Citation
Azmi, Nor Idayu
(2024)
Proses pertimbangan pedagogi guru perakaunan semasa pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran berjarak kecemasan.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Pengajaran bersemuka merupakan pendekatan pedagogi dominan yang digunakan dalam kalangan guru Perakaunan. Bagaimanapun, guru Perakaunan lebih selesa menggunakan pengajaran bersemuka berbanding Pengajaran Berjarak Kecemasan (PBK) atau dikenali sebagai Emergency Remote Teaching (ERT) kerana mata pelajaran ini mempunyai nombor, formula dan proses bagi melengkapkan suatu kitaran perakaunan. Perubahan drastik pada Mac 2020 menyebabkan guru Perakaunan perlu melaksanakan proses membuat pertimbangan dan penaakulan pedagogi kerana PBK merupakan pendekatan pengajaran apabila berlaku pandemik Covid-19. Perubahan pedagogi drastik akibat pandemik adalah bukan sesuatu yang mudah dan kompleks untuk dilaksanakan kerana kekaburan dan ketidakpastian dalam melaksanakan pedagogi baharu ini. Oleh yang demikian, kajian ini bertujuan untuk meneroka proses membuat pertimbangan pedagogi guru Perakaunan semasa pelaksanaan PBK. Justeru, tiga persoalan dikaji iaitu: 1) Apakah asas membuat pertimbangan pedagogi guru Perakaunan semasa pelaksanaan PBK?; 2) Bagaimanakah penaakulan pedagogi guru Perakaunan semasa pelaksanaan PBK?; dan 3) Bagaimanakah ciri pertimbangan guru Perakaunan menyumbang kepada tindakan pedagogi semasa pelaksanaan PBK?. Teori dan model yang mendasari kajian ini adalah Teori Pertimbangan (Weick et al., 2005; Weick, 1995) dan Model Penaakulan Pedagogi dan Tindakan (Model PPT) oleh Shulman (1987).
Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif iaitu kajian kes pelbagai tempat. Pemilihan lokasi di Negeri Sembilan kerana pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) dan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) Perakaunan terbaik secara berturut-turut sepanjang tahun 2018-2022 walaupun dalam tempoh pandemik. Seramai sembilan orang guru Perakaunan yang mempunyai pengalaman mengajar melebihi 10 tahun sehingga tahun 2020 telah dipilih secara pensampelan bertujuan. Data diperoleh melalui kaedah temu bual separa berstruktur, analisis dokumen dan bahan audio visual. Data dianalisis menggunakan analisis tematik dan analisis kandungan digunakan bagi menganalisis dokumen dan bahan audio visual bagi menjawab persoalan kajian.
Dapatan kajian persoalan pertama bagi asas membuat pertimbangan guru Perakaunan semasa pelaksanaan PBK adalah pertimbangan berasaskan kepercayaan diri guru dan pertimbangan berasaskan tindakan pedagogi guru. Manakala, enam tema dapatan kajian persoalan kedua berkaitan penaakulan pedagogi guru Perakaunan semasa pelaksanaan PBK adalah pemahaman guru tentang keperluan pelaksanaan, transformasi bahan dan alat pengajaran secara fleksibel, pelaksanaan pengajaran yang mengandungi pengurusan masa, kaedah dan pendekatan, penilaian pengajaran, refleksi pengajaran dan pemahaman pedagogi baharu. Dapatan kajian persoalan ketiga iaitu ciri pertimbangan guru Perakaunan yang menyumbang kepada tindakan pedagogi semasa pelaksanaan PBK melalui tujuh tema iaitu pembinaan identiti diri guru, imbas pengalaman bermakna, aktif terhadap persekitaran, pertimbangan sosial guru, tindakan berterusan, pengekstrakan isyarat dan tindakan munasabah guru.
Hasil dapatan kajian mengesahkan teori dan model yang mendasari kajian serta keunikan hasil dapatan adalah melalui pengkhususan tema dan sub tema. Walaupun Teori Pertimbangan Weick dan Model PPT Shulman adalah daripada bidang berbeza, namun dapatan kajian menyumbang kepada pengintegrasian bidang pengurusan organisasi dan pendidikan dalam konteks PBK. Hasil dapatan kajian ini menunjukkan asas dan ciri pertimbangan menyumbang kepada tindakan pedagogi sistematik dalam Perakaunan melalui Bahagian Pendidikan Latihan Teknik dan Vokasional (BPLTV). Kajian ini turut membentangkan kerangka yang menyumbang kepada penerokaan pengetahuan pertimbangan dan penaakulan pedagogi guru Perakaunan semasa pelaksanaan PBK bagi menghadapi ketidakpastian perubahan pendidikan masa hadapan.
Download File
Additional Metadata
| Item Type: |
Thesis
(Doctoral)
|
| Subject: |
Education - Study and teaching - Malaysia |
| Subject: |
Distance education - Malaysia |
| Call Number: |
FPP 2024 43 |
| Chairman Supervisor: |
Suhaida binti Abdul Kadir, PhD |
| Divisions: |
Faculty of Educational Studies |
| Keywords: |
Pedagogical sensemaking; Accounting teachers and emergency remote teaching |
| Sustainable Development Goals (SDGs): |
GOAL 4: Quality Education |
| Depositing User: |
Ms. Rohana Alias
|
| Date Deposited: |
21 May 2026 13:53 |
| Last Modified: |
21 May 2026 13:53 |
| URI: |
http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/125449 |
| Statistic Details: |
View Download Statistic |
Actions (login required)
 |
View Item |