UPM Institutional Repository

Program KEMPAS 2010 Pupuk Pelajar Hargai Alam Semula Jadi


Citation

Universiti Putra Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat (2010) Program KEMPAS 2010 Pupuk Pelajar Hargai Alam Semula Jadi. [UPM News]

Abstract

SERDANG, 15 November - Dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan alam semula jadi, Fakulti Perhutanan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama ExxonMobil, Kementerian Pelajaran dan Berita Harian akan menganjurkan sekali lagi Kem Pendidikan Alam Semula Jadi (Kempas) 2010. Kem pendidikan peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada 13 hingga 16 Disember di Hutan Simpan Ayer Hitam Puchong itu bertemakan ‘Hutan Sebagai Sumber Khazanah Alam’ dan ia terbuka kepada pelajar sekolah menengah di seluruh negara. Naib Canselor UPM, Prof. Tan Sri Dr. Nik Mustapha R. Abdullah berkata Kempas 2010 bertujuan memupuk rasa cinta selain meningkatkan kefahaman terhadap pendidikan alam semula jadi dalam kalangan pelajar sekolah. “Pemeliharaan alam semula jadi merupakan tanggung jawab semua pihak demi kepentingan bersama terutama kepada generasi akan datang. Justeru penerapan awal mengenai kepentingan perkara ini kepada generasi muda khususnya amat penting dan usaha ini perlu diperluaskan lagi,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian cek sumbangan ExxonMobil kepada UPM di sini. Hadir sama, Naib Presiden dan Pengarah Urusan Perniagaan Subsidiari ExxonMobil, Fatimah Merican dan Dekan Fakulti Perhutanan UPM Prof. Madya Dr. Awang Noor Abd. Ghani. Sementara itu Fatimah berkata, sektor swasta memainkan peranan yang amat penting dalam memperluas program-program pemulihan alam semula jadi. “Kerjasama ini merupakan satu perkongsian bijak antara institusi akademik dengan pihak swasta yang dapat menyumbang kepada pembangunan modal insan dan kemajuan negara,” katanya. Kempas merupakan kesinambungan program Kuiz Sains Alam Semula Jadi yang mula dianjurkan oleh Fakulti Perhutanan sejak 1997, bagaimana pun sejak 2006 program tersebut telah ditukar daripada kuiz kepada bentuk kem. Program yang akan berjalan selama empat hari itu akan melibatkan empat elemen utama aktiviti iaitu air, tanah, flora dan fauna. Pertandingan akan dijalankan di lapangan secara hands-on dan pemarkahan berdasarkan penghasilan, pengamatan dan pembentangan pasukan dari negeri yang bertanding.


Download File

[img]
Preview
PDF
Program_KEMPAS_2010.pdf

Download (81kB)

Additional Metadata

Item Type: UPM News
Depositing User: Yusfauhannum Mohd Yunus
Date Deposited: 02 Sep 2009 01:11
Last Modified: 27 May 2013 06:54
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/1390
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item