UPM Institutional Repository

Keberkesanan Fungsi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Dalam Pembangunan Luar Bandar: Satu Kajian Kes


Citation

Abdullah, Mohd Yusof (2003) Keberkesanan Fungsi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Dalam Pembangunan Luar Bandar: Satu Kajian Kes. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung atau ringkasnya JKKK adalah sebuah institusi kepimpinan di peringkat kampung yang diwujudkan ketika pemerintah negara ini berusaha gigih untuk membangunkan sektor luar bandar. Penubuhan JKKK adalah untuk mewujudkan ruang dan memberikan peluang kepada pihak rakyat melibatkan diri dalam proses pembangunan di peringkat kampung. JKKK adalah badan yang bertindak sebagai agen perubahan dan penghubung penting antara pihak kerajaan dan penduduk kampung. Kajian ini dijalankan ke atas sebuah JKKK yang dianggap berupaya di sebuah kampung tradisional dalam daerah Sepang, Selangor Darul Ehsan. Kajian kes ini bertujuan mengkaji keberkesanan fungsi JKKK dalam proses pembangunan luar bandar. Sumbangan kajian kes ini adalah untuk mengemukakan huraian objektif berhubung keupayaan dan kepentingannya dalam proses pembangunan luar bandar. Justeru, kajian ini meninjau penglibatan institusi JKKK di dalam menjalankan fungsi dan tanggungjawab yang telah digariskan. Kajian kes ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan kaedah temubual, pemerhatian ikut serta, dan analisis dokumen sebagai instrumen untuk mengumpul dan merekodkan data. Penemuan kajian kes ini menunjukkan bahawa penduduk kampung ini telah menikmati faedah daripada kemudahan asas dan perkhidmatan pengembangan yang disediakan oleh pihak kerajaan. Kepimpinan JKKK di kampung ini turut membantu di dalam mengembangkan peluang-peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan dengan sumber-sumber tempatan yang ada untuk faedah penduduk. Penglibatan penduduk setempat di dalam aktiviti kemasyarakatan dan ekonomi dijana oleh kepimpinan JKKK melalui proses komunikasi yang berkesan. Proses komunikasi yang berkesan yang diamalkan oleh kepimpinan JKKK kampung ini membolehkannya bertindak selaku agen perubahan di peringkat akar umbi untuk berfungsi sebagai perantara dalam proses perkongsian maklumat antara pihak kerajaan dan penduduk kampung, sebagai pemangkin, pembangunan, dan pentadbir kampung yang betjaya mengukuhkan permuafakatan di kalangan penduduk dan mewujudkan suasana kerjasama yang harmoni dengan pihak kerajaan. Penemuan kajian kes ini memberikan satu bukti bahawa JKKK yang berupaya dan berfungsi boleh memenuhi hasrat untuk membantu membawakan perubahan di kampung selaras dengan kedudukannya di dalam pasukan pembangunan. Berdasarkan kajian kes ini, disimpulkan bahawa institusi JKKK diperlukan dan masih relevan di dalam konteks pembangunan luar bandar.


Download File

[img] Text
FBMK_2003_7.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Village communities
Call Number: FBMK 2003 7
Chairman Supervisor: Professor Madya Dr. Hj. Md.Salleh Hj. Hassan
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Nur Kamila Ramli
Date Deposited: 16 Mar 2011 04:39
Last Modified: 25 Mar 2024 07:40
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/10253
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item