UPM Institutional Repository

Pengaruh Sikap Dan Motivasi Terhadap Komitmen Ahli Dalam Pelbagai Aktiviti Rukun Tetangga Di Kawasan R.T. Taman Sri Jelok, Kajang, Selangor


Citation

Thomas, Benny Vivian (2007) Pengaruh Sikap Dan Motivasi Terhadap Komitmen Ahli Dalam Pelbagai Aktiviti Rukun Tetangga Di Kawasan R.T. Taman Sri Jelok, Kajang, Selangor. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Tujuan utama kajian ini adalah untuk menjelaskan tahap komitmen anggota komuniti dalam aktiviti Rukun Tetangga Taman Sri Jelok, dan menjelaskan pengaruh sikap dan motivasi terhadap komitmen. Kajian ini juga adalah untuk mengenalpasti peramal terbaik untuk komitmen dan daripada kajian ini juga dapat dibentuk satu model komitmen bagi organisasi atau pertubuhan sukarela berbentuk kemasyarakatan. Dalam kajian ini, sampel yang digunakan adalah seramai 200 orang anggota komuniti yang menjadi ahli R.T. Tmn. Sri Jelok. Kajian ini merupakan kajian tinjauan menggunakan borang soal selidik. Data dikumpul menggunakan soal selidik yang mengandungi soalan berkaitan latar belakang, faktor sikap, faktor motivasi dan komitmen. Tahap komitmen anggota komuniti dalam aktiviti R.T. diukur dengan menggunakan soal selidik yang diadaptasi daripada soal selidik Organizatinal Commitment Questionaire (Poter et al. 1979). Manakala alat ukuran untuk pemboleh ubah sikap dan pemboleh ubah motivasi diukur dengan menggunakan soal selidik yang diadaptasi dan diubahsuai daripada soal selidik yang digunakan oleh Turiman (1991). Hasil kajian menunjukkan bahawa sikap dan komitmen kaum India terhadap aktiviti R.T. adalah tinggi berbanding dengan kaum Melayu dan Cina. Daripada analisis bivariate mendapati pemboleh ubah faktor sikap iaitu nilai-nilai instrumental, tarikan kepada aktiviti R.T., sikap terhadap aktiviti R.T. dan kepuasan terhadap aktiviti R.T. mempunyai hubungan positif dan signifikan dengan komitmen. Manakala empat daripada lima pemboleh ubah faktor motivasi iaitu altruisme, egoisme, keagamaan dan kewajipan sosial mempunyai hubungan positif dan signifikan dengan komitmen. Daripada analisis regresi pelbagai mendapati sebanyak 65% varian komitmen dalam aktiviti R.T. dapat dijelaskan oleh 9 pemboleh ubah daripada faktor sikap dan faktor motivasi. Manakala daripada analisis regresi ‘stepwise’ mendapati peramal terbaik bagi komitmen ialah nilai-nilai instrumental, tarikan daripada aktiviti R.T., sikap terhadap kegiatan dan aktiviti R.T. dan motivasi altruisme. Hasil kajian mendapati bahawa faktor sikap dan faktor motivasi memberi sumbangan yang besar kepada komitmen ahli-ahli dalam aktiviti R.T. Daripada dapatan kajian ini boleh disimpulkan komitmen ahli komuniti yang terlibat dalam aktiviti R.T. meningkat sekiranya tanggapan individu terhadap nilai-nilai instrumental R.T. adalah positif, lebih tertarik kepada aktiviti R.T., sikap positif dalam aktiviti R.T. dan sifat suka membantu (motivasi altruisme) dalam diri individu.


Download File

[img]
Preview
PDF
FEM_2007_6.pdf

Download (339kB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Community life - Kajang - Sociological aspects
Call Number: FEM 2007 6
Chairman Supervisor: Ma’rof Redzuan, PhD
Divisions: Faculty of Human Ecology
Depositing User: Nurul Hayatie Hashim
Date Deposited: 02 Apr 2010 07:05
Last Modified: 27 May 2013 07:19
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/4972
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item