UPM Institutional Repository

Pembangunan belia positif melalui proses pementoran dalam program kepemimpinan belia di Malaysia


Citation

Arshad, Mohd Mursyid (2016) Pembangunan belia positif melalui proses pementoran dalam program kepemimpinan belia di Malaysia. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Penyerlahan potensi dan keupayaan belia bagi membina kesediaan mereka untuk memimpin dapat menyumbang secara langsung kepada pembangunan belia positif (PYD). Walau bagaimanapun, pembangunan kepemimpinan belia memerlukan pembelajaran terbimbing dan model pemimpin yang boleh diikuti. Justeru, kaedah pementoran berpotensi dalam menyediakan medium pembelajaran tersebut. Oleh yang demikian, kajian ini dijalankan untuk meneroka proses pementoran ke arah PYD menerusi empat persoalan utama: (1) Apakah proses pementoran yang dilaksanakan dalam program pembangunan kepemimpinan? (2) Apakah yang protégé pelajari dalam proses pementoran? (3) Bagaimana protégé belajar dalam proses pementoran? dan (4) Apakah elemen PYD yang terbentuk dalam kalangan protégé hasil daripada pementoran yang dilaksanakan? Kajian ini dijalankan menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif berunsurkan kajian kes dan menggunakan Program Perdana Leader Fellowship (PLF) dan Program Felo Perdana (PFP) sebagai konteks bagi pengumpulan data kajian. Sejumlah 13 orang informan telah terlibat dalam kajian ini yang terdiri daripada protégé, mentor, pihak penganjur dan penyedia latihan. Data dikumpulkan menerusi temu bual semi berstruktur mendalam yang disokong dengan maklumat berkaitan daripada perbincangan kumpulan berfokus, pemerhatian turut serta, analisis dokumen dan nota lapangan. Data seterusnya dianalisis dan diberikan kod, kategori dan sub tema bagi membangunkan tema utama untuk menjawab setiap persoalan kajian. Kajian mendapati pementoran pembangunan kepemimpinan belia memerlukan mentor dan protégé yang dipadankan dengan tepat dan masing-masing komited terhadap pencapaian matlamat pementoran. Pembelajaran pementoran berjaya dilaksanakan melalui pendedahan kepada situasi kepemimpinan sebenar dan penyediaan hubungan yang berterusan antara protégé dengan mentor walaupun setelah pementoran berakhir. Semasa pementoran berlangsung, pembelajaran protégé dapat dipecahkan kepada tiga aspek utama iaitu pembangunan kognitif, afektif dan psikomotor. Pembangunan kognitif merangkumi pembinaan pengetahuan menerusi capaian informasi semasa menggunakan kaedah yang pelbagai dan penyelidikan maklumat dalam membentuk kematangan berfikir. Nilai integriti dan kesukarelawanan yang disemai membantu dalam pembentukan afektif protégé sebagai pemimpin. Pada masa yang sama, pembangunan psikomotor telah mengukuhkan kemahiran kepemimpinan protégés‟ menerusi pengurusan organisasi dan politik, kepemimpinan strategik dan pembinaan jaringan. Pembelajaran protégé didapati berlaku menerusi pengalaman, pemerhatian, interaksi secara langsung antara protégé dan mentor serta penglibatan protégé secara aktif di dalam Communities of Practice (COP). Dapatan empirikal mendapati pementoran kepemimpinan telah berjaya membina kompetensi, keyakinan, karakter, pengikatan dan perasaan penyayang protégé yang merangkumi keseluruhan elemen „5C‟ dalam PYD. Kajian ini dapat membantu pelbagai pihak yang berkepentingan khususnya Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, sektor awam dan swasta, badan bukan kerajaan dan masyarakat dalam merencana program pembangunan kepemimpinan belia yang lebih sistematik dan strategik. Implikasi daripada kajian ini dapat membantu pembinaan bakat baharu dalam kepemimpinan dan meningkatkan kesediaan belia untuk memimpin secara lebih berkesan seperti yang digariskan dalam Dasar Belia Malaysia 2015.


Download File

[img]
Preview
Text
FPP 2016 21 UPM IR.pdf

Download (1MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Youth
Subject: Mentoring in social service - Malaysia
Subject: Leadership
Call Number: FPP 2016 21
Chairman Supervisor: Ismi Arif bin Ismail, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 25 Oct 2018 07:43
Last Modified: 25 Oct 2018 07:43
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/65686
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item