UPM Institutional Repository

Separuh daripada 263 graduan MCMF berjaya dapat kerja


Citation

Universiti Putra Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat (2011) Separuh daripada 263 graduan MCMF berjaya dapat kerja. [UPM News]

Abstract

SERDANG, 11 Julai – Sekurang-kurangnya separuh daripada 263 graduan yang menjalani sesi latihan MyCareer MyFuture anjuran Pusat Penempatan Kerjaya, Universiti Putra Malaysia (CPC-UPM) bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan My-Partners Sdn. Bhd (My-Partners) berjaya mendapat pekerjaan selepas menamatkan sesi latihan. Pengarah CPC-UPM, Dr. Che An Abdul Ghani berkata kesemua mereka mendapat pekerjaan di 15 buah syarikat terkemuka antaranya Maybank, 7-Eleven (M) Sdn. Bhd, Chicken Rice Shop, Megasteel Sdn. Bhd dan Shushi King Sdn. Bhd. “MCMF berjaya memendekkan masa pengangguran graduan apabila dianggarkan lebih daripada separuh graduan yang mengikuti kursus pendek ini berjaya melepasi temuduga pada career fair yang diadakan selama dua hari selepas majlis konvokesyen MCMF,” katanya. Menurut beliau, susulan daripada kejayaan itu, My-Partners sebagai sebuah syarikat konsultasi pekerjaan berminat untuk bekerjasama dengan UPM berkaitan penempatan pekerjaan kepada graduan pada masa akan datang. “Kami amat berbangga kerana dapat menjalinkan kerjasama dengan agensi luar dalam mendukung aspirasi UPM untuk menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya. Beliau berharap, program itu dapat diteruskan supaya boleh mengurangkan pengangguran siswazah selain meningkatkan bekalan tenaga kerja yang berkualiti tinggi dan mengurangkan permintaan dan pergantungan kepada pekerja asing. MCMF telah diadakan selama enam minggu bermula 30 Mei hingga 8 Julai 2011 bertujuan menyediakan perkhidmatan dan peluang pekerjaan serta meningkatkan kebolehpasaran graduan. Ia telah disertai oleh 263 graduan termasuk 70 daripada UPM, 78 Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin dan 115 orang graduan dari institut pengajian tinggi lain. Sepanjang menjalani latihan, para peserta didedahkan dengan latihan dalam operasi pusat panggilan, komunikasi dan perkhidmatan pelanggan, membantu pelajar dari segi keyakinan diri, soft skill, pengucapan awam dan kendiri diri pelajar. MCMF juga memberi peluang kepada graduan yang mempunyai purata nilai gred kumulatif (CGPA) di bawah 3.0 supaya dapat bersaing dengan graduan yang memperoleh CGPA yang lebih cemerlang. Sejak MCMF dilaksanakan pada sesi 2009-2010, ia memberi faedah kepada 2,000 mahasiswa, dengan 90 peratus berjaya mendapat pekerjaan yang sesuai manakala 8 peratus melanjutkan pelajaran selepas mengikuti program.


Download File

[img]
Preview
PDF
Separuh_daripada_263_graduan_MCMF_berjaya_dapat_kerja.pdf

Download (120kB)

Additional Metadata

Item Type: UPM News
Divisions: Universiti Putra Malaysia
Depositing User: Muizzudin Kaspol
Date Deposited: 05 Aug 2011 04:13
Last Modified: 27 May 2013 07:57
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/18048
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item