UPM Institutional Repository

Empat Ahli Majlis Tertinggi MPP UPM dilantik


Citation

Universiti Putra Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat (2011) Empat Ahli Majlis Tertinggi MPP UPM dilantik. [UPM News]

Abstract

SERDANG, 3 Mac– Empat ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) tahun 2011 dipilih menganggotai empat jawatan utama yang dibentuk semalam. Mereka ialah Yang Dipertua MPP, Iqbal Ismat Nordin, Naib Yang Dipertua, Muhammad Arif Baba, Setiausaha Agung, Roslina Japar dan Bendahari Kehormat, Ling Li Keat. Mereka beserta 39 ahli MPP lain mengangkat sumpah dalam Majlis Ikrar MPP Tahun 2011 UPM semalam disaksikan oleh Naib Canselor, Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP selaku Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Fauzi Ramlan. Pemilihan empat jawatan utama diputuskan oleh 43 ahli MPP dalam mesyuarat pertama mereka selepas pengisytiharan calon yang berjaya dalam Pemilihan MPP UPM Tahun 2011 diumumkan pada 24 Februari lalu. Walau bagaimanapun ahli jawatankuasa tinggi yang lain dan exco sekretariat akan dibentuk kemudian. Yang Dipertua MPP Tahun 2011, Iqbal Ismat Nordin berkata antara agenda utama beliau ialah menumpukan kebajikan pelajar bukan sahaja kepada mereka mereka yang masih menuntut di universiti malah alumni yang baharu bergraduat bagi mengurangkan populasi graduan menganggur. Selain itu beliau berharap pelajar yang mempunyai perbezaan ideologi tidak lari dari perjuangan sebenar mereka menimba ilmu dan memperolehi kemahiran ketika di universiti bagi memenuhi harapan ibu bapa. “Sebagai pelajar Bacelor Sains (Pembangunan Manusia dan Pengurusan), saya akan menggunakan ilmu yang dipelajari dalam bidang psikologi dan pengurusan kemanusiaan ketika berunding dengan pelajar yang berlainan ideologi dengan lebih berkesan,” kata pelajar tahun kedua Fakulti Ekologi Manusia UPM. Setiausaha Agung, Roslina Japar, berkata perlantikannya dalam empat jawatan tertinggi MPP merupakan amanah dan kepercayaan tinggi yang diberi oleh keseluruhan ahli MPP sebagai wakil siswi UPM. “Saya berhasrat untuk membantu pembangunan pelajar bukan sahaja dari segi akademik malah dari segi soft skill yang dikehendaki oleh pasaran kerja masa kini. Ini selaras dengan pelan strategik UPM untuk melahirkan pelajar cemerlang serta menghasilkan graduan berilmu dan berdaya saing,” katanya. Sementara itu Naib Canselor UPM, Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi dalam ucapannya pada majlis itu menekankan agar ahli MPP meraih pengalaman ketika menganggotai kepimpinan MPP dengan menjadi functional graduate. “Functional graduate ialah mereka mempunyai skil komunikasi, skil menyelesaikan masalah, skil kepimpinan dan skil kerja berkumpulan dengan menerapkan unsur etika dan moral. MPP juga perlu memainkan peranannya dengan berkesan dalam menunaikan amanah menjaga kebajikan dan pembangunan sahsiah pelajar,” katanya. Beliau turut mengucapkan tahniah kerana peratusan pelajar pra-siswazah UPM yang keluar mengundi semasa Pemilihan MPP UPM iaitu 84.5% merupakan antara yang tertinggi antara institusi pengajian tinggi awam.


Download File

[img]
Preview
PDF
Empat_Ahli_Majlis_Tertinggi_MPP_UPM_dilantik.pdf

Download (92kB)

Additional Metadata

Item Type: UPM News
Depositing User: Muizzudin Kaspol
Date Deposited: 08 Mar 2011 07:04
Last Modified: 27 May 2013 07:46
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/10499
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item