UPM Institutional Repository

Pandangan mahasiswa Melayu dan Cina di Lembah Klang terhadap pembentukan identiti kebangsaan


Citation

Siaw, Bing (2021) Pandangan mahasiswa Melayu dan Cina di Lembah Klang terhadap pembentukan identiti kebangsaan. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Malaysia merupakan sebuah negara yang terkenal dengan keunikan budaya dan kepelbagaian etnik. Setiap kumpulan etnik menganut agama sendiri, mengekalkan kepercayaan dan tradisi serta cara hidup masing-masing. Kewujudan masyarakat berbilang etnik yang mengamalkan kepelbagaian agama dan budaya telah menjadikan keistimewaan Malaysia berbanding dengan negara lain. Namun, kepelbagaian identiti etnik telah menjadi cabaran kepada pembentukan identiti kebangsaan. Hal ini disebabkan setiap kumpulan etnik ingin mempertahankan identiti etnik masing-masing supaya budaya etnik tidak terhakis. Sejak mencapai kemerdekaan, negara Malaysia berusaha untuk membentuk identiti kebangsaan dalam kalangan rakyat bagi mencapai perpaduan dan keharmonian. Maka, isu-isu perpaduan etnik sering menjadi cabaran dalam pembentukan identiti kebangsaan semenjak berlakunya peristiwa 13 Mei pada 1969. Dengan itu, kajian ini telah dijalankan dengan tujuan: (i) menerokai pemahaman mahasiswa Melayu dan Cina di Lembah Klang tentang konsep dan ciri-ciri identiti kebangsaan, (ii) mengenal pasti cabaran utama dalam pembentukan identiti kebangsaan berdasarkan pandangan mahasiswa Melayu dan Cina di Lembah Klang, (iii) mengenal pasti cadangan mahasiswa Melayu dan Cina di Lembah Klang bagi membentuk identiti kebangsaan, dan (iv) mengenal pasti perbezaan pandangan antara mahasiswa Melayu dan Cina di Lembah Klang terhadap ciri-ciri identiti kebangsaan, cabaran dan cadangan dalam pembentukan identiti kebangsaan. Golongan mahasiswa dipilih menjadi kumpulan sasaran kajian disebabkan mereka merupakan generasi yang memberi sumbangan tenaga dan juga harapan negara pada masa akan datang. Mahasiswa Melayu dan Cina telah dipilih kerana kedua-dua kumpulan etnik ini merupakan kumpulan etnik utama di Malaysia. Dari segi pengumpulan data, kajian ini telah menggunakan pendekatan kaedah gabungan. Pendekatan kualitatif iaitu melalui kaedah perbincangan kumpulan berfokus (FGD) telah dilaksanakan terdahulu untuk menerokai pandangan informan terhadap persoalan kajian. Seterusnya, pendekatan kuantitatif melalui kaedah tinjauan yang menggunakan borang soal selidik telah dilaksanakan untuk memperoleh pandangan responden. Data yang diperoleh dari FGD telah dianalisis dengan menggunakan kaedah analisis deskriptif. Manakala data yang diperoleh dari tinjauan telah dianalisis secara deskriptif dan ujian t. Hasil kajian menunjukkan bahawa identiti kebangsaan yang difahami oleh mahasiswa merujuk kepada bahasa, budaya dan peradaban yang diamalkan dalam sesebuah negara telah melambangkan identiti negara. Tambahannya, ciri-ciri tersebut telah menjadikan negara unik berbanding dengan negara lain. Selain itu, hasil kajian mendapati bahawa masyarakat yang saling menghormati antara satu sama lain telah melambangkan ciri-ciri identiti kebangsaan negara. Kajian ini dapati cabaran yang dihadapi dalam pembentukan identiti kebangsaan ialah kerajaan tidak menerima perubahan dan mempunyai idea sendiri dalam pelaksanaan dasar. Bagi mengatasinya, mahasiswa mencadangkan bahawa pemimpin seharusnya mengutamakan rakyat semasa menggubal dasar-dasar negara agar kehendak dan harapan rakyat boleh dipenuhi. Seterusnya, analisis ujian-t menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan antara mahasiswa Melayu dan Cina terhadap ciri-ciri identiti kebangsaan, cabaran dalam pembentukan identiti kebangsaan, dan cadangan dalam pembentukan identiti kebangsaan. Secara keseluruhannya, mahasiswa Melayu lebih prihatin terhadap pembentukan identiti kebangsaan Malaysia berbanding dengan mahasiswa Cina. Justeru, bagi memastikan identiti kebangsaan dapat dipupuk di semua kalangan rakyat, pandangan dan pemahaman rakyat perlu diberi perhatian agar identiti kebangsaan dapat dicapai dengan jayanya.


Download File

[img] Text
SIAW BING - T - IR.pdf

Download (888kB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Nationalism - Malaysia
Subject: National characteristics, Malaysian
Call Number: FEM 2021 25
Chairman Supervisor: Lee Yok Fee, PhD
Divisions: Faculty of Human Ecology
Depositing User: Ms. Rohana Alias
Date Deposited: 10 Aug 2023 01:21
Last Modified: 10 Aug 2023 01:21
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/104388
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item