UPM Institutional Repository

Sikap Guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Terhadap Isu-Isu Seksualiti dalam Pendidikan Seksualiti di Sekolah Menengah di Daerah Melaka Tengah


Citation

Kamsiran, Noor Izrain (2010) Sikap Guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Terhadap Isu-Isu Seksualiti dalam Pendidikan Seksualiti di Sekolah Menengah di Daerah Melaka Tengah. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti sikap guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan terhadap isu-isu seksualiti dalam pendidikan seksualiti di sekolah menengah di daerah Melaka Tengah. Kajian ini juga adalah untuk melihat sama ada wujud perbezaan sikap di antara jantina, status perkahwinan, agama serta opsyen guru PJPK serta bukan opsyen PJPK terhadap isu-isu seksualiti dalam pendidikan seksualiti. Kajian ini berbentuk deskriptif dengan kaedah soal selidik yang menggunakan instrumen The Valois Sexual Attitude Scale. Isu-isu seksualiti yang dikaji ialah hubungan seks sebelum kahwin, masturbasi, homoseksualiti, pengguguran, komunikasi seksual, stereotaip seksual dan kawalan kehamilan. Responden kajian terdiri daripada 152 orang guru PJPK yang mengajar di tingkatan satu hingga tingkatan lima di sekolah menengah di daerah Melaka Tengah 2009. Data kajian dianalisis secara statistik deskriptif, iaitu kekerapan, peratus, min dan sisihan piawai digunakan bagi menjelaskan profil responden dan menentukan sikap guru. Statistik inferensi, iaitu ujian-t digunakan untuk menentukan perbezaan sikap berdasarkan jantina, opsyen dan status perkahwinan dan ANOVA satu hala bagi agama guru. Hasil kajian menunjukkan guru PJPK mempunyai sikap negatif terhadap isu-isu seksualiti dalam pendidikan seksualiti dengan min 69.9% (julat skor 24 – 71) dengan sisihan piawai 5.99, di mana 64.5% (98 orang) menunjukkan sikap negatif dan 35.5% (54 orang) menunjukkan sikap positif. Guru PJPK menunjukkan sikap negatif terhadap beberapa isu seksualiti seperti hubungan seks sebelum kahwin (Min = 1.90, S.P = 0.65), pengguguran (Min = 2.54, S.P = 0.75) dan masturbasi (Min = 2.96, S.P = 0.44).Terdapat perbezaan yang signifikan dalam agama, di mana min guru beragama Islam ialah 2.80 dengan sisihan piawai 0.18, min agama Buddha 3.19 dengan sisihan piawai 0.20, min agama Hindu 2.83 dengan sisihan piawai 0.13 dan min agama kristian 2.83 dengan sisihan piawai 0.11. Oleh yang demikian, sikap guru beragama Buddha adalah lebih positif dibandingkan dengan sikap guru beragama lain. Manakala, sikap guru PJPK berdasarkan jantina, opsyen dan status perkahwinan menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan. Adalah dicadangkan supaya Kementerian Pelajaran menyediakan program bagi membantu guru meningkatkan sikap mereka seperti kursus, bengkel, latihan jangka pendek yang berterusan bagi guru serta bakal guru Pengisian program haruslah meliputi kesemua topik isu-isu seksualiti di samping pendedahan pedagogi serta strategi pengajaran yang berkesan. Ini adalah kerana pendidikan seksualiti bukanlah seperti subjek lain kerana ia adalah bersifat dinamik seiring dengan kemajuan dunia globalisasi.


Download File

Full text not available from this repository.

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Health education - Melaka
Subject: Health - Study and teaching - Melaka
Subject: Health education teachers - Melaka
Call Number: FPP 2010 28
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 29 Mar 2013 08:11
Last Modified: 29 Mar 2013 08:11
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/19565
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item