UPM Institutional Repository

Vatica FC julang Piala Datuk Haji Suhaimy Kejohanan Futsal UPM


Citation

Universiti Putra Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat (2011) Vatica FC julang Piala Datuk Haji Suhaimy Kejohanan Futsal UPM. [UPM News]

Abstract

SERDANG, 21 Feb– Pasukan Vatica FC dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mengesahkan kejuaraan kategori IPTA/IPTS apabila membenam Unimax FC dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2-0 pada perlawanan akhir Kejohanan Futsal Piala Datuk Haji Suhaimy, Kolej 10 UPM di sini. Vatica layak ke peringkat akhir selepas menafikan kemaraan pasukan Pak Cik Otai 4-1 pada peringkat separuh akhir manakala Unimax menumpaskan Cemara FC dengan jaringan 4-3 pada pusingan yang sama. Pertemuan pada babak pertama menyaksikan Vatica dan Unimax sekadar mempamerkan aksi hambar tanpa sebarang cubaan menarik membuatkan kedudukan terikat 0-0. Bangkit pada babak kedua, Vatica memecah kebuntuan dengan mendahului Unimax 1-0 pada minit ke sembilan melalui jaringan tidak sengaja penjaga gol Vatica, Mohd. Riduan Mohamad apabila lontaran jauhnya tersasar menerjah ke gawang lawan. Vatica terus mempamerkan aksi garang dengan meledak satu lagi gol selang seminit kemudian hasil rembatan kencang penyerang Mohd. Zaharudin Zainal Abiddin seterusnya melayakkan pasukan itu mengesahkan tempat sebagai juara. Kesemua mereka berjaya membawa pulang hadiah pakej penginapan dua hari satu malam di Natasya Resort Genting Highlands, wang tunai RM400, kasut sukan sumbangan Figos dan hamper. Unimax yang sekadar berpuas hati menduduki tempat kedua, menerima hadiah berupa penginapan dua hari satu malam di Natasya Resort Genting Highlands, wang tunai RM200, kasut sukan sumbangan Figos dan hamper. Semantara itu dalam kategori terbuka pula, nasib menyebelahi pasukan Taman Pertanian Universiti FC (TPU FC) apabila menang tipis kepada Team Standard Kampung (TSK FC) 4-3 melalui penentuan sepakan penalti. Pada separuh masa pertama pertemuan antara kedua-dua pasukan, TSK FC yang kelihatan menguasai permainan terlebih dahulu menjaringkan gol melalui hantaran kemas yang disudahkan Mohd. Shakir Adham. TPU FC kemudiannya bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke tujuh separuh masa kedua melalui rembatan pemain tengah Mohd. Shahrul Azlan. Kedudukan terikat 1-1 hingga pengadil meniupkan wisel penamat seterusnya membawa kedua-dua pasukan ke kancah penentuan penalti. TPU FC yang disahkan juara membawa pulang hadiah berupa pakej penginapan tiga hari dua malam di Natasya Resort Genting Highlands, wang tunai bernilai RM500, kasut sukan sumbangan Figos dan hamper manakala TSK FC menerima hadiah pakej penginapan tiga hari dua malam di Natasya Resort Genting Highlands, wang tunai bernilai RM400, kasut sukan sumbangan Figos beserta hamper. Hadiah kepada semua pemenang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Mohd. Fauzi Ramlan. Berucap pada majlis penutup, beliau melahirkan rasa bangga dengan penganjuran sukan seperti itu dan berharap ia perlu diteruskan pada masa akan datang. “Sukan bukan sahaja dapat memupuk semangat silaturrahim dalam komuniti pelajar malah ia juga dapat menyemai semangat berpasukan dan bantu mambantu antara satu sama lain,” katanya. Sebanyak 64 pasukan menyertai kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu yang mana menyaksikan 32 pasukan berentap dalam kategori IPTA/IPTAS dan 32 pasukan lagi dalam kategori terbuka.


Download File

[img]
Preview
PDF
Vatica_FC.pdf

Download (183kB)

Additional Metadata

Item Type: UPM News
Depositing User: Muizzudin Kaspol
Date Deposited: 25 Feb 2011 09:33
Last Modified: 27 May 2013 07:44
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/9990
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item