UPM Institutional Repository

Dinamika tema dalam novel remaja di Malaysia


Citation

Mohd Hanafiah, Halis Azhan (2014) Dinamika tema dalam novel remaja di Malaysia. PhD thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Tujuan kajian ini ialah untuk meneliti dinamika tema dalam novel remaja di Malaysia, bermula dari tahun-tahun 1950-an hingga tahun-tahun 2000-an. Kajian ini dijalankan bertolak daripada pemahaman bahawa garapan tema dalam novel remaja berkemungkinan besar dipengaruhi oleh berbagai-bagai peristiwa yang berlaku dalam masyarakat (iaitu faktor-faktor luaran teks). Antara peristiwa yang berlaku dalam masyarakat Malaysia ini ialah perkembangan pendidikan di Malaysia,perubahan dasar kerajaan dalam bidang sosial, ekonomi dan politik, masalahmasalah dalam dunia penerbitan buku, peranan badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan, peranan pendidik, ahli politik dan sasterawan, masalah kegawatan sosial remaja, kepentingan peraduan mengarang dan hadiah sastera dan sebagainya. Terdapat tiga objektif yang ingin dicapai dalam kajian ini. Pertama, untuk menganalisis tema-tema dalam novel remaja Malaysia. Kedua, untuk menghuraikan tema dalam novel-novel remaja Malaysia yang dikaji dengan faktor-faktor luaran teks pada dekad penukilannya. Dan akhir sekali, untuk mensintesiskan dinamika tema dalam novel-novel remaja di Malaysia yang dikaji dan hubungannya dengan faktor-faktor luaran teks. Kajian ini keseluruhannya tertumpu kepada 30 buah novel remaja Malaysia, tetapi hanya lima buah novel dipilih bagi mewakili setiap dekad. Kriteria-kriteria pemilihan bahan kajian ialah sesebuah novel remaja itu sama ada pernah memenangi peraduan mengarang atau hadiah sastera, atau digarap oleh seorang novelis yang produktif dan prolifik dalam penulisan novel remaja, serta pernah memenangi peraduan mengarang atau hadiah sastera, atau pernah menerima sambutan khalayak (critical reception). Untuk mencapai tiga objektif yang digariskan, kajian itu menggemblengkan beberapa prinsip Sosiologi Sastera yang digagaskan oleh Hippolyte Adolphe Taine, Georg Lukacs, Lucien Goldmann dan Alan Swingewood. Daripada prinsip-prinsip ini, Sosiologi Sastera menunjukkan bahawa sesebuah novel remaja dapat diteliti sebagai sebuah dokumen sosial dan novelisnya pula dapat dilihat sebagai sumber makna. Kajian ini juga menggemblengkan beberapa alat penceritaan seperti watak dan perwatakan, plot, konflik, gaya bahasa dan sebagainya untuk menghuraikan tema dalam novel-novel remaja Malaysia yang dipilih. Kajian ini seterusnya menemui beberapa dapatan penting. Pertama, antara tema yang selalu digarap dalam novel remaja Malaysia ialah kegigihan dalam kehidupan, kecekalan dalam menangani cabaran, pencegahan jenayah, kasih sayang, perbezaan kelas sosial, dakwah Islamiah, masalah sosial remaja, sains dan teknologi, kepentingan pendidikan kepada masyarakat, kerjasama dalam masyarakat, konflik percintaan dan seni dan budaya. Kedua, tema-tema yang digarap adalah berkait rapat dengan perubahan-perubahan yang berlaku dalam masyarakat. Ini dengan sendirinya mendorong novelis untuk memanfaatkan perubahan-perubahan ini dalam penulisan novel-novel remaja Malaysia. Akhir sekali, adalah jelas ditemui dinamika tema dan hubungannya dengan faktor-faktor luaran teks. Novelis-novelis didapati cenderung untuk membincangkan persoalanpersoalan yang lumrah seperti pendidikan, pembangunan masyarakat, kekeluargaan dan nilai-nilai Islam dan moral. Pada masa yang sama, mereka juga cenderung untuk membincangkan persoalan-persoalan yang kontemporari seperti kelas sosial, sejarah,perpaduan kaum, advencer, konflik percintaan dan masalah kegawatan sosial remaja. Dapatan-dapatan ini dengan jelas membuktikan bahawa wujudnya dinamika tema dalam novel-novel remaja Malaysia dengan hubungannya dengan faktor-faktor luaran teks.


Download File

[img]
Preview
PDF
FBMK 2014 26RR.pdf

Download (1MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (PhD)
Subject: Young adult fiction, Malay - Malaysia
Subject: Young adult literature - Study and teaching
Call Number: FBMK 2014 26
Chairman Supervisor: Profesor Madya Mohd. Zariat bin Abdul Rani, PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 06 Jun 2017 03:07
Last Modified: 06 Jun 2017 03:07
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/52444
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item