UPM Institutional Repository

Perubahan kata dalam dialek Melayu Sarawak mengikut generasi penutur


Citation

Seruji, Zuraini (2014) Perubahan kata dalam dialek Melayu Sarawak mengikut generasi penutur. PhD thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Tesis ini mengemukakan pernyataan masalah bahawa dialek Melayu Sarawak mengalami perubahan seiring dengan gaya kehidupan masyarakat penutur. Tuntutan komunikasi semasa, termasuk pengaruh hebat daripada ledakan teknologi seperti internet mempercepat arus perubahan dialek Melayu Sarawak, di samping pengaruh kuat bahasa Inggeris. Hakikat inilah yang mendorong penyelidik menganalisis fenomena tersebut secara tuntas. Skop kajian penyelidikan ini mencakupi usaha pengumpulan kata dialek Melayu Sarawak yang berubah mengikut generasi penutur yang berlainan, mengolah gagasan teori Sistem Tanda Bahasa Berstruktur Ferdinand de Saussure, kata tabu, teori Stratum Bawah Aitchison, dan kata kognat dalam senarai Swadesh. Kajian ini melibatkan sebanyak 316 sampel yang terdiri daripada 4 generasi penutur dialek Melayu Sarawak, iaitu tua, dewasa, remaja, dan kanak-kanak di kawasan Demak Baru Fasa 1, 2 & 3 dalam Petra Jaya, Kuching, Sarawak. Kaedah tinjauan lapangan dengan senarai semak perkataan, soal selidik dan temu bual digunakan untuk memperoleh data kajian. Dapatan kajian menunjukkan bahawa generasi tua mempunyai pengetahuan tentang leksikal asli dialek Melayu Sarawak sebanyak 56 peratus. Pengetahuan leksikal asli generasi dewasa adalah sebanyak 23 peratus, pengetahuan generasi remaja adalah sebanyak 20 peratus manakala kanak-kanak paling sedikit, hanya satu peratus. Data ini menunjukkan bahawa dialek Melayu Sarawak sedang dilanda perubahan pada tingkat kedua tekanan bahasa, iaitu di pinggiran. Bahasa pada tingkat pinggiran masih hidup dan masih mempunyai jumlah penutur yang agak banyak tetapi bilangan penutur terus menurun. Sifat leksikon dialek Melayu Sarawak dari segi makna yang telah dikenal pasti oleh penyelidik ialah leksem (metafora dan idiom), kata kacukan, kata serapan,kata rujukan, kata adjektif dan kata tabu. Prinsip asas tanda bahasa dalam teori Sistem Tanda Bahasa Berstruktur Ferdinand de Saussure dapat diaplikasikan untuk menjelaskan bahasa pada tataran lebih rendah (dialek Melayu Sarawak) dengan bahasa tataran yang lebih tinggi (bahasa Melayu baku). Kajian ke atas aplikasi teori Stratum Bawah menunjukkan pengurangan peratusan sampel yang memilih dialek Melayu Sarawak sebagai bahasa pertama daripada 15 peratus kepada 3 peratus manakala peratusan bahasa Melayu baku meningkat daripada 3 peratus kepada 9 peratus. Penggunaan dialek Melayu Sarawak sebagai bahasa ibunda dalam kalangan generasi dewasa lebih tinggi daripada generasi tua, diikuti oleh remaja dan tercorot ialah kanak-kanak. Hal ini demikian kerana generasi tua pada ketika itu terpaksa menerima pengaruh bahasa pemerintah semasa demi kelangsungan hidup yang lebih terjamin. Perkaitan kata-kata dialek Melayu Sarawak yang mirip bahasa Melayu baku selaku kata kognat berdasarkan Senarai Swadesh ialah sebanyak 209/270 bersamaan 77.40 peratus. Sebagai rumusan, hasil kajian ini berguna ke arah langkah pelestarian dialek Melayu Sarawak dalam era teknologi maklumat. Dalam dunia tanpa sempadan, fenomena perubahan bahasa tidak dapat disekat. Penyelidik mencadangkan agar pihak Kementerian Pendidikan Malaysia mengimplementasikan satu kurikulum pengajaran dan pembelajaran dialek Melayu Sarawak di sekolah rendah, seperti yang telah dilaksanakan di negeri Sabah. Pertandingan aktiviti bahasa seperti nyanyian rakyat, puisi dan drama dapat menyuburkan minat generasi kanak-kanak dan remaja menggunakan dialek Melayu Sarawak.


Download File

[img]
Preview
PDF
FBMK 2014 40RR.pdf

Download (1MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (PhD)
Subject: Malay language - Dialects - Sarawak
Subject: Malay language - Lexicography - Sarawak
Call Number: FBMK 2014 40
Chairman Supervisor: Profesor Madya Noor Aina Dani, PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 07 Jun 2017 09:01
Last Modified: 07 Jun 2017 09:01
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/52504
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item