Simple Search:

Pengurusan hutang dalam kalangan pekerja muda di zon tengah, Semenanjung Malaysia


Citation

Abdullah, Nuraini (2015) Pengurusan hutang dalam kalangan pekerja muda di zon tengah, Semenanjung Malaysia. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract / Synopsis

Pengurusan hutang merupakan salah satu aspek yang penting dalam pengurusan kewangan peribadi seseorang. Tanpa pengurusan hutang yang cekap, pekerja muda akan gagal dalam menguruskan wang dengan baik. Fasa peralihan yang dihadapi oleh pekerja muda menjadikan mereka tidak bersedia dalam menguruskan kewangan peribadi kerana pada peringkat ini pembentukan komitmen terhadap wang mula berlaku. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti perbezaan pengurusan hutang dalam kalangan pekerja muda berdasarkan faktor sosio demografi, mengkaji perkaitan literasi kewangan, jenis sikap terhadap wang, estim diri dan stres kewangan serta mengkaji faktor yang mempengaruhi pengurusan hutang dalam kalangan pekerja muda. Seramai 508 orang pekerja muda berumur 40 tahun ke bawah yang berkhidmat dalam sektor awam dan swasta di Zon Tengah terlibat dalam kajian ini. Sampel diambil berdasarkan kaedah persampelan rawak berlapis. Data bagi kajian ini dikumpul dengan menggunakan borang soal selidik yang diselia sendiri oleh responden. Analisis data dibahagikan kepada analisis deskriptif dan inferensi yang melibatkan Ujian-t, Ujian ANOVA, Ujian Korelasi Pearson dan Regresi Pelbagai. Daripada seramai 508 orang responden, terdapat 313 orang responden perempuan (61.6%) dan 195 orang responden lelaki (38.4%) terlibat dalam kajian ini. Kebanyakan responden berumur dalam lingkungan 26-30 tahun dengan purata umur adalah 31.2 tahun. Sebanyak 51.0% responden berpendapatan RM3,500 ke atas dan 66.0% responden telah berkahwin. Selain daripada itu, majoriti responden mempunyai status kewangan yang baik iaitu harta melebihi nilai hutang dan mempunyai nisbah bayaran hutang berbanding pendapatan kurang daripada 40%. Hasil kajian mendapati bahawa responden mempunyai peratusan tahap sederhana dalam literasi kewangan dan mempunyai skor peratusan yang rendah dalam aspek produk dan perbankan Islam. Nilai purata tertinggi dicatatkan dalam sikap usaha terhadap wang berbanding subskala sikap terhadap wang yang lain. Selain daripada itu, kajian turut mendapati bahawa peratusan stres kewangan dan pengurusan hutang turut berada pada tahap yang rendah. Walau bagaimanapun, hasil analisis mendapati bahawa pekerja muda mempunyai estim diri yang positif. Ujian-t mendapati bahawa terdapat perbezaan yang signifikan dalam pengurusan hutang mengikut jantina, status kewangan dan nisbah hutang berbanding pendapatan. Ujian ANOVA pula mendapati terdapat perbezaan yang signifikan antara kumpulan berpendapatan tinggi dengan kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah terhadap pengurusan hutang pekerja muda. Analisis Korelasi Pearson mendapati wujudnya hubungan yang signifikan antara literasi kewangan, sikap obsesi, ketidakcukupan dan usaha terhadap wang serta estim diri dan stres kewangan terhadap pengurusan hutang. Selain itu, Analisis Regresi Pelbagai menunjukkan bahawa kesemua pemboleh ubah dalam kajian ini menyumbang sebanyak 26.8% kepada model. Antara ciri sosio demografi yang menyumbang adalah jantina dan status kewangan terhadap pengurusan hutang. Sikap obsesi terhadap wang, sikap usaha/keupayaan terhadap wang, dan stres kewangan turut menyumbang kepada pengurusan hutang manakala estim diri merupakan faktor peramal utama yang menyumbang kepada model pengurusan hutang. Penemuan kajian ini adalah berguna terutamanya kepada pihak pembuat dasar dalam memperkenalkan pelan yang bersifat komprehensif melalui badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dalam membantu pekerja muda menguruskan hutang. Pemahaman mengenai pengurusan hutang diperlukan bagi membekalkan pekerja muda dengan kemahiran pengurusan hutang yang berhemah agar statistik pekerja muda yang diisytiharkan muflis dapat dikurangkan.


Download File

[img]
Preview
PDF
FEM 2015 56IR.pdf

Download (1MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Consumer credit - Peninsular Malaysia
Subject: Debt - Peninsular Malaysia
Call Number: FEM 2015 56
Chairman Supervisor: Mohamad Fazli bin Sabri, PhD
Divisions: Faculty of Human Ecology
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 25 May 2018 10:39
Last Modified: 25 May 2018 10:39
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/63985
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item