Lima penerima Anugerah Fellowship kongsi rahsia kejayaan

Universiti Putra Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat (2011) Lima penerima Anugerah Fellowship kongsi rahsia kejayaan.

[img] PDF
161Kb

Abstract

SERDANG, 29 Jun – Empat pensyarah dan seorang kakitangan sokongan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Fellowship Naib Canselor UPM sempena majlis Gemilang Putra 2011 mempunyai rahsia tersendiri dalam menjalankan tanggungjawab mereka sehingga layak menerima anugerah tersebut. Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia UPM, Prof. Madya Dr. Mohammad Shatar Sabran yang menerima Anugerah Kategori Cemerlang dalam Perkhidmatan Profesional berkata, beliau berpegang pada prinsip melakukan sesuatu pekerjaan dengan niat ikhlas, minat mendalam dan bukan kerana mengejar pendapatan lumayan atau pangkat tinggi. Tanpa menduga akan menerima pengiktirafan itu, beliau menyifatkan ia adalah hasil daripada penglibatannya dalam pembangunan masyarakat sepanjang tempoh 12 tahun berkhidmat di UPM selain terlibat dalam lebih 600 ceramah motivasi berkaitan pembangunan komuniti. “Saya kerap menjadi penceramah undangan dalam dan luar negara selain menjadi pakar rujuk dalam bidang Ekologi Manusia,” katanya yang menganggap pengiktirafan itu sungguh bermakna kepada dirinya. Seorang lagi penerima Anugerah Kategori Cemerlang Dalam Penyelidikan, Prof. Dr. Md. Nordin Lajis iaitu pensyarah dari Fakulti Sains, Jabatan Kimia UPM berkata, untuk berjaya beliau sentiasa mencabar diri untuk melakukan sesuatu kerja lebih baik daripada orang lain. “Bagi saya kalau orang lain boleh buat kerja dengan baik mengapa diri kita tidak boleh melakukannya. Sebab itu saya sentiasa mencabar diri supaya dapat melakukan kerja lebih baik daripada orang lain,” katanya. Sepanjang berkhidmat di UPM, Prof. Dr. Md. Nordin banyak menghasilkan penyelidikan menghasilkan ubat-ubatan menggunakan sumber semula jadi sehingga nama beliau cukup sinonim di dalam negara dan peringkat antarabangsa. Beberapa sumbangan beliau dalam penyelidikan diiktiraf oleh badan dunia termasuk UNESCO dan telah dilantik sebagai ‘National Point of Contact Representative untuk Asia Tenggara. Beliau yang kini mengendalikan makmal di Institut Biosains UPM sering menjadi tempat rujukan di kalangan penyelidik dalam dan juga luar negara terutama dalam penyelidikan hasilan semula jadi. Penerima Anugerah Kategori Cemerlang dalam Pengajaran iaitu Prof. Madya Dr. Rozanah Ab. Rahman yang merupakan pensyarah jurusan undang-undang dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan meletakkan minat terhadap tugas pada kedudukan yang teratas. Menurut beliau, dengan adanya minat yang mendalam, ia akan mencipta komitmen yang berterusan selain memupuk sikap dedikasi dalam diri untuk mengajar. Mengulas keupayaan beliau menyampaikan kandungan kursus undang-undang dengan mudah, menarik serta tidak menjejaskan kualiti pengajaran, Prof. Madya Dr. Rozanah menggunakan pelbagai kaedah pengajaran dan salah satunya adalah peta minda. “Proses pengajaran dan pembelajaran masih menggunakan bahan yang asal tetapi saya mempelbagaikan kaedah pennyampaian untuk memudahkan proses pembelajaran. Dengan itu ia akan menarik minat pelajar untuk mempelajari bidang undang-undang yang dianggap agak susah,” ujarnya. Pengiktirafan turut diberikan kepada Prof. Dato’ Dr. Mohamed Shariff Mohamed Din yang menerima Anugerah Kategori Cemerlang dalam Pengajaran ekoran sumbangan beliau dalam program kesihatan ikan. Beliau yang merupakan Profesor di Fakulti Perubatan Veterinar mempunyai semangat tinggi untuk mengajar dan membantu dalam pembangunan modal insan. Ini jelas dibuktikan oleh penglibatan beliau dalam pengajaran dan latihan dengan beberapa agensi kebangsaan dan antarabangsa. Kaedah pendidikan inovatif yang menarik dan berkesan telah mendapat perhatian ramai sehingga beliau sering dijemput memberikan syarahan kepada pensyarah muda dan pelajar siswazah terutama mengenai topik ‘Scientific Writing and How to Become a Good Researcher’. Sebagai seorang perintis dalam bidang kesihatan ikan, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Shariff juga banyak menyumbang dalam pembangunan beberapa program kesihatan ikan di peringkat prasiswazah dan juga siswazah sejak tahun 1977 lagi. Selain itu, beliau yang juga perunding kepada Food and Agriculture Organization (FAO), International Development Research Centre(IDRC) dan INFOFISH sering dijemput memberi latihan dalam bidang kesihatan ikan di beberapa negara termasuk Brunei, India, Iran, Indonesia, Myanmar, Filipina, Sri Lanka dan Zambia. Anugerah Gemilang 2011 juga turut memberi pengiktirafan kepada Penolong Pegawai Sains daripada Fakulti Pertanian UPM, Shamsudin Bojang ekoran prestasi cemerlang dan sumbangan beliau dalam perkhidmatan profesional. Walaupun bukan ahli akademik bergelar profesor, pengatahuan yang mendalam dalam bidang nematologi iaitu bidang kajian yang berkaitan tanaman perosak dan kemahiran mengendalikan peralatan makmal yang canggih membuatkan beliau sering dijadikan rujukan pelajar. Malah lebih membanggakan, beliau mampu menerbitkan penulisan saintifik dalam jurnal bertaraf antarabangsa yang kebanyakannya dilakukan oleh golongan pensyarah. Bagi Shamsudin, semangat yang tinggi selain sokongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan menjadi resepi untuk beliau berjaya dalam bidang yang diceburi. Kelima-lima mereka menerima hadiah berupa geran RM10,000, trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Naib Canselor UPM, Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi. Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Mohd. Salleh Jaafar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Fauzi Ramlan, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dr. Tai Shzee Yew dan Pendaftar UPM, Dato’ Wan Azman Wan Omar. Pada majlis itu juga, UPM turut memberi anugerah kepada 448 kakitangan pelbagai jawatan iaitu Anugerah Jasa Putra kepada staf yang bersara, Anugerah Setia Putra (staf yang berkhidmat lebih 20 tahun di UPM), Anugerah Bakti Putra (staf yang berkhidmat lebih 30 tahun di UPM) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (staf yang berkhidmat dengan cemerlang bagi tahun 2010).

Item Type:UPM News
Faculty or Institute:Universiti Putra Malaysia
ID Code:18056
Deposited By: Muizzudin Kaspol
Deposited On:05 Aug 2011 05:29
Last Modified:27 May 2013 07:57

Repository Staff Only: item control page

Document Download Statistics

This item has been downloaded for since 05 Aug 2011 05:29.

View statistics for "Lima penerima Anugerah Fellowship kongsi rahsia kejayaan "


Universiti Putra Malaysia Institutional Repository

Universiti Putra Malaysia Institutional Repository is an on-line digital archive that serves as a central collection and storage of scientific information and research at the Universiti Putra Malaysia.

Currently, the collections deposited in the IR consists of Master and PhD theses, Master and PhD Project Report, Journal Articles, Journal Bulletins, Conference Papers, UPM News, Newspaper Cuttings, Patents and Inaugural Lectures.

As the policy of the university does not permit users to view thesis in full text, access is only given to the first 24 pages only.