UPM Institutional Repository

Pengalaman sesi kaunseling individu terhadap perkembangan holistik diri remaja hamil luar nikah


Citation

Tengku Jewa, Tengku Teh Mariah (2021) Pengalaman sesi kaunseling individu terhadap perkembangan holistik diri remaja hamil luar nikah. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Peringkat perkembangan individu sewaktu remaja secara fizikal, biologikal, mental dan emosional berlaku dengan pesat dan drastik, di samping bermulanya identifikasi diri, peranan dan tanggungjawab sosial. Zaman remaja mulai ditanggap sebagai suatu fasa kehidupan yang sangat mencabar serta rapuh, serta setiap individu pasti tidak dapat mengelak daripada berhadapan dengan permasalahan yang berkait dengan kehidupan dan kelangsungan hidup. Permasalahan ini merangkumi gaya hidup lepas bebas, tingkah laku berisiko, keterlibatan dalam aktiviti seksual sebagainya lagi. Isu remaja hamil luar nikah yang tidak dicelah dengan berkesan mempunyai ramifikasi yang kritikal. Penubuhan institusi perlindungan atau pusat pemulihan akhlak merupakan suatu bentuk sokongan terhadap usaha pemulihan yang dipelopori oleh pihak yang berkaitan bagi membantu remaja yang dihimpit permasalahan dalam kehidupan ini. Perkhidmatan kaunseling secara profesional disediakan di institusi pemulihan akhlak dengan penempatan kaunselor berdaftar bagi memastikan perkhidmatan yang berkualiti dan beretika dapat diberikan. Perkhidmatan kaunseling yang disediakan diharapkan akan menjadi pemangkin perubahan holistik remaja hamil luar nikah dengan membantu penerokaan diri dan persekitaran, bimbingan jasmani dan rohani serta mencari alternatif penyelesaian terhadap isu yang dihadapi. Namun begitu, terdapat satu persoalan yang timbul berkisar tentang sejauh manakah pengalaman sesi kaunseling individu dapat membantu remaja hamil luar nikah memperkukuh keperibadian diri dan meneruskan ikhtiar hidup selepas suatu episod hitam telah terlakar dalam diari kehidupan? Justeru itu, kajian ini dilakukan bagi meneroka secara lebih mendalam dan meluas pengalaman sesi kaunseling individu terhadap perkembangan holistik diri remaja hamil luar nikah. Kajian kualitatif jenis kajian kes telah dipilih bagi menjawab persoalan kajian. Terdapat lima orang peserta kajian yang dilibatkan dalam kajian ini merangkumi lima orang pelatih yang tinggal di sebuah pusat pemulihan akhlak; beserta seorang penyelia dan seorang kaunselor berdaftar yang berkhidmat di pusat pemulihan akhlak yang sama juga dilibatkan bagi memperkukuh dan mengesahkan dapatan kajian, khususnya bagi aktiviti pemerhatian lapangan dan penelitian dokumentasi. Kaedah persampelan bertujuan digunakan dalam proses kutipan data yang diperlukan, iaitu remaja yang pernah hamil luar nikah dan telah menjalani sesi kaunseling individu sekurang-kurangnya tiga kali sepanjang berada di pusat pemulihan akhlak. Temu bual secara separa berstruktur digunakan sebagai kaedah utama pengumpulan data, selain dari pemerhatian penyelidik di lapangan dan penelitian dokumentasi yang berkaitan. Temu bual telah dirakam, ditranskrip secara verbatim, disusun dan ditafsirkan bagi membina kategori dan menghasilkan tema bagi menjawab persoalan kajian. Dapatan kajian membentangkan pengalaman perkembangan yang positif setelah pelatih menjalani intervensi kaunseling individu secara berkala. Perkembangan diri remaja hamil luar nikah direkodkan dengan penelitian tiga aspek utama pembentukan jati diri individu iaitu emosi, pemikiran dan tingkah laku. Aspek emosi menyerlahkan pengalaman: (1) ketenangan, (2) kestabilan pengawalan emosi dan (3) keberanian berhadapan dengan cabaran masa hadapan. Sementara aspek pemikiran pula menyerlahkan pengalaman: (1) berfikiran positif, (2) berfikiran matang, (3) berkesedaran kendiri dan (4) bermotivasi membuat perancangan hidup. Akhir sekali, aspek tingkah laku pula menyerlahkan pengalaman: (1) meningkatkan disiplin diri dan (2) menggalakkan toleransi diri. Kajian ini memberi implikasi bahawa pengalaman yang digarap di pusat pemulihan akhlak dalam sesi kaunseling individu yang dilalui remaja hamil luar nikah dan peranan kaunselor berdaftar adalah sangat signifikan bagi memastikan remaja hamil luar nikah mampu bangkit membingkas untuk berkembang menjadi individu yang sejahtera dan kembali berfungsi secara holistik.


Download File

[img] Text
TENGKU TEH MARIAH- IR.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Illegitimate children - Psychology
Subject: Unmarried mothers
Call Number: FPP 2021 41
Chairman Supervisor: Profesor Madya Noor Syamilah Zakaria, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Ms. Rohana Alias
Date Deposited: 07 Sep 2023 07:55
Last Modified: 07 Sep 2023 07:55
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/104580
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item