UPM Institutional Repository

JPT - UPM Lancar Buku Kajian Kes Kejuruteraan Awam dan Buku Hala Tuju Pengajian Kaunseling dan Senibina


Citation

Universiti Putra Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat (2011) JPT - UPM Lancar Buku Kajian Kes Kejuruteraan Awam dan Buku Hala Tuju Pengajian Kaunseling dan Senibina. [UPM News]

Abstract

SERDANG, 30 Jun – Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini melancarkan tiga buku iaitu Kajian Kes : Satu Kaedah Pengajaran-Pembelajaran Baru dalam Kejuruteraan Awam, Hala Tuju Bidang Kaunseling di Malaysia dan Hala Tuju Pendidikan Senibina di Malaysia untuk menambah nilai kualiti sistem pengajaran di semua institusi pengajian tinggi dalam negara ke tahap global. Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pelancaran buku-buku itu merupakan satu peralihan dari Pengajaran Berpusatkan Pensyarah (Teacher Centred) kepada amalan Pembelajaran Berpusatkan Pelajar atau Student-Centred Learning (SCL) yang bersifat dua hala. Beliau berkata penggunaan kaedah pembelajaran berpusatkan pelajar dalam Buku Kajian Kes dalam Kejuruteraan Awam boleh melahirkan lebih banyak modul untuk meningkatkan kemahiran berfikir pelajar secara kritis dan saintifik, meningkatkan kemahiran pengurusan maklumat serta menambah keyakinan pelajar melalui penulisan, pengucapan dan interaksi. “Ia merupakan strategi pengajaran di mana pelajar menjadi pemain utama dalam sesuatu sesi pembelajaran dan pengajaran dengan menggalakkan mereka melibatkan diri secara aktif dalam setiap sesi pembelajaran. “Dengan kaedah itu, lebih banyak masa diperuntukan kepada pelajar meneroka dan menyelesaikan masalah dengan bantuan pengajar yang bertindak sebagai pemudah cara,” katanya pada majlis pelancaran buku itu yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah JPT, Prof. Dato’ Dr. Rujhan Mustafa. Dato’ Seri Khaled berkata Kementerian memandang kaedah pembelajaran SCL mempertingkatkan kebolehan dan keupayaan pelajar dalam kemahiran berkomunikasi, berfikiran secara kritis dan saintifik, kebolehan kerja berkumpulan, mempertingkatkan kemahiran menguruskan maklumat, menambah keyakinan melalui penulisan dan pengucapan serta memupuk minat pembelajaran sepanjang hayat, “Kaedah pembelajaran SCL secara kajian kes merupakan latihan menjalankan kajian yang mendalam tentang sesuatu proses, situasi, peristiwa dan dokumen untuk meneliti ciri-ciri istimewa pada kes. “Bidang kejuruteraan awam telah mengambil satu inisiatif untuk memperkenalkan kaedah itu kepada pengajaran mereka dengan harapan pelajar akan lebih terdedah dengan keadaan atau senario yang mungkin berlaku semasa menjalankan tugas sebagai jurutera awam,” katanya. Beliau berkata ini merupakan julung kalinya kaedah itu digunapakai bagi program kejuruteraan, baik di Malaysia atau negara lain. Kerjasama di antara Fakulti bagi menjayakan buku kajian kes ini juga patut dijadikan contoh bagi yang lain dalam memastikan pembangunan kurikulum program akademik sentiasa relevan dengan kehendak semasa. ”Dengan terhasilnya buku-buku itu, maka objektif kementerian dalam melaksanakan Teras 2 Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) iaitu Menambah Baik Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran telah berjaya dilaksanakan,” katanya lagi. Buku Hala Tuju Bidang Kaunseling di Malaysia dan Hala Tuju Pendidikan Senibina di Malaysia pula menggabungkan kepakaran semua Dekan dan Ketua Jabatan yang terlibat dalam merencanakan kedudukan semasa dan perancangan strategik program berkaitan untuk tahun-tahun yang akan datang. Kementerian berharap agar buku-buku kajian hala tuju itu dijadikan panduan kepada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam menentukan kriteria bagi cadangan penubuhan sekolah, fakulti, jabatan atau pun pusat sebelum menawarkan sesuatu program pengajian. Sementara itu Naib Canselor UPM, Dato’ Ir. Dr Radin Umar Radin Sohadi berkata perasmian Kompleks Kejuruteraan dan Teknologi untuk kemudahan 1,406 pelajar pasca-siswazah, 1,537 pelajar pra-siswazah, 80 penyelidik dan 178 pensyarah yang terdiri daripada warga Fakulti Kejuruteraan UPM diharap melonjakkan aktiviti pengajaran dan penyelidikan. ”Projek ini merupakan sokongan kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi menyediakan kemudahan yang terbaik dan kondusif untuk aktiviti pengajaran dan penyelidikan serta meningkatkan citra pengajian tinggi negara,” katanya Menyentuh mengenai buku kajian kes, beliau berkata sebanyak sepuluh kes yang diadaptasi daripada masalah kejuruteraan semasa seperti kes keruntuhan stadium di Kuala Terengganu dan kes tanah runtuh di Ampang bertujuan untuk mendedahkan senario sebenar kepada pelajar melalui analisis dan perbincangan yang mencetus semangat pelajar terhadap kes-kes itu. Pada majlis itu, Airod Sdn Bhd menyampaikan sumbangan berjumlah RM2 juta kepada UPM bagi penubuhan Kursi AIROD sementara Naim Engineering Sdn Bhd menyampaikan cek berjumlah RM500 ribu kepada UPM bagi endowmen penyelidikan dan pembangunan Sistem Binaan Berindustri (IBS) selain menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan UPM.


Download File

[img]
Preview
PDF
JPT_-_UPM_Lancar_Buku_Kajian_Kes_Kejuruteraan_Awam.pdf

Download (129kB)

Additional Metadata

Item Type: UPM News
Divisions: Universiti Putra Malaysia
Depositing User: Muizzudin Kaspol
Date Deposited: 05 Aug 2011 05:00
Last Modified: 27 May 2013 07:57
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/18053
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item