UPM Institutional Repository

Representasi watak wanita dalam karya sastera Melayu moden berdasarkan kerangka Taklif


Citation

Kamaruddin, Elizatul Nastaysah (2016) Representasi watak wanita dalam karya sastera Melayu moden berdasarkan kerangka Taklif. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Tesis ini bertitik tolak daripada sorotan literatur yang menyerlahkan kecenderungan kajian-kajian tentang wanita dalam kesusasteraan Melayu, dalam menerapkan feminisme sebagai kerangka analisis. Kecenderungan ini menimbulkan perbahasan dalam kalangan sarjana dan pengkritik sastera yang menganggap penerapan feminisme menghasilkan dapatan serta kesimpulan yang mengelirukan. Kekeliruan ini dikatakan terjadi kerana dapatan dan kesimpulan yang terhasil itu bertentangan dengan Islam yang menjadi teras tradisi kesusasteraan Melayu. Sehubungan itu, timbul seruan supaya pengkajian tentang wanita dalam kesusasteraan Melayu mengguna pakai kerangka analisis yang berteraskan Islam. Dalam konteks kecenderungan dan seruan di atas,kajian ini diusahakan bagi meneliti representasi watak wanita dalam kesusasteraan Melayu dengan mengguna pakai satu kerangka analisis yang berteraskan Islam. Tesis ini distrukturkan bagi mencapai dua objektif penting iaitu menganalisis, dan seterusnya merumuskan representasi watak-watak wanita dalam karya sastera Melayu moden periode awal berdasarkan kerangka Taklif. Dalam usaha merealisasikan kedua-dua objektif ini, tesis ini memilih untuk menerapkan kerangka Taklif sebagai kerangka analisis. Taklif merupakan satu kerangka Islam yang menunjangi gagasan Persuratan Baru (seterusnya PB) cetusan Mohd. Affandi Hassan. Dengan menerapkan kerangka Taklif, kajian ini menganalisis enam buah cerpen dan dua buah novel Melayu. Pemilihan ini diasaskan kepada pertimbangan bahawa karya-karya sastera yang dikaji ini diterbitkan dalam lingkungan periode awal sejarah kesusasteraan Melayu moden. Selain itu, watak-watak wanita dalam karya-karya yang dikaji telah mendapat perhatian yang serius dalam kajian-kajian ilmiah sedia ada yang rata-rata menerapkan feminisme sebagai kerangka analisis. Pertimbangan ini membolehkan kajian ini menawarkan dapatan serta kesimpulan yang baharu, hasil daripada penerapan kerangka analisis yang berbeza. Dengan menerapkan kerangka Taklif, analisis ini merumuskan bahawa karyakarya sastera Melayu moden yang dikaji cenderung dalam merepresentasikan watakwatak wanita yang bertentangan dengan Islam. Dengan hasil analisis serta rumusan ini,kajian ini diharap memberikan sumbangan yang bererti dalam pengkajian tentang wanita dalam karya-karya sastera moden, khususnya yang mewakili periode pertengahan dan selanjutnya dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden.


Download File

[img] Text
FBMK 2016 62 D.pdf

Download (1MB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Women in literature
Subject: Malay literature
Call Number: FBMK 2016 62
Chairman Supervisor: Mohd. Zariat Bin Abdul Rani, PhD
Divisions: Faculty of Modern Language and Communication
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 18 Jan 2018 09:34
Last Modified: 11 Jan 2022 03:21
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/58458
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item