UPM Institutional Repository

Etnomatematik Dalam Ilmu Falak Alam Melayu


Citation

Zainal, Baharrudin (2009) Etnomatematik Dalam Ilmu Falak Alam Melayu. PhD thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Selepas kedatangan bangsa Eropah ke Alam Melayu, proses pendidikan di negeri-negeri Alam Melayu telah didominasi oleh sains Eropah. Proses ini telah memencilkan sama sekali etnosains dan sains yang bersumberkan tamadun Islam yang telah berakar umbi dalam kehidupan masyarakat Alam Melayu. Terdapat kelompongan dalam kajian sejarah sains Alam Melayu, kerana kesan kedatangan Islam terhadap kemajuan sains dan matematik kurang diambil perhatian. Salah satu aspek sains ini ialah ilmu falak sebagai cabang matematik. Kajian ini telah menghalusi sebahagian naskhah falak Alam Melayu pra modenisasi untuk menunjukkan bidang utama ilmu falak yang dipraktikkan di Alam Melayu. Begitu juga persoalan hubungan ilmu falak dengan matematik zaman tamadun Islam, ciri-ciri etnomatematik dan kemungkinan berlakunya proses sintesis ilmu falak untuk kegunaannya di Alam Melayu. Sesuai dengan penggunaan naskhah falak sebagai data, penyelidikan yang dijalankan ini menggunakan kaedah kajian teks dengan analisis kandungan. Rangka kerja dalam kaedah penyelidikan kualitatif ini lebih terbuka kerana semasa kajian teks konsep-konsep matematik deskriptif yang terdapat dalam sesuatu naskhah telah dijelmakan kepada konsep dan rumus matematik yang lebih difahami. Ini membolehkan perbandingan dibuat dengan sumber matematik tamadun Islam atau rumus semasa. Kajian ini telah berjaya mengumpulkan sejumlah 52 naskhah falak Alam Melayu pra modenisasi sebagai data untuk kajian teks. Bidang utama ilmu falak Alam Melayu yang dapat dirumuskan dalam kajian ini, termasuklah pengukuran waktu, takwim, jadual falak dan penggunaan Sukuan Sinus. Ilmu Bintang Dua Belas pula didapati menjadi sebahagian dari keperluan takwim yang berasaskan ramalan. Sesuai sebagai bidang utama ilmu falak Alam Melayu, kajian ini mendapati aplikasi matematik dalam bidang utama tersebut melibatkan konsep geometri dan trigonometri secara meluas. Selain daripada naskhah-naskhah falak yang dikaji, aplikasi ilmu falak juga didapati dalam beberapa kitab ilmu fekah utama Alam Melayu. Ini menunjukkan kesepaduan ilmu yang ada pada ilmuwan falak Alam Melayu dan metodologi penyampaian secara bersepadu sains dengan keperluan agama didapati lebih berkesan. Ini boleh dibandingkan dengan langkah-langkah pengasingan antara sains dan keperluan ibadat, yang sebenarnya melemahkan aplikasi sains dalam ibadat. Kajian ini juga telah membuktikan yang naskhah falak Alam Melayu menggunakan sumber daripada karya utama sains tamadun Islam seperti karya al-Biruni, Nasir al-Din Tusi, Sibti al-Maridini dan Ulugh Beg. Setiap satu sumber ini dinyatakan sama ada secara langsung atau perbandingan yang dilakukan terhadap kandungan dalam naskhah falak Alam Melayu dengan sumber matematik tamadun Islam. Beberapa proses sintesis kaedah-kaedah ilmu falak juga telah dibuktikan, termasuklah penggunaan rumus trigonometri yang sesuai dengan keadaan geografi Alam Melayu, terutamanya berkaitan rumus penentuan azimut dan kiblat. Kaedah-kaedah amali falak pula telah mengambil kira keberkesanan dan toleransi yang dibenarkan mengikut peraturan fekah. Bagi aspek sains rakyat yang dikaji, sama ada yang diambil dari luar atau sumber tempatan mengandungi konsep-konsep matematik. Aplikasi unsur sains dan takwim Hijri Alam Melayu juga didapati bersifat boleh lentur, apabila asas sains bagi takwim tersebut diubah sesuai dengan dapatan baharu dalam sains. Misalnya, takwim Jawa/Islam mempunyai mekanisme takwim yang kompleks melalui penggunaan tempoh pergerakan kamariah tahunan yang tersendiri sebagai kesan pengubahsuaian konsep takwim Hindu kepada Islam. Begitu juga dengan penggunaan syarat kenampakan Anak Bulan yang dinyatakan dalam sebahagian takwim tahunan, membolehkan takwim disesuaikan dengan fenomena cakerawala apabila ketepatan tinggi diperlukan. Semua ini menunjukkan, ilmu falak Alam Melayu yang terdedah kepada pengaruh luar mempunyai nilai penyesuaiannya sendiri dan masyarakat mempunyai pilihan mengenainya. Kepesatan penggunaan ilmu falak sebagaimana yang ditunjukkan dalam kajian ini telah membuktikan bagaimana unsur-unsur sains dan matematik telah digunakan sebagai keperluan amalan hidup yang berkesan. Secara langsung, pembuktian ini menolak retorik sains Eropah yang dijadikan sebagai sumber unsur sains matematik terawal. Walau bagaimanapun, kajian ini telah membuktikan bahawa Alam Melayu telah mempunyai etnosains sendiri.


Download File

[img]
Preview
PDF
IPM_2009_3a.pdf

Download (572kB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (PhD)
Subject: Learning strategies
Call Number: IPM 2009 3
Chairman Supervisor: Professor Madya Mat Rofa bin Ismail, PhD
Divisions: Institute for Mathematical Research
Depositing User: Nur Izyan Mohd Zaki
Date Deposited: 14 Jun 2010 00:44
Last Modified: 27 May 2013 07:34
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/7238
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item