UPM Institutional Repository

Kesan Permainan Tradisional ke atas Tahap Perkembangan Motor Kasar dalam Kalangan Kanak-Kanak Peringkat Awal Persekolahan


Citation

Abdullah, Borhannudin (2011) Kesan Permainan Tradisional ke atas Tahap Perkembangan Motor Kasar dalam Kalangan Kanak-Kanak Peringkat Awal Persekolahan. PhD thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Perkembangan kemahiran motor kasar merupakan asas kepada pergerakan lanjutan dan kemahiran spesifik dalam sukan. Perkembangan kemahiran ini sangat penting dikaji pada peringkat awal persekolahan kerana ia adalah petunjuk yang baik untuk melihat perkembangan kemahiran kognitif mereka. Perkembangan kemahiran motor kasar yang selari dengan umur kronologi membolehkan kanak-kanak menguasai kemahiran lokomotor dan manipulatif yang baik melalui aktiviti fizikal. Kajian ini bertujuan untuk menentukan kesan aktiviti fizikal (permainan tradisional) terhadap peningkatan tahap perkembangan motor kasar dalam kalangan kanak-kanak awal persekolahan. Kajian ini menggunakan dua modul yang berbeza sebagai interaksi terhadap tahap perkembangan motor kasar mereka. Persoalan kajian diuji dengan melibatkan dua fasa kajian iaitu : (i)analisis deskriptif bagi menentukan tahap perkembangan motor kasar dan kesetaraan umur dan (ii) analisis MANOVA dan MANCOVA bagi menentukan kesan intervensi dengan mengawal faktor-faktor lain kajian. Data perkembangan motor kasar diperolehi dari rakaman video kemahiran lokomotor dan manipulatif yang ditentukan dengan menggunakan instrumen Test of Gross Motor Development (TGMD). Secara keseluruhan tahap perkembangan motor kasar subjek kajian berada di bawah tahap purata 50% berdasarkan skor persentil tahap perkembangan motor kasar (GMDQ persentil) dengan Tahun Tiga memperoleh (7.42%), Tahun Dua (11.77%) dan Tahun Satu (20.56%). Dapatan kajian fasa pertama menunjukkan subjek Tahun Tiga mengalami masalah yang sangat ketara dalam tiga pembolehubah utama kajian iaitu skor piawai lokomotor (SPL), skor piawai manipulatif (SPM) dan skor tahap perkembangan motor kasar (GMDQ). Kumpulan ini juga mengalami kelewatan ketara sebanyak 2.93 tahun dalam skor kesetaraan umur lokomotor (AEL) dan skor kesetaraan umur manipulatif (AEM) sebanyak 3.42 tahun berbanding Tahun Satu dan Tahun Dua.Analisis MANOVA bagi fasa ke dua menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan bagi min GMDQ bagi ujian pra [F(4,59)=2.51; p>0.05, R2 = .146] antara kumpulan kawalan dan rawatan tetapi terdapat perbezaan yang signifikan bagi min GMDQ bagi ujian pasca [F(4,59)=29.81; p<0.01, R2 = .669]. Analisis univariat F menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan bagi lima pembolehubah bersandar semasa ujian pasca iaitu GMDQ [F(1,62)=116.16; p<0.001, R2=.65], SPL [F(1,62)=63.38; p< 0.001, R2= .51], AEL [F(1,62)=36.53; p<0.001, R2 = .37], SPM [F(1,62)=86.23; p< 0.001, R2=.58], dan AEM [F(1,62)=48.76; p<0.001, R2= .44].Analisis perbandingan pasangan menunjukkan min kumpulan rawatan melebihi min kumpulan kawalan secara signifikan dalam skor GMDQ (perbezaan min=23.25; p<0.001), SPL (perbezaan min=3.63; p<0.001), AEL (perbezaan min= 2.25; p< 0.001),SPM (perbezaan min= 4.13; p< 0.001), dan AEM (perbezaan min= 2.01; p<0.001).Analisis MANCOVA menunjukkan terdapat kesan permainan tradisional yang signifikan bagi min perkembangan motor kasar [F(4,53)=26.13; p<0.001, R2= .664] selepas mengawal faktor-faktor lain iaitu skor ujian pra, jantina dan pendapatan. Kesimpulannya, keputusan analisis menyokong dan membuktikan program intervensi yang menggunakan permainan tradisional dapat membantu mempertingkatkan tahap perkembangan motor kasar kumpulan rawatan dalam kajian ini. Namun terdapat juga faktor-faktor lain yang mempengaruhi dapatan kajian tetapi analisis menunjukkan program intervensi masih memberi kesan ke atas tahap perkembangan motor kasar selepas faktor-faktor tersebut di kawal.


Download File

Full text not available from this repository.

Additional Metadata

Item Type: Thesis (PhD)
Subject: Motor ability
Subject: Motor ability in children
Subject: Cognitive styles in children
Call Number: FPP 2011 11
Chairman Supervisor: Saidon Amri, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Emelda Mohd Hamid
Date Deposited: 30 Jun 2014 07:19
Last Modified: 30 Jun 2014 07:19
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/19568
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item