UPM Institutional Repository

Perkaitan antara kualiti hubungan dan kompetensi anak terhadap kesediaan menjadi penjaga ibu bapa tua


Citation

Ismail, Nurhilmiyani (2015) Perkaitan antara kualiti hubungan dan kompetensi anak terhadap kesediaan menjadi penjaga ibu bapa tua. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Kebanyakan kajian lepas yang dijalankan adalah tertumpu kepada aspek cabaran dan pengalaman penjagaan warga emas oleh penjaga keluarga. Namun kajian yang cuba meneliti faktor pelindung yang dapat membantu penjaga menjalankan tanggungjawab sebagai penjaga terutama dalam kalangan anak dewasa adalah terhad. Di Malaysia, anak dewasa telah dikenalpasti sebagai penjaga utama kepada ibu bapa yang memerlukan penjagaan. Kesediaan menjadi penjaga telah dikenalpasti sebagai faktor yang melindungi penjaga daripada kesan negatif penjagaan dan sekaligus menyebabkan penjaga terus memberikan penjagaan. Sungguhpun faktor ini dibuktikan sangat penting, namun kajian yang dijalankan untuk mengenalpasti faktor yang mempengaruhi kesediaan menjadi penjaga adalah masih terhad dijalankan terutama dalam konteks anak dewasa di Malaysia. Bagi mengatasi kekurangan ini, kajian ini telah dijalankan untuk menentukan perkaitan antara kualiti hubungan dan kompetensi anak ke atas kesediaan menjadi penjaga ibu bapa tua. Kajian kuantitatif ini menggunakan rekabentuk korelasi bagi menguji teori dengan mengkaji perkaitan antara pemboleh ubah. Teknik persampelan bertujuan telah digunakan untuk mengenalpasti responden kajian iaitu anak dewasa Melayu yang menjaga salah seorang ibu bapa di tiga buah hospital kerajaan di Selangor. Seramai 142 orang anak dewasa Melayu (86 perempuan dan 56 lelaki) yang berusia antara 18 hingga 58 tahun telah menjadi responden dalam kajian ini. Kajian ini menggunakan subset data daripada kajian yang telah dibiayai oleh geran RUGS (Research University Grant Scheme) bertajuk ‘Pengaruh Kematangan Filial, Kompetensi Anak, Hubungan Ibu Bapa-Anak serta Keagamaan terhadap Kesediaan menjadi Penjaga ibu bapa dalam kalangan anak dewasa Muslim di Selangor’. Borang soal selidik yang dijawab sendiri oleh responden mengandungi maklumat berkaitan latar belakang penjaga, latar belakang orang yang dijaga, ciri penjagaan, tahap kesediaan menjadi penjaga responden, tahap kualiti hubungan dan tahap kompetensi anak. Analisis deskriptif, bivariat dan multivariat telah digunakan untuk menganalisis data. Dapatan kajian menunjukkan bahawa lebih daripada separuh (61.3%) responden dilaporkan mempunyai tahap kesediaan menjadi penjaga yang tinggi dan menunjukkan hubungan yang sederhana signifikan dengan kualiti hubungan dan kompetensi anak. Dapatan ini menunjukkan kesediaan anak dewasa menjadi penjaga berkait rapat dengan perhubungan mereka dengan ibu bapa dan juga kecekapan mereka sebagai penjaga. Selain itu, kualiti hubungan dan kompetensi anak juga menyumbang sebanyak satu pertiga daripada peramal tahap kesediaan anak dewasa menjadi penjaga, di mana kualiti hubungan sebagai peramal terpenting di antara pemboleh ubah yang lain. Kompetensi anak juga memberikan kesan separa perantara ke atas kualiti hubungan ibu bapa-anak dan kesediaaan anak dewasa menjadi penjaga. Hasil kajian ini memberikan maklumat penting mengenai kesediaan anak dewasa menjadi penjaga ibu bapa dan hubungan ibu bapa-anak dewasa serta kesan pengantaraan kompetensi anak ke atas kualiti hubungan dan kesediaan menjadi penjaga dalam kalangan anak dewasa. Maklumat ini berpotensi untuk digunakan sebagai garis panduan teoretikal dan praktikal untuk membantu anak dewasa sebagai penjaga utama ibu bapa menjadi lebih bersedia ketika berhadapan cabaran dalam penjagaan. Pengukuhan hubungan kekeluargaan dan pendedahan ilmu beserta kemahiran kepada anak dewasa yang terlibat dalam aktiviti penjagaan perlu diambil kira oleh pihak yang bertanggungjawab. Kegagalan menyediakan penjagaan kepada ibu bapa akan memberikan kesan kepada agenda nasional dalam membentuk masyarakat yang mementingkan nilai kekeluargaan terutama melibatkan hubungan antara generasi.


Download File

[img]
Preview
Text
FEM 2015 42IR.pdf

Download (1MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Aging parents - Care
Subject: Aging parents - Family relationships
Subject: Adult children of aging parents - Family relationships
Call Number: FEM 2015 42
Chairman Supervisor: Rojanah Binti Kahar, PhD
Divisions: Faculty of Human Ecology
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 24 May 2018 07:17
Last Modified: 24 May 2018 07:17
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/64108
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item