Citation
Wan Mustapha, Wan Zumaiza
(2016)
Pengaruh pengetahuan, persepsi dan penglibatan terhadap semangat perpaduan dalam kalangan jiran muda di kawasan rukun tetangga daerah Hulu Langat, Selangor, Malaysia.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Perpaduan nasional menjadi agenda utama kerajaan sejak peristiwa 13 Mei 1969.
Kepentingan perpaduan nasional amat penting dalam membina sebuah Bangsa Malaysia
yang bersatu padu demi mencapai Wawasan 2020 yang menjadi idaman pemimpin dan
rakyat. Kesedaran mengenai peri pentingnya perpaduan nasional dalam kalangan
generasi muda khususnya dari segi nilai perlu diberikan perhatian. Oleh itu, kajian ini
dijalankan untuk mengetahui hubungkait pengetahuan, persepsi serta penglibatan Jiran
Muda dalam semangat perpaduan melalui Rukun Tetangga. Sampel kajian terdiri
daripada seramai 362 orang Jiran Muda di 82 kawasan Rukun Tetangga daerah Hulu
Langat, Selangor dari etnik Melayu yang dipilih menggunakan teknik persampelan
rawak mudah. Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan dengan penggunaan borang soal
selidik. Pengumpulan data dibuat melalui pengedaran borang soal selidik semasa kursus
dan aktiviti Jiran Muda di kawasan Hulu Langat, Selangor. Dapatan kajian menunjukkan
tahap pengetahuan responden tentang Rukun Tetangga adalah rendah, iaitu 100%
responden. Pengukuran tahap pengetahuan berdasarkan domain seperti persepsi, sikap,
pendapat umum dan pengalaman tentang Rukun Tetangga dan Perpaduan.
Manakala persepsi responden tentang nilai perpaduan dari aspek nilai murni dan
pergaulan masyarakat menunjukkan persepsi yang tinggi, iaitu 67.4%. Manakala
dapatan kajian tahap penglibatan Jiran Muda dalam aktiviti Rukun Tetangga
menunjukkan masih belum mencapai tahap tinggi dan hanya pada tahap sederhana, iaitu
64.6%, walaupun persepsi Jiran Muda tentang nilai perpaduan adalah tinggi. Hal ini
menunjukkan persepsi yang tinggi tidak mempengaruhi penglibatan Jiran Muda dalam
aktiviti Rukun Tetangga. Manakala tahap semangat perpaduan dalam kalangan
responden, iaitu 67.7%, pada tahap yang kurang memuaskan dan masih boleh
dipertingkatkan dengan mengambilkira persepsi responden tentang nilai perpaduan pada
tahap yang positif. Dapatan kajian tentang hubungkait pengetahuan, persepsi dan penglibatan dengan
semangat perpaduan pula menunjukkan terhadap hubungan signifikan dan positif di
antara pengetahuan dan semangat perpaduan. Iaitu terdapat perkaitan sederhana di antara
kedua-dua faktor. Manakala persepsi juga menunjukkan perkaitan yang positif dengan
semangat perpaduan. Penglibatan juga mencatatkan perkaitan yang signifikan dan positif.
Oleh itu, pengetahuan, persepsi dan penglibatan mempunyai perkaitan signifikan dengan
semangat perpaduan. Kajian ini juga menunjukkan penglibatan golongan muda dalam
aktiviti Rukun Tetangga masih perlu diberikan perhatian dan galakkan untuk mencapai
tahap penglibatan yang membanggakan dan seiring dengan persepsi nilai perpaduan
yang tinggi untuk peningkatan semangat perpaduan dalam kalangan golongan muda.
Hasil kajian ini dapat dijadikan panduan dan sumber rujukan kepada pelbagai pemegang
taruh khususnya JPNIN, dalam memastikan golongan muda sentiasa aktif dalam aktiviti
kemasyarakatan ke arah perpaduan nasional.
Download File
Additional Metadata
Actions (login required)
|
View Item |