UPM Institutional Repository

Pengamalan nilai-nilai murni dalam kalangan belia pelbagai etnik di Selangor, Malaysia


Citation

Tun Ismail, Wan Nor Azilawanie (2014) Pengamalan nilai-nilai murni dalam kalangan belia pelbagai etnik di Selangor, Malaysia. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Nilai-nilai murni ialah elemen terpenting dalam kehidupan manusia yang menentukan sikap, sifat, tingkah laku, pandangan dan perbuatan seseorang individu, dan komunitinya. Nilai-nilai murni merupakan prinsip moral yang diterima dan menjadi asas serta panduan kepada golongan masyarakat khususnya golongan belia sebagai ikatan persefahaman dan asas pegangan hidup bermasyarakat. Sehubungan itu, kajian ini dijalankan adalah untuk; (i) mengenal pasti tahap pengetahuan dan pengamalan nilai-nilai murni dalam kalangan belia, (ii) menentukan perbezaan tahap pengetahuan dan pengamalan belia terhadap nilai-nilai murni berdasarkan etnik (Melayu, Cina dan India), (iii) menentukan hubungan antara tahap pengetahuan dan pengamalan nilai-nilai murni dalam kalangan belia pelbagai etnik, dan (iv) mengenal pasti faktor peramal (keluarga, agama, rakan sebaya, sekolah dan media) yang menyumbang kepada pengamalan nilai-nilai murni dalam kalangan belia pelbagai etnik. Teknik pemilihan responden adalah menggunakan pensampelan mudah. Seramai 400 responden telah terlibat dalam kajian ini. Lokasi kajian adalah di negeri Selangor meliputi empat daerah iaitu Gombak, Klang, Petaling dan Ulu Langat. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dan kualitatif. Pendekatan kuantitatif adalah bagi mengukur tahap pengetahuan, tahap pengamalan dan faktor yang mempengaruhi pengamalan terhadap nilai-nilai murni dalam kalangan responden. Manakala pendekatan kualitatif digunakan untuk menyokong hasil dapatan kuantitatif. Bagi kaedah kuantitatif, data telah dikumpulkan dengan menggunakan borang soal selidik dan telah dianalisis secara deskriptif dan inferensi. Manakala bagi data kualitatif, data yang diperoleh menerusi Perbincangan Kumpulan Berfokus telah ditranskrip dan dianalisis menggunakan kaedah manual oleh pengkaji kerana jumlah sampel yang tidak ramai. Hasil kajian menunjukkan tahap pengetahuan responden pelbagai etnik terhadap nilai-nilai murni berada pada tahap yang tinggi. Namun, hasil dapatan terhadap tahap pengamalan responden terhadap nilai-nilai murni pula berada pada tahap yang sederhana. Seterusnya, hasil kajian juga menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan bagi tahap pengetahuan responden terhadap nilai-nilai murni berdasarkan etnik Melayu, Cina dan India. Etnik Cina didapati lebih mempunyai pengetahuan yang tinggi berbanding etnik Melayu dan seterusnya etnik India. Bagi tahap pengamalan nilai-nilai murni pula, dapatan kajian menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan berdasarkan etnik. Hasil analisis turut mendapati terdapat perkaitan yang signifikan di antara tahap pengetahuan dan tahap pengamalan nilai-nilai murni. Manakala, analisis regresi telah dilakukan untuk menentukan faktor peramal yang paling mempengaruhi pengamalan responden terhadap nilai-nilai murni di Selangor. Hasil kajian menunjukkan terdapat dua faktor signifikan yang boleh dijadikan peramal iaitu keluarga dan rakan sebaya. Dua faktor peramal tersebut mempengaruhi pengamalan nilai-nilai murni. Hasil dapatan yang diperoleh menerusi pendekatan kuantitatif adalah selari dengan dapatan yang diperoleh daripada informan menerusi Perbincangan Kumpulan Berfokus. Kesimpulannya, nilai-nilai murni adalah penting untuk membina keperibadian modal insan yang unggul. Tanpa pengamalan dan penghayatan nilai-nilai tersebut, ilmu pengetahuan dan kefahaman semata-mata tidak akan memberikan kesejahteraan dan manfaat kepada masyarakat dan negara. Justeru, pengamalan dan penghayatan masyarakat terhadap nilai-nilai murni merupakan asas masyarakat bertamadun.


Download File

[img]
Preview
PDF
FEM 2014 5 edit.pdf

Download (1MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Values - Malaysia
Subject: Youth - Malaysia - Conduct of life
Subject: Ethnicity - Malaysia
Call Number: FEM 2014 5
Chairman Supervisor: Adlina Ab. Halim, PhD
Divisions: Faculty of Human Ecology
Depositing User: Hasimah Adam
Date Deposited: 19 Aug 2015 02:33
Last Modified: 19 Aug 2015 02:33
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/39727
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item