Citation
Rumeli, Muaza Shifa
(2024)
Proses pemindahan latihan pemimpin pelapis kepengetahuan dalam Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) di Malaysia.
Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mewujudkan Program Kelayakan
Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan atau National Professional
Qualification For Educational Leaders (NPQEL) yang merupakan satu inisiatif latihan
dalam perkhidmatan dengan tujuan untuk membentuk kumpulan pemimpin pelapis
yang terdiri daripada bakal guru besar dan pengetua. Seiring itu juga, Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 turut memberikan penekanan
terhadap pelantikan guru besar dan pengetua yang memfokuskan kepada kompetensi
yang perlu dimiliki oleh pemimpin sekolah. Jemaah Nazir melalui penilaian standard
kualiti KPM juga meletakkan kompetensi kepimpinan dan hala tuju sekolah sebagai
salah satu pengukuran bagi melihat tahap keberkesanan dan kecemerlangan sekolah.
Namun begitu, kajian mengenai kompetensi dan kesediaan pemimpin pelapis ini
sekitar tahun 2017 sehingga 2022 mendapati guru besar dan pengetua yang telah
dilantik tidak mempunyai kompetensi yang mencukupi, kekurangan pengetahuan dan
kemahiran serta tidak bersedia untuk menjadi pemimpin walaupun telah menghadiri
program latihan. Keadaan ini dilihat membantutkan peningkatan kualiti pemimpin di
organisasi pendidikan khususnya sekolah. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk
mendalami dan menjelaskan bagaimana program ini dapat berperanan dengan
berkesan melalui proses pemindahan latihan. Jika dilihat pada kajian lepas, pengkaji
terdahulu hanya melihat kepada keberkesanan program NPQEL tetapi bagi kajian ini,
pengkaji membawakan pendekatan dan perspektif yang berbeza iaitu melalui proses
pemindahan latihan yang berlaku setelah mereka dilantik menjadi guru besar. Hasil
kajian turut menjelaskan cara pemimpin menggunakan pengetahuan dan kemahiran
yang diperolehi daripada program NPQEL ke situasi kerja sebenar disamping
menunjukan dengan jelas ciri pemimpin yang terhasil. Kajian ini difokuskan kepada
peserta dan penganjur Program NPQEL ambilan 2019 kerana kohort ini ialah kohort
yang terakhir sebelum pandemik COVID 19 melanda.
Selepas dari itu Institut Aminuddin Baki telah menjalankan kaedah penyampaian
program latihan secara luar norma bagi kohort ambilan 2020 sehingga 2021. Teori
utama yang mendasari kajian ini ialah Teori Pemindahan Latihan Holton (1996) dan
Teori Pemindahan Latihan Foxon (1993). Kaedah kualitatif melalui pendekatan kajian
kes telah dijadikan metod bagi kajian ini dengan menggunakan Program NPQEL yang
berlangsung di Institut Aminuddin Baki (IAB) sebagai konteks bagi pengumpulan
data kajian. Sejumlah tujuh orang informan telah terlibat dalam kajian ini yang terdiri
daripada tiga orang Ketua Jabatan di Institut Aminuddin Baki (IAB) dan empat orang
guru besar di daerah Seremban. Proses pengumpulan data dimulakan dengan temu bual
semi berstruktur mendalam dan disokong dengan dokumen yang berkaitan daripada
IAB dan nota lapangan. Temubual telah dijalankan dengan menggunakan Bahasa
Melayu dan ditranskrip secara verbatim. Data seterusnya dianalisis dengan cara
memberi kod kepada transkrip dan membentuk kategori juga tema. Kajian ini telah
menghasilkan sepuluh tema melalui empat persoalan kajian. Hasil kajian ini
mendapati, struktur dan pelaksanaan Program NPQEL membantu pembangunan
pemimpin ini melalui pembudayaan amalan terbaik. Manakala pengisian aktiviti
dalam program ini dilihat secara langsung membantu proses pemindahan latihan itu
dengan berkesan. Hasil kajian ini turut mendedahkan bahawa, isu yang berlaku dalam
pembangunan pemimpin pelapis adalah berakar daripada sikap mereka
sendiri.Bermula dengan kurang kesediaan dan tidak dapat memberikan komitmen
kepada tanggungjawab antara yang menjadi punca kepada lemahnya penguasaan
kompetensi untuk menjadi pemimpin yang berkesan.
Selain itu, faktor yang menghalang untuk menjayakan proses pemindahan latihan turut
dapat dikenalpasti. Dengan itu, diharap kajian ini dapat menyumbang maklumat yang
bernilai kepada pemegang taruh utama iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia,
penganjur Program NPQEL Institut Aminuddin Baki dan Jabatan Pendidikan Negeri
seterusnya Pejabat Pendidikan Daerah. Kajian ini turut mencadangkan agar kajian
yang lebih luas untuk dilaksanakan dengan melihat kemampuan program kepimpinan
yang lain dibawah kelolaan KPM yang signifikan dalam pembangunan pemimpin
pendidikan agar program tersebut terus kekal relevan dan berkualiti untuk dijayakan.
Download File
Additional Metadata
| Item Type: |
Thesis
(Doctoral)
|
| Subject: |
Transfer of training - Malaysia |
| Subject: |
Educational leadership - Malaysia |
| Call Number: |
FPP 2024 41 |
| Chairman Supervisor: |
Ahmad Aizuddin bin Md Rami, PhD |
| Divisions: |
Faculty of Educational Studies |
| Keywords: |
Educational leadership; Human resources development; Training; Transfers training |
| Sustainable Development Goals (SDGs): |
GOAL 4: Quality Education |
| Depositing User: |
Ms. Rohana Alias
|
| Date Deposited: |
21 May 2026 08:36 |
| Last Modified: |
21 May 2026 08:36 |
| URI: |
http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/125389 |
| Statistic Details: |
View Download Statistic |
Actions (login required)
 |
View Item |