0.032). Hasil analisis ujian ANOVA menunjukkan terdapat 13 ukuran yang mempunyai perbezaan antara etnik. Ukuran-ukuran tersebut ialah tinggi [F(2,382)=6.070, p=0.003], panjang leher ke lutut [F(2,382)=5.950, p=0.003], panjang leher ke pinggang [F(2,382)=3.345, p= 0.036], panjang pinggang ke lutut [F(2,382)=7.500, p=0.001], tinggi lutut [F(2,382)=12.463, p=0.000], panjang tepi luar [F(2,382)=8.613, p=0.000], panjang lengan luar [F(2,382)=6.23, p=0.002], lilitan lubang lengan [F(2,382)=4.768, p=0.009], lilitan pergelangan kaki [F(2,382)=9.668, p=0.000], lebar badan hadapan [F(2,382)=13.920, p=0.000], lilitan pergelangan tangan [F(2,382)=7.432, p=0.001] dan panjang belakang tengah [F(2,382)=6.68, p=0.001]. Analisis kluster kaedah K-means telah dijalankan ke atas responden lelaki dan responden perempuan. Hasil analisis kluster bagi responden lelaki bagi ukuran vertikal iaitu ukuran tinggi kluster 1 atau besar ialah 119.46 cm, kluster 2 atau sederhana ialah 116.46 cm dan kluster 3 atau kecil ialah 109.35 cm. Seramai 9.1 % responden lelaki berada pada kluster 1, seramai 40.9 % berada pada kluster 2 dan seramai 50 % berada pada kluster 3. Hasil analisis kluster bagi perempuan pula didapati ukuran tinggi bagi kluster 1 atau sederhana ialah 117.59 cm, kluster 2 atau kecil ialah 110.14 cm dan kluster 3 atau besar ialah 121.35 cm. Seramai 28.9 % responden perempuan berada pada kluster 1, 65.2 % pada kluster 2 dan 5.9 % berada pada kluster 3. Hasil PCA mendapati ukuran lilitan dada merupakan ukuran horizontal yang penting bagi setiap jenis saiz pakaian yang dibangunkan bagi lelaki dan perempuan dalam pembuatan pakaian atas iaitu baju. Bagi ukuran horizontal yang mempengaruhi pembuatan pakaian bawah iaitu seluar pula, didapati ukuran lilitan punggung adalah ukuran yang dominan untuk saiz S perempuan dan saiz M lelaki. Ukuran lilitan pinggang mempengaruhi saiz-saiz lain selain yang dua saiz yang disebut sebelum ini. Kesimpulannya, proses-proses dalam kajian ini boleh membangunkan saiz pakaian yang dapat memenuhi sejumlah besar pengguna kanak-kanak berumur 6 tahun. Saiz pakaian yang pembangunannya berdasarkan pengukuran antropometri boleh meningkatkan kepuasan pengguna dalam memilih dan membeli pakaian di pasaran Malaysia. Kualiti sesuatu pakaian itu terletak pada elemen padan pada pakaian. Oleh yang demikian, ukuran antropometri yang tepat dan terkini perlu diambil bagi membangunkan saiz pakaian yang padan.


Download File

[img]
Preview
Text
FEM 2016 44 UPM IR.pdf

Download (1MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Child development
Subject: Garment cutting
Call Number: FEM 2016 44
Chairman Supervisor: Syuhaily Bte Osman, PhD
Divisions: Faculty of Human Ecology
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 04 Mar 2019 06:49
Last Modified: 04 Mar 2019 06:49
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/67367
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item