UPM Institutional Repository

UPM Cipta Produk Cegah Kanser Serviks Dari Herba Hutan


Citation

Universiti Putra Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat (2011) UPM Cipta Produk Cegah Kanser Serviks Dari Herba Hutan. [UPM News]

Abstract

SERDANG,18 Jan - Sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menemui teknologi baharu rawatan mencegah kanser serviks peringkat awal dengan menggunakan tumbuhan tempatan iaitu ‘lempoyang’ atau halia hutan. Ketua penyelidik, Dr. Ahmad Bustamam Abdul dari Institut Biosains UPM berkata bahan berbentuk solid mengandungi sebatian itu mempunyai kemampuan rawatan sama seperti ubat anti kanser komersial serta tidak membunuh sel-sel normal manusia. “Teknologi ini selamat dan mempunyai kemampuan tinggi membunuh sel-sel kanser pangkal rahim serta mengurangkan komplikasi pesakit kanser yang menjalani rawatan kemoterapi,” katanya pada sidang media hasil penyelidikan UPM anjuran Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti (RMC) dan Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) di sini. Beliau berkata bahan yang telah menjalani ujian pra klinikal itu terbukti mampu memberi dos terapeutik tinggi yang selamat. Ia boleh dipasarkan dalam bentuk kapsul atau cecair dan boleh digunakan bersama ubat kemoterapi komersial lain serta boleh diambil dalam dos yang tinggi tanpa merosakkan tisu normal. “Pihak kami telah menjalani kajian ke atas manusia serta model haiwan yang berpenyakit kanser serviks di makmal bagi kajian aktiviti antikanser terutamanya pangkal rahim,” katanya yang juga pensyarah dan penyelidik di Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM. “Sebagai tambahan, makmal kami telah mengubah sesuai struktur molekulnya bagi membolehkan ia dilarutkan dalam air dengan amat mudah. “Larutan cecair yang diperoleh akan memudahkan bahan semula jadi ini dihasilkan dalam formula dalam bentuk paling sesuai agar ia bertindak sebagai bahan ubat anti kanser,” katanya. Menurut beliau dengan penemuan teknologi itu, kos rawatan pesakit kanser pangkal rahim adalah lebih rendah berbanding penggunaan ubatan yang diimport atau berasaskan bahan bukan semula di samping sesuai digandingkan dengan rawatan kemoterapi. Dr. Ahmad berkata penyelidikan yang dijalankan sejak lapan tahun lalu telah difailkan untuk paten dengan dibiayai oleh Geran Penyelidikan UPM dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) boleh digunakan sebagai gandingan dengan rawatan anti kanser. Beliau dibantu oleh lima penyelidik lain iaitu Prof. Dr. Rashedee Abdullah, Prof. Dr. Mohd Aspollah Sukari, Prof. Dato’ Dr. Tengku Azmi Tengku Ibrahim, Dr. Murali Syam Mohan dan Prof. Madya Dr. Siddiq Ibrahim Abdel Wahab. Produk yang boleh diaplikasi dalam industri herbapeutik itu telah menerima pengiktirafan pingat emas dalam Malaysia Technology Expo pada tahun 2008 dan 17th International Invention Innovation Industrial Design & Technology Exhibition (ITEX) pada tahun 2006, pingat perak dalam International Trade Fair Ideas-Invention-New Products IENA (2006) dan Bio Inno, Bio Malaysia (2010) serta pingat gangsa Bio Inno Awards, Bio Malaysia 2009. Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Saleh Jaafar dan Timbalan Pengarah Bahagian Promosi Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Prof. Madya Dr. Samsilah Roslan. Sementara itu, Prof. Ir. Dr. Saleh berkata bahan semulajadi itu kini berada di peringkat terakhir pembangunan produk. “Saya harap syarikat farmaseutikal tempatan mengambil peluang untuk memasarkan bahan semulajadi ini sebagai produk anti kanser di pasaran global,” katanya. Lempoyang adalah tumbuhan jenis halia dan juga dipanggil halia hutan atau liar, tumbuh liar di kawasan semak samun dan pokoknya hamper menyerupai pokok bunga kantan. Seperti genus halia yang lain, lempoyang membiak melalui rizom dan pecahan rumpun.


Download File

[img]
Preview
PDF
UPM_Cipta_Produk_Cegah_Kanser_Serviks_Dari_Herba_Hutan.pdf

Download (79kB)

Additional Metadata

Item Type: UPM News
Depositing User: Muizzudin Kaspol
Date Deposited: 24 Jan 2011 00:22
Last Modified: 27 May 2013 07:41
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/9323
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item