UPM Institutional Repository

Kesan pendekatan naratif dan komunikatif terhadap motivasi belajar, keterlibatan dalam pembelajaran dan pencapaian kemahiran mengarang


Citation

Jusoh, Zuraini (2014) Kesan pendekatan naratif dan komunikatif terhadap motivasi belajar, keterlibatan dalam pembelajaran dan pencapaian kemahiran mengarang. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti kesan pendekatan naratif dan komunikatif terhadap motivasi belajar, keterlibatan dalam pembelajaran dan pencapaian kemahiran mengarang murid-murid rendah pencapaian Bahasa Melayu tingkatan dua di Ampang, Selangor. Naratif merupakan satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran kemahiran mengarang yang mementingkan interaksi dalam persekitaran bilik darjah. Manakala, komunikatif lebih mementingkan kepada kecekapan dan penggunaan bahasa yang tepat. Terdapat tiga objektif dengan 15 hipotesis yang ingin dicapai melalui kajian ini. Sehubungan dengan itu, reka bentuk kuasi eksperimental dengan sokongan data pemerhatian dan temu bual telah digunakan. Sebanyak sepuluh pernyataan mengukur pemboleh ubah bersandar motivasi belajar dan 22 pernyataan mengukur keterlibatan dalam pembelajaran kemahiran mengarang. Alat ukur bagi pemboleh ubah bersandar pencapaian pula berbentuk ujian penulisan karangan tidak berformat. Pengumpulan data dijalankan sebanyak tiga kali, iaitu semasa praujian, pascaujian pertama dan pascaujian kedua. Data kuantitatif ini dianalisis secara deskriptif dan inferensi. Analisis deskriptif yang terlibat ialah min, sisihan piawai, peratusan dan kekerapan. Analisis inferensi yang digunakan untuk mengenal pasti kesan pendekatan pengajaran terhadap ketiga-tiga pemboleh ubah bersandar kajian ialah kaedah analisis kovarians (ANCOVA). Secara keseluruhannya, dapatan kajian menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan kesan pendekatan naratif dan komunikatif terhadap motivasi belajar, keterlibatan emosi, kognitif dan pencapaian kemahiran mengarang, setelah mengawal skor min semasa praujian. Nilai signifikan yang diperoleh melalui analisis ANCOVA lebih besar berbanding paras penetapan alpha, iaitu 0.05. Motivasi belajar semasa pascaujian pertama, p=0.739 dan pascaujian kedua, p=0.157. Keterlibatan emosi pascaujian pertama, p=0.606, pascaujian kedua, p=0.224. Keterlibatan kognitif pascaujian pertama, p=0.717, pascaujian kedua, p=0.201. Pencapaian pula semasa pascaujian pertama, p=0.075 dan pascaujian kedua, p=0.355. Nilai kesan saiz varians (eta square) yang dicatatkan juga rendah, iaitu di antara 0.1 peratus sehingga 5.0 peratus sahaja. Terdapat perbezaan yang signifikan kesan pendekatan naratif dan komunikatif terhadap keterlibatan tingkah laku, setelah mengawal skor min semasa praujian. Keterlibatan tingkah laku pascaujian pertama, p=0.019 dan pascaujian kedua, p=0.031. Pendekatan naratif lebih berkesan berbanding komunikatif dalam meningkatkan keterlibatan tingkah laku murid rendah pencapaian untuk mempelajari kemahiran mengarang. Skor min yang diperoleh kumpulan eksperimen semasa pascaujian pertama lebih besar (M=3.03, SP=0.30) berbanding kumpulan kawalan (M=2.86, SP=0.38) dengan nilai kesan saiz varians (eta square) sebanyak 6.8 peratus. Manakala, sebanyak 6.4 peratus kesan saiz varians (eta square) dicatatkan semasa pascaujian kedua dengan skor min kumpulan eksperimen (M=3.09, SP=0.43) berbanding kumpulan kawalan (M=2.87, SP=0.40). Kesimpulannya, pendekatan naratif lebih berkesan dalam meningkatkan motivasi belajar, keterlibatan dalam pembelajaran dan pencapaian kemahiran mengarang murid rendah pencapaian tingkatan dua berbanding pendekatan komunikatif. Selepas enam kali rawatan diberikan, peningkatan secara berterusan berlaku walaupun nilainya kecil. Perbezaan skor min motivasi belajar kumpulan eksperimen yang menerima rawatan pendekatan naratif telah meningkat sebanyak 0.01. Sebaliknya, skor min motivasi belajar dalam kalangan murid kumpulan kawalan yang menggunakan pendekatan komunikatif telah merosot sebanyak 0.08. Skor min keterlibatan emosi pendekatan naratif telah meningkat sebanyak 0.04 berbanding pendekatan komunikatif yang merosot sebanyak 0.02. Skor min keterlibatan kognitif pendekatan naratif telah meningkat sebanyak 0.02 berbanding pendekatan komunikatif yang merosot sebanyak 0.06. Manakala,skor min keterlibatan tingkah laku murid yang diajar menggunakan kedua-dua pendekatan pengajaran mengalami peningkatan. Namun, peningkatan yang berlaku setelah menggunakan pendekatan naratif lebih besar, iaitu 0.06 berbanding pendekatan komunikatif yang berubah sebanyak 0.01 sahaja. Peningkatan skor min pencapaian kemahiran mengarang juga berlaku dalam kedua-dua kumpulan. Peningkatan yang berlaku setelah enam minggu menggunakan pendekatan komunikatif lebih besar, iaitu 3.77 berbanding pendekatan naratif, 3.20. Namun, markah maksimum yang diperoleh murid pendekatan naratif mengalami perubahan lebih ketara, iaitu daripada 19.50 markah kepada 30.50 markah. Manakala, markah maksimum pendekatan komunikatif ialah daripada 16.50 markah kepada 23.00 markah. Oleh itu,dirumuskan bahawa semasa praujian, kedua-dua berada dalam kategori D atau Memuaskan. Namun, setelah tiga minggu pendekatan naratif digunakan kategori pencapaian telah meningkat kepada kategori C atau Baik. Setelah fasa kedua,iaitu tiga minggu kedua pencapaian murid-murid meningkat kepada kategori B atau Kepujian. Sebaliknya, penggunaan pendekatan komunikatif hanya berjaya meningkatkan pencapaian murid kepada kategori C atau Baik. Oleh itu,pendekatan naratif lebih berkesan berbanding pendekatan komunikatif.


Download File

[img]
Preview
Text
FPP 2014 47IR.pdf

Download (1MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: English language - Study and teaching
Subject: Learning, Psychology of
Subject: English language - Composition and exercises
Call Number: FPP 2014 47
Chairman Supervisor: Fadzilah Abd Rahman, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 24 May 2018 08:16
Last Modified: 24 May 2018 08:16
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/52163
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item