Citation
Abdul Razak, Muhammad Afiq
(2024)
Subjektiviti kesejahteraan hidup komuniti warga emas Orang Asli Seletar di Johor, Malaysia.
Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
Abstract
Malaysia dijangka menjadi negara tua kerana peratusan warga emas dijangka
akan meningkat kepada lima belas peratus menjelang tahun 2030.
Pengukuran kesejahteraan hidup masyarakat di Malaysia dilihat masih lagi
berteraskan perspektif objektif dengan menggunakan pengukuran ekonomi.
Selain itu, konsep kesejahteraan subjektif yang khusus bagi warga emas
Orang Asli juga masih lagi kabur dan kajian mengenainya adalah terbatas.
Justeru, kajian ini memberi satu sudut pandang yang berbeza dengan melihat
kesejahteraan hidup secara subjektif. Kefahaman kesejahteraan subjektif
dapat memberi gambaran yang holistik tentang status kesejahteraan warga
emas Orang Asli. Hal ini kerana kesejahteraan subjektif mengambil kira
penilaian serta perspektif individu berdasarkan pengalaman hidupnya dalam
pelbagai dimensi selari dengan warga emas Orang Asli yang mempunyai
budaya, sistem kepercayaan dan gaya hidup tersendiri. Oleh yang demikian,
kajian ini bertujuan untuk: (i) menjelaskan konsep kesejahteraan subjektif
warga emas Orang Asli Seletar; (ii) meneroka indikator dan domain kesejahteraan hidup subjektif dalam kalangan komuniti warga emas Orang
Asli Seletar; dan (iii) menghuraikan status kesejahteraan hidup subjektif dalam
kalangan komuniti warga emas Orang Asli Seletar. Seramai 15 orang informan
terlibat dalam Perbincangan Kumpulan Berfokus (FGD), Teknik Kumpulan
Nominal (NGT) dan temu bual secara mendalam yang terdiri daripada mereka
yang berumur 60 tahun dan ke atas yang ditinggal di daerah Johor Bahru,
Johor Bahru. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dengan reka bentuk
kajian secara kajian kes. Analisis kajian adalah berasaskan tema.
Berdasarkan dapatan kajian terdapat tujuh tema besar dalam membincangkan
konsep kesejahteraan hidup subjektif warga emas Orang Asli Seletar iaitu: (i)
ketenangan; (ii) kegembiraan; (iii) keselesaan; (iv) kecukupan; (v) kesukaan;
(vi) kesedaran; dan (vii) kepuasan. Manakala dari segi indikator dan domain
pula, dapatan kajian menunjukkan terdapat tujuh indikator kesejahteraan
hidup subjektif warga emas Orang Asli Seletar iaitu: (i) Laut dan Alam Sekitar;
(ii) Kerohanian; (iii) Ikatan Keluarga dan Komuniti; (iv) Pemeliharaan Budaya;
(v) Keperluan Asas; (vi) Kesihatan Mental; dan (vii) Kesihatan Fizikal.
Berdasarkan indikator-indikator tersebut, terdapat enam domain
kesejahteraan hidup subjektif warga emas Orang Asli Seletar iaitu: (i)
Kesejahteraan Subjektif Spiritual; (ii) Kesejahteraan Subjektif Sosial; (iii)
Kesejahteraan Subjektif Ekonomi; (iv) Kesejahteraan Subjektif Budaya; (v)
Kesejahteraan Subjektif Psikologi; dan (vi) Kesejahteraan Subjektif Kesihatan.
Bagi status kesejahteraan hidup subjektif warga emas Orang Asli Seletar, hasil
analisis yang dijalankan hampir semua domain kesejahteraan subjektif warga
emas Orang Asli Seletar adalah baik kecuali beberapa elemen seperti berikut:
(i) Persekitaran dalam indikator laut dan alam – domain kesejahteraan subjektif spiritual; (ii) Kelangsungan budaya dalam indikator pemeliharaan
budaya – domain kesejahteraan subjektif budaya; dan (iii) elemen trauma
dalam indikator kesihatan mental – domain kesejahteraan subjektif kesihatan.
Kesimpulannya, dapatan kajian ini memberi gambaran asas tentang
kesejahteraan subjektif warga emas Orang Asli Seletar. Kehidupan serba
kekurangan dan sederhana dari kaca mata dan ukuran arus perdana tidak
semestinya menggambarkan apa yang mereka rasakan. Penilaian
pembangunan tidak boleh berorientasikan objektif semata-mata malah perlu
mengambil kira elemen subjektif dalam menentukan kesejahteraan mereka.
Download File
Additional Metadata
| Item Type: |
Thesis
(Masters)
|
| Subject: |
Elderly - Malaysia |
| Subject: |
Indigenous peoples - Malaysia |
| Subject: |
Health - Mental - Malaysia |
| Call Number: |
FEM 2024 12 |
| Chairman Supervisor: |
Mohd Roslan Rosnon, PhD |
| Divisions: |
Faculty of Human Ecology |
| Keywords: |
Subjective well-being; Elderly Orang Asli; Seletar community; Johor, Malaysia; Qualitative research; Case study; Thematic analysis; Spiritual well-being; Social well-being; Cultural well-being |
| Sustainable Development Goals (SDGs): |
SDG 10: Reduced Inequalities, SDG 16: Peace, Justice and Strong Institutions, SDG 1: No Poverty |
| Depositing User: |
Ms. Rohana Alias
|
| Date Deposited: |
28 Apr 2026 07:27 |
| Last Modified: |
28 Apr 2026 07:27 |
| URI: |
http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/122815 |
| Statistic Details: |
View Download Statistic |
Actions (login required)
 |
View Item |