Persepsi Terhadap Kualiti dan Kepuasan Perumahan dalam Kalangan Pemilik Rumah Kos Rendah di Kota Kinabalu Sabah Malaysia

Sukimin, Suzilynda (2008) Persepsi Terhadap Kualiti dan Kepuasan Perumahan dalam Kalangan Pemilik Rumah Kos Rendah di Kota Kinabalu Sabah Malaysia. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

[img] PDF
317Kb

Abstract

Objektif umum kajian ini adalah untuk mengkaji persepsi kualiti dan kepuasan perumahan dalam kalangan pemilik rumah kos rendah di Kepayan Ridge, Kota Kinabalu, Sabah. Objektif khusus kajian ialah untuk mengenal pasti tahap persepsi kualiti perumahan pemilik rumah kos rendah, membandingkan persepsi terhadap kualiti perumahan di antara pemilik rumah teres dengan pemilik rumah pangsa, mengenal pasti tahap kepuasan perumahan pemilik rumah kos rendah, membandingkan tahap kepuasan perumahan di antara pemilik rumah teres dengan pemilik rumah pangsa dan menentukan faktor yang mempengaruhi kepuasan perumahan pemilik rumah kos rendah. Responden terdiri daripada 200 orang pemilik rumah kos rendah jenis teres dan pangsa yang tinggal di Kepayan Ridge, Kota Kinabalu, iaitu seramai 100 orang bagi setiap jenis rumah. Pemilihan responden dibuat dengan menggunakan kaedah persampelan sistematik.Data dikutip dengan menggunakan borang soal selidik. Hasil analisis diskriptif latar belakang demografi dan perumahan responden menunjukkan majoriti (93%) responden adalah lelaki dan kebanyakan (58%) berusia dalam lingkungan 40 tahun sehingga 49 tahun dengan purata umur 44.4 tahun. Sebahagian besar responden hanya mencapai tahap pendidikan sehingga sekolah menengah atas (tingkatan 4 dan 5). Untuk menampung perbelanjaan keluarga hampir keseluruhan (90.5%) responden bekerja dan kebanyakan (35.5%) responden menerima pendapatan bulanan isirumah di antara RM1,500 hingga RM1,999 dengan purata jumlah pendapatan bulanan sebanyak RM1,265. Hasil kajian berkaitan latar belakang perumahan mendapati purata tempoh menetap responden di perumahan sekarang ialah 10 tahun dan majoriti (89.5%) responden mempunyai saiz isirumah antara 4 orang hingga 6 orang dengan purata saiz isirumah seramai 4.9 orang. Secara keseluruhannya kebanyakan (71%) rumah responden masih kekal memiliki dua bilik tidur dengan purata bilangan penghuni bagi setiap bilik ialah seramai 2.4 orang. Keseluruhannya (56%) responden menyatakan harga rumah sekarang adalah berpatutan dan faktor utama (63.5%) responden memilih kawasan perumahan sekarang kerana lokasinya yang berhampiran dengan tempat kerja. Majoriti responden mempunyai persepsi bahawa kualiti (73%) dan kepuasan (92%) perumahan mereka di tahap yang sederhana. Analisis ujian-t telah digunakan untuk mengenalpasti perbezaan persepsi kualiti dan kepuasan perumahan responden rumah teres dan pangsa. Hasil analisis mendapati tiada perbezaan yang signifikan dari segi persepsi kualiti perumahan antara responden rumah teres dan pangsa dengan nilai t =1.39,p>0.05. Namun demikian, terdapat perbezaan yang signifikan bagi kepuasan perumahan di antara responden teres dan pangsa iaitu nilai (t = 5.31, p< 0.001) dengan nilai min bagi kepuasan isirumah teres (min = 144.77) lebih tinggi berbanding kepuasan isirumah pangsa (min = 133.39). Hasil analisis Regresi Berhirarki menunjukkan terdapat dua pembolehubah yang signifikan menyumbang kepada kepuasan perumahan kos rendah, yang pertama ialah status pekerjaan (ß=-.276, p<0.001) dan yang kedua ialah persepsi kualiti fizikal rumah (ß=-.327, p<0.001). Hubungan yang ditunjukkan oleh status pekerjaan dan persepsi kualiti fizikal rumah adalah berbentuk negatif. Ini bermakna tahap kepuasan perumahan bagi responden yang tidak bekerja lebih tinggi berbanding responden yang bekerja. Manakala bagi persepsi kualiti fizikal rumah, semakin berkurangan masalah kualiti perumahan, maka semakin tinggi kepuasan perumahan. Sebaliknya, semakin banyak masalah kualiti perumahan, maka semakin rendah kepuasan perumahan responden. Melalui hasil kajian, didapati responden yang tinggal di rumah teres lebih berpuas hati dengan perumahan mereka berbanding dengan responden yang tinggal di rumah pangsa. Oleh itu, dicadangkan rumah jenis teres lebih banyak dibina dalam program pembangunan perumahan kos rendah. Perumahan yang disediakan perlu berkualiti dari segi struktur fizikal dan dilengkapi dengan kemudahan yang diperlukan untuk meningkatkan kualiti kehidupan isirumah.

Item Type:Thesis (Masters)
Subject:Housing - Sabah - Case studies
Chairman Supervisor:Professor Nurizan Bt. Yahaya, PhD
Call Number:FEM 2008 14
Faculty or Institute:Faculty of Human Ecology
ID Code:7578
Deposited By: Nurul Hayatie Hashim
Deposited On:22 Jul 2010 09:29
Last Modified:27 May 2013 07:35

Repository Staff Only: Edit item detail


Universiti Putra Malaysia Institutional Repository

Universiti Putra Malaysia Institutional Repository is an on-line digital archive that serves as a central collection and storage of scientific information and research at the Universiti Putra Malaysia.

Currently, the collections deposited in the IR consists of Master and PhD theses, Master and PhD Project Report, Journal Articles, Journal Bulletins, Conference Papers, UPM News, Newspaper Cuttings, Patents and Inaugural Lectures.

As the policy of the university does not permit users to view thesis in full text, access is only given to the first 24 pages only.