UPM Institutional Repository

Pengaruh faktor pengetahuan, tingkah laku kewangan, dan pembuatan keputusan terhadap kesejahteraan kewangan pekerja sektor awam yang berkahwin.


Citation

Ramli, Zaimah (2011) Pengaruh faktor pengetahuan, tingkah laku kewangan, dan pembuatan keputusan terhadap kesejahteraan kewangan pekerja sektor awam yang berkahwin. Doctoral thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, kerajaan sentiasa memberi ruang dan galakan kepada golongan wanita untuk melibatkan diri dalam pasaran buruh. Penglibatan wanita dalam pekerjaan ini telah mewujudkan struktur keluarga dwipendapatan dan bilangannya semakin meningkat di Malaysia. Kewujudan keluarga dwi-pendapatan ini seharusnya mampu meningkatkan tahap kesejahteraan kewangan pekerja itu sendiri secara individu memandangkan kedua-dua suami dan isteri adalah bekerja dan memperolehi pendapatan. Walau bagaimanapun, dalam keadaan kos hidup yang semakin meningkat, tidak dapat dipastikan apakah pekerja sektor awam yang berkahwin dalam kalangan keluarga dwi-pendapatan ini mampu memperolehi tahap kesejahteraan kewangan yang diharapkan. Justeru, kajian ini bertujuan mengkaji tahap kesejahteraan kewangan pekerja sektor awam yang berkahwin dalam keluarga dwi-pendapatan dan menentukan faktor-faktor yang mempengaruhi tahap kesejahteraan kewangan mereka. Reka bentuk kuantitatif menggunakan kaedah survei diaplikasikan dalam kajian ini. Sampel kajian adalah pekerja sektor awam yang berkahwin dalam keluarga dwi-pendapatan. Unit analisis adalah individu, sama ada suami atau isteri. Seramai 415 orang responden terlibat dalam kajian ini. Ujian pengelasan dan ujian normaliti dilaksanakan ke atas pembolehubah-pembolehubah utama kajian. Ujian-t dan ANOVA digunakan untuk menentukan perbezaan kesejahteraan kewangan, pengetahuan kewangan, tingkah laku kewangan dan pembuatan keputusan kewangan antara responden yang mempunyai latar belakang sosio-ekonomi berbeza. Ujian Khi Kuasa Dua (χ2) turut digunakan untuk menentukan perbezaan antara tahap kesejahteraan kewangan mengikut status pemilikan rumah. Selain itu, analisis regresi pelbagai juga digunakan bagi mengenalpasti faktorfaktor yang menyumbang perubahan dalam kesejahteraan kewangan responden. Manakala regresi logistik multinomial digunakan untuk mengenalpasti kebarangkalian faktor-faktor penentu variasi tahap kesejahteraan kewangan (tahap rendah, tahap sederhana dan tahap tinggi) yang terdiri daripada faktor latar belakang sosio-ekonomi, pengetahuan kewangan, tingkah laku kewangan dan pembuatan keputusan kewangan. Hasil ujian-t menunjukkan terdapat perbezaan signifikan di antara tahap pendidikan, kumpulan perjawatan dan pemilikan rumah dengan tahap kesejahteraan kewangan responden. Hasil ujian-t turut mendapati wujud perbezaan di antara tahap pendidikan dan kumpulan perjawatan dengan tingkah laku kewangan responden. Selain itu, hasil ujian ANOVA juga menunjukkan terdapat perbezaan signifikan di antara pembuatan keputusan kewangan suami dan isteri mengikut sumbangan pendapatan mereka dalam keluarga. Kajian turut mendapati suami masih mempunyai kelebihan autoriti dalam pembuatan keputusan kewangan dalam keluarga. Manakala hasil ujian Khi Kuasa Dua (χ2)menunjukkan terdapat perbezaan signifikan tahap kesejahteraan kewangan di antara responden yang memiliki rumah dan responden yang tidak memiliki rumah. Seterusnya keputusan analisis regresi menunjukkan terdapat tujuh pembolehubah peramal kepada kesejahteraan kewangan responden, iaitu umur,pendapatan bulanan, pemilikan rumah, pemilikan produk kewangan, sumbangan pendapatan keluarga, tingkah laku kewangan dan pembuatan keputusan kewangan suami. Hasil analisis regresi logistik pula menunjukkan latar belakang sosio-ekonomi (umur, pendapatan bulanan, pemilikan rumah dan pemilikan produk kewangan), tingkah laku kewangan dan pembuatan keputusan kewangan suami mempunyai hubungan dengan variasi tahap kesejahteraan kewangan responden. Penemuan kajian ini memberikan justifikasi bahawa faktor umur, pendapatan bulanan, pemilikan rumah, pemilikan produk kewangan dan tingkah laku kewangan perlu diberi perhatian dalam pembentukan dan pelaksanaan dasar berkaitan pekerja dan keluarga di Malaysia demi menjayakan Wawasan 2020.


Download File

[img]
Preview
PDF
FEM 2011 19R.pdf

Download (469kB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subject: Married people - inance -Malaysia
Subject: Civil service - Malaysia - Finance, Personal
Subject: Families -Malaysia - Finance, Personal
Call Number: FEM 2011 19
Chairman Supervisor: Profesor Madya Sharifah Azizah Haron, PhD
Divisions: Faculty of Human Ecology
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 26 Jan 2022 05:27
Last Modified: 26 Jan 2022 05:27
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/26466
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item