Keyword Search:


Bookmark and Share

Pengurusan dan pembangunan institusi wakaf menggunakan sistem maklumat geografi (GIS) di Kuala Lumpur

Ab. Malik, Nurul Azra (2013) Pengurusan dan pembangunan institusi wakaf menggunakan sistem maklumat geografi (GIS) di Kuala Lumpur. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

[img] PDF
1111Kb

Abstract

Institusi kewangan dalam Islam khususnya institusi wakaf merupakan salah satu institusi kewangan yang telah lama mendapat tempat dan menjadi amalan dalam kalangan masyarakat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Namun, kelebihan institusi wakaf sebagai salah satu sumber pembiayaan pembangunan masyarakat seperti tidak menonjol ekoran pengurusan yang stereotaip dan tidak moden sehingga memberi impak negatif kepada kepentingan institusi wakaf tersebut. Sehubungan itu, kajian ini dijalankan untuk; i) mengenal pasti ciri-ciri harta wakaf semasa, ii) memetakan kedudukan (positioning) harta wakaf menggunakan perisian Sistem Maklumat Geografi (GIS), iii) menganalisa pengurusan semasa harta wakaf, dan iv) menjelaskan potensi serta keperluan pembangunan harta wakaf dalam konteks pembangunan masyarakat yang menyeluruh. Reka bentuk kajian yang digunakan ialah kajian kes dan data dikumpulkan secara pendekatan kualitatif. Teknik temubual dilakukan bersama tiga orang informan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selaku pemegang amanah dan pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang bertanggungjawab bagi mendapatkan data primer. Manakala, bagi data sekunder diperoleh daripada teknik analisis kandungan yang telah dilakukan ke atas rekod dan dokumen wakaf serta diikuti kaedah pemerhatian di lokasi-lokasi harta wakaf. Dapatan kajian mendapati terdapat 30 harta wakaf yang berkeluasan 7.666 ekar (bersamaan 334 540.8 kaki persegi) mendaftar di bawah MAIWP sehingga bulan Disember 2010 dan harta wakaf tersebut terdiri daripada 17 lot tanah wakaf am dan 13 lot tanah wakaf khas. Manakala hasil pemetaan kedudukan (positioning) 30 harta wakaf yang dipecahkan kepada dalam lima mukim iaitu mukim Kuala Lumpur, mukim Bandar Kuala Lumpur, mukim Batu, mukim Ampang dan mukim Setapak menunjukkan jumlah keluasan harta wakaf paling tinggi berada dalam mukim Kuala Lumpur (3.464 ekar). Seterusnya, analisa turut mendapati harta wakaf di Kuala Lumpur terdiri daripada masjid, surau/madrasah, bangunan (lot kedai), rumah sewa dan juga tanah kosong. Selain itu, dapatan juga menunjukkan harta wakaf yang diuruskan oleh MAIWP menghadapi beberapa masalah dalam pengurusan harta tersebut seperti sistem maklumat berkomputer yang kurang selamat, kekurangan kakitangan yang berpengalaman, kewangan yang terhad dan halangan perundangan. Masalah-masalah ini telah memberi implikasi negatif kepada usaha pembangunan yang menyeluruh sekaligus telah menyebabkan beberapa tanah wakaf yang berpotensi tinggi untuk dibangunkan tidak dapat dilaksanakan. Namun, didapati juga harta wakaf yang sedia dibangunkan masih dalam keadaan baik dan berupaya memberi sumbangan dalam pembangunan masyarakat khususnya dari aspek keperluan sosioekonomi walaupun harta tersebut dilihat tidak menjana pendapatan secara konsisten. Kesimpulannya, elemen teknologi telah diterima dan diaplikasikan dalam pengurusan institusi wakaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, pihak MAIN masih perlu berusaha meningkatkan tahap profesionalime mereka terutama dalam menyediakan satu sistem pengurusan yang berkesan dan bermaklumat menerusi pemodenan pengurusan agar kesedaran dan penyertaan masyarakat awam dalam kegiatan berwakaf dapat ditingkatkan. Hal ini bertujuan membentuk keyakinan yang utuh dalam kalangan umat Islam terhadap institusi wakaf selaku salah satu institusi kewangan yang penting dalam memangkin pembangunan masyarakat yang menyeluruh terutama dalam aspek ekonomi, sosial, pendidikan dan kesihatan. Kejayaan pembangunan masyarakat sekaligus memberi impak positif ke arah pembinaan peradaban Malaysia yang disegani pada masa akan datang.

Item Type:Thesis (Masters)
Subject:Waqf - Kuala Lumpur
Subject:Charitable uses, trust and foundations - Kuala Lumpur
Subject:Geographic information systems
Chairman Supervisor:Amaludin Ab. Rahman, PhD
Call Number:FEM 2013 8
Faculty or Institute:Faculty of Human Ecology
ID Code:39220
Deposited By: Hasimah Adam
Deposited On:13 Apr 2016 11:49
Last Modified:13 Apr 2016 11:49

Repository Staff Only: Edit item detail

Document Download Statistics

This item has been downloaded for since 13 Apr 2016 11:49.

View statistics for "Pengurusan dan pembangunan institusi wakaf menggunakan sistem maklumat geografi (GIS) di Kuala Lumpur "