UPM Institutional Repository

Tiga Karya Pensyarah UPM Di Pameran Bicara Sifu Galeri Petronas


Citation

Universiti Putra Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat (2011) Tiga Karya Pensyarah UPM Di Pameran Bicara Sifu Galeri Petronas. [UPM News] (Unpublished)

Abstract

KUALA LUMPUR, 12 April – Tiga karya pensyarah Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM) dipilih untuk dipamerkan pada pameran seni Bicara Sifu di Galeri Petronas, KLCC. Antara karya UPM yang dihasilkan oleh pensyarah UPM iaitu ‘Romantika Modenis Melayu’ oleh Dr. Noor Azizi Mohd Ali, ‘Inner-Scape’ oleh En. Mohd Nasir Baharuddin, M.Fabian Husna, M. Faizuan Mat, Megat Muzafar Nizar dan M Zamani dan ‘Migrating Design’ oleh Dr. Rizal Abd Rahman dan Jonaidy Johary. Sementara itu, pensyarah UPM Mohd Nasir Baharuddin yang mempamerkan karya seni Inner-Scape yang menggunakan tujuh ribu kotak plastik, air berwarna dan lampu fluorescent berkata Inner-Scape merupakan gabungan rekabentuk dalaman dan landskap dalam komposisi ruangan senibina. “Ini merupakan ciptaan semula bagaimana revolusi bahan sebagai elemen baru dalam menyediakan dan mendefinisikan ruangan dalaman dan landskap ke dalam kaedah baru rekabentuk,” katanya. Menurut Dr. Rizal Abd Rahman pula, ilham untuk menghasilkan Migrating Design tercetus daripada perubahan kehendak manusia dan sosial yang menyumbang kepada perubahan produk dan perkhidmatan. Katanya lagi berkonsepkan Migrating Design dan fleksibiliti, produk sedia ada berupaya dipelbagaikan mengikut kehendak ruang dan keperluan pasaran serta menunjukan betapa produk boleh berubah mengikut suasana dan citarasa sesuatu tempat dan keadaan. Dr Noor Azizi Mohd Ali yang mempamerkan karya seni ‘Romantika Modenis Melayu’ berkata ramai yang percaya senibina kedaerahan seharusnya mengambil gaya kedaerahan yang bersifat dogmatik. Pendekatan yang lebih praktis dan berguna adalah dengan menyerlahkan bahasa yang lebih abstrak yang diterjemahkan dalam bentuk garisan, unjuran dan planar seperti yang dapat dilihat pada rekacipta rumahnya menyerlahkan keluhuran dan keaslian roh dan jiwa Melayu. Sementara itu, Dekan FRSB, Prof. Madya Dr. Osman Mohd Tahir berkata penglibatan pensyarah dalam pameran berprestij itu memberi peluang kepada tenaga pengajar UPM untuk memperkembangkan karya seni ke peringkat antarabangsa. “Produk yang dipamerkan merangkumi aspek rekabentuk senibina, senibina landskap dan rekabentuk perindustrian yang dihasilkan oleh tenaga pengajar FRSB. Program ini secara langsung memberikan motivasi serta meningkatkan kreativiti tenaga pengajar di FRSB,” katanya pada majlis pelancaran Bicara Sifu dan Antara Budaya di Galeri PETRONAS, KLCC baru-baru ini. Beliau berkata FRSB telah memperolehi keahlian dalam International Council Museum (ICOM) bagi memenuhi keperluan pengiktirafan pameran berindeks. Majlis pelancaran kedua-dua pameran disempurnakan oleh Penasihat, Majlis Kraf Dunia Rantau Asia Pasifik, Raja Datin Paduka Fuziah Raja Tun Uda. Bicara Sifu menghimpunkan 51 buah karya eksperimental unik yang dihasilkan oleh 85 ahli fakulti dan akademik dari sembilan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknlogi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi MARA (Kampus Sri Iskandar) dan Universiti Teknologi MARA (Kampus Machang).


Download File

[img]
Preview
PDF
Pameran_Bicara_Sifu.pdf

Download (130kB)

Additional Metadata

Item Type: UPM News
Depositing User: Mohd Nezeri Mohamad
Date Deposited: 26 Apr 2011 03:56
Last Modified: 27 May 2013 07:45
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/10421
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item